Ahad, 4 Januari 2015

Apabila Parti-Parti Politik Di Malaysia Agihkan Bantuan Hanya Kepada Kelompok Sendiri Ini Yang Terjadi..


Masih ingat dengan doktor ini?

Seorang doktor yang berkongsikan pengalamannya yang terperangkap dan perlu bertugas di kala banjir yang mendapat liputan meluas oleh pelbagai media arus perdana?

Antara penulisannya yang VIRAL dan mendapat perhatian meluas ialah dia mengucapkan selamat bercuti kepada Najib Razak (ketika itu PM Malaysia belum pulang dari Hawaii) bagi memerli  perdana menteri itu di saat rakyat dan kakitangan awam terperangkap angkara banjir besar dan bertungkus lumus bekerja bagi membantu mereka2 yang terperangkap kini kembali dengan catatan terbaru.

Catatan terbaru itu antara lain mendedahkan bagaimana ;

- Parti2 politik di negara neh menggunakan insiden banjir bagi meraih millage politik untuk parti masing2.

- Ahli2 parti politik juga ada yang bersikap memilih bulu ketika mengagihkan bantuan.

- Disebutkan ia melibatkan KESEMUA JENIS PARTI POLITIK.

Nampak?

Nampakk?

Lue fikirlah sendiri ek. Walaupun ia mungkin bukan aspirasi atau apa yang dianjurkan oleh sesetengah pimpinan dalam parti tersebut tetapi apabila koordinasi pengagihan bantuan itu tidak dipantau dan diperhalusi, mungkin sesetengah pihak cuba dan sedang mengambil kesempatan untuk bersikap tidak amanah ketika proses pengagihan bantuan itu berlaku.

Catatan ke-14

Jam 1.30 pagi,

Skuad misi kemanusiaan PAPISMA dinahkodakan oleh Komander Dr Syed Khalid, pegawai perubatan sarjana kanak-kanak HUSM, mula mengambil tempat untuk berehat selepas seharian meredah lumpur memberi bantuan kepada mangsa banjir di sekitar bandar Kuala Krai dan Manik Urai. Ketika baru sahaja saya hendak melelapkan mata, kami disapa seorang lelaki tidak dikenali di pusat logistik kami:

"Assalamualaikum, kami daripada syarikat Sabasun Hypermarket Terengganu tiba untuk menghantar bantuan".

Selama hampir 3 jam kami memunggah barang di awal dinihari daripada lori 3 tan ke dalam stor kami. Sungguh pemurah taukey pasaraya tersebut hinggakan bantuan yang diberikan seperti tidak akan putus. Sehingga saya membuat andaian;

"Pintu lori yang gelap ini seperti menghubungkan kita direct dengan stor mereka di Terengganu. Bekalan tak putus-putus daripada tadi ni" disambut gelak ketawa teman seperjuangan.

Syarikat tersebut menderma beras, kicap, gula, selimut, tikar dan bermacam-macam lagi. Akhirnya jam 3.30 pagi, kami selesai memunggah barang bantuan tersebut. Letih? Bukan kepalang lagi nafsu tidur kami akibat keletihan yang teramat sangat.

Jam 6.30 pagi

Selepas hanya 3 jam merehatkan diri, kami bangun dan mengerjakan solat subuh berjemaah di rumah Dr Hasmizan, pakar ENT Hosp K.Krai. Usai santapan rohani dan gastronomi, kami pulang ke pusat logistik kami untuk misi pengagihan bantuan seterusnya. Saya bergerak bersama cikgu Rosli, orang tempatan dan menjejaki penduduk kampung yang terjejas teruk di sekitar Kg Peria.

Penduduk meneruskan usaha pembersihan dan pembaikian tempat berteduh mereka. Selut dan lumpur sudah sebati dengan warna kulit mereka. Namun penduduk mempunyai masalah bekalan air untuk operasi tersebut dan juga mesin pump air untuk menembak lecekan lumpur yang semakin kering di dinding dan lantai rumah masing-masing. Seorang makcik tua mengadu kepada saya:

"Sudah tiga hari mokcik minum air longkang sahaja yang turun daripada jalan raya diatas" Allah sayu saya mendengarnya.

