Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Khamis, 1 Ogos 2019

UMNO, PAS & GPS Jumpa Tun Mahathir Minta Jadi PM Sampai Tamat Penggal.

THE MALAYSIAN INSIGHT | SEKUMPULAN wakil rakyat pembangkang bertemu dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada malam Selasa untuk menyatakan sokongan supaya beliau menghabiskan penggalnya, lapor akhbar The Star.
 

 
Kumpulan itu terdiri daripada wakil rakyat Umno, PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Sumber dipetik akhbar itu berkata antara pemimpin pembangkang yang hadir pertemuan itu adalah bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussein, Naib Presiden PAS Dr Samsuri Ahmad Mokhtar, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dan Ketua Whip GPS Fadillah Yusof.

Laporan tidak menyebut tempat pertemuan itu berlaku.

Kumpulan itu didakwa menyatakan hasrat untuk menyokong Dr Mahathir terus menjadi perdana menteri dan tidak perlu menyerahkan kuasa pentadbiran kepada Anwar Ibrahim, lapor akhbar itu lagi memetik sumber.

“Mesyuarat itu berlaku pada malam Selasa untuk memberitahu Dr Mahathir yang pembangkang sepenuhnya menyokong beliau sehingga pilihan raya umum akan datang, dan mereka tidak bersetuju beliau