Jumaat, 9 Januari 2015

Saman Occupy Dataran - Akhirnya DBKL & PDRM Terbukti Menahan Fahmi Reza Secara Salah Bila Kalah!


Aku petik semula apa yang Fahmi Reza sebut. Dan aku memang suka baca apa yang dia tulis dalam point2 dia. Bagi aku apa yang dia cakap, orang2 biasa macam aku dan kau akan rasa terkesan sebab kita la individu yang paling senang penguatkuasa2 macam DBKL dan PDRM buli sakan.

Baca ;

Tiga tahun dulu pada 22 April 2012, aku telah ditangkap oleh pegawai-pegawai DBKL dan ditahan oleh polis kerana meng-occupy Dataran Merdeka dengan geng Occupy Dataran dan geng mahasiswa anti-PTPTN.

Dengan bantuan kawan-kawan peguam hak asasi manusia Syaredzan & Melissa, aku telah bawa DBKL dan PDRM ke mahkamah kerana membuat tangkapan dan tahanan secara tidak sah, dan mencabul kebebasan dan hak asasi aku pada hari itu. 

Setelah hampir 6 bulan perbicaraan yang bermula pada 18 Julai 2014, akhirnya mahkamah telah buat keputusan. 

Hari ini masa aku baru sampai New York, aku terima satu e-mail dari peguam aku Syahredzan yang hantar aku gambar ni, sepucuk surat dari Peguam Kanan Persekutuan, Pn. Habibah Binti Haron, peguambela yang mewakili pihak Polis dalam kes aku. Dia telah diarahkan oleh Mahkamah untuk maklumkan keputusan kes aku.

“Keputusan kes adalah tuntutan plaintif (aku) untuk salah tangkap dan salah tahan adalah dibenarkan dan jumlah gantirugi yang dibenarkan adalah seperti berikut;
i. salah tahan - RM5,000 dibayar oleh DBKL dan RM3,000 dibayar oleh pihak polis.
ii. gantirugi teladan - RM20,000 dibayar oleh DBKL dan RM10,000 dibayar oleh pihak polis.”

“Mahkamah memerintahkan pihak DBKL membayar kos sebanyak RM20,000 manakala pihak polis sebanyak RM10,000 kepada pihak Plaintif (aku).”

Kita menang. Akhirnya, kita menang.

——————————————

Kes ni tak pernah pasal duit. Kes ni pasal betapa pentingnya untuk kita bangun bersuara bila berlaku ketidakadilan, untuk kita bangkin melawan bila kita ditindas oleh penguasa, untuk kita berani berjuang untuk mempertahankan kebebasan dan hak asasi kita. 

Kau tak akan dengar berita pasal kes ni dalam suratkhabar atau media sebab aku hanya orang biasa macam kau. Kes ni untuk semua orang-orang biasa macam aku dan kau yang pernah kena tangkap polis dan penguasa tanpa bukti dan sebab yang munasabah, yang pernah jadi mangsa ketidakadilan penguasa sebelum ini, tapi tak pernah buat apa-apa dan hanya berdiam diri sebab kita fikir kita orang biasa dan takde siapa akan dengar suara kita. Kali ni aku pilih untuk tidak berdiam diri. Aku pilih untuk melawan. 

Kes ni tak pernah pasal duit. Aku tak merancang untuk ambik satu sen pun dari duit gantirugi yang akan dibayar oleh DBKL dan polis. Aku akan bincang dengan geng Occupy Dataran, dan dengan persetujuan mereka aku rancang nak dermakan semua duit tu untuk satu tabung yang akan digunakan untuk membantu bayar kes-kes pencabulan hak asasi manusia dan membantu bayar duit ikat-jamin untuk orang-orang biasa macam aku dan kau yang bakal ditangkap dalam mana-mana demonstrasi atau protes di masa hadapan. Untuk bantu korang yang pilih untuk tidak berdiam diri, yang pilih untuk bangun melawan.

Sekian, terima kasih.

Saya yang tidak menurut perintah,
Fahmi Reza 


Sumber : sini

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...