Pada sebelah petang, kami menghulurkan bantuan ke Kg Bahagia yang terletak di seberang Sg. Kelantan. Sewaktu kami menelusuri pusat bandar Kuala Krai, ternyata kemusnahan dan kerugian besar dapat dilihat kepada penduduk, peniaga dan juga pihak kerajaan. Beberapa kedai dan pasaraya terpaksa melelong atau memberi sahaja stok barangan yang rosak diselami air. Balai Bomba dan Ibu pejabat polis, juga musnah teruk termasuk aset seperti kereta dan motosikal peronda dll.

Di Tetangga Krai, manusia berpusu-pusu mengangkut dan memunggah barang ke dalam bot panjang untuk diagihkan di seberang. Penghulu Kg Bahagia memaklumkan bantuan sudah banyak dan mereka kini memerlukan pasukan perubatan untuk membuka klinik di sana.

Katanya sejak 3 hari lepas, padang rumput di sekolah sana ibarat sebuah mini lapangan terbang dengan helikopter mendarat sekurang-kurangnya 3 kali sehari menghantar bantuan. Terdapat juga ahli keluarga yang baru pulang daripada Kuala Lumpur terpaksa menunggu bot yang terhad untuk dibawa menyeberangi sungai yang masih berarus deras.

Di sana juga, mata saya tertarik dengan kehadiran NGO Taiwan Disaster Rescue yang barangkali dijemput oleh dewan perniagaan Cina di negara kita. Mereka segak berkelengkapan lengkap dengan peralatan menyelamat.

Tsunami banjir telah menjemput rezeki yang melimpah ruah kepada mangsa di sini. Namun, masalah utama di sini adalah koordinasi pengagihan bantuan kemanusiaan.

Lebih malang, saya sangat terkilan apabila segelintir ahli parti hijau,biru dan merah telah mempergunakan bantuan ikhlas rakyat Malaysia untuk memenuhkan tembolok kepartian masing-masing. Terdapat pengagihan diberikan ekslusif hanya kepada penyokong parti masing-masing menggunakan sumbangan orang awam.

Di saat mangsa banjir sangat terdesak untuk kelangsungan hidup, parti-parti politik mengambil kesempatan untuk meraih sokongan parti. Kerana itu saya sangat senang berurusan dengan NGO seperti PAPISMA, IKRAM, IMARET, 4X4 team dll yang lebih telus dari sudut pengagihannya tanpa mengira warna politik dan kulit.

Mangsa kini sangat-sangat memerlukan shelter/khemah untuk berteduh setelah kediaman mereka dihapuskan oleh ombak banjir. Kepada anak-anak Kelantan yang berasal daripada kawasan banjir, kami menyeru anda untuk pulang bertemu dengan keluarga anda yang terjejas teruk akibat musibah ini. Hulurkan sokongan moral dan tenaga untuk membersihkan rumah ibubapa anda/ jiran tetangga.

Pasca banjir, mereka sangat memerlukan kata-kata motivasi untuk trauma yang mereka hadapi dan pastinya individu yang terbaik untuk menenangkan mereka selepas kaunselor/pakar psikiatri adalah anak-anak/ahli keluarga mereka sendiri.

Barang-barang yang kini mangsa perlukan adalah shleter/khemah besar, beras, portable stove/dapur, tangki air besar untuk setiap kampung, bot-bot untuk menyeberang sungai dan peralatan sekolah. Keperluan mereka sebenarnya adalah berfasa. Contohnya, Fasa awal mereka memerlukan makanan, kedua kelengkapan membaiki/buat rumah baru, ketiga persiapan persekolahan dan begitulah seterusnya.

Sebenarnya banyak lagi yang ingin dicoretkan di sini tetapi seluruh tubuh saya telah 'cramp'. Insyallah pengalaman lain akan saya kongsikan di dalam buku nanti.

Esok, Insyallah akan ke sekitar Kota Bharu atau mungkin kawasan lain yang terjejas teruk.

Terima kasih kepada semua sukarelawan, NGO, agensi kerajaan dan semestinya our unsung heroes yang lain. Semoga usaha kita semua diberkati dan dirahmati Allah.

Salam Muafakat
Dr Afiq Rahim, DAR

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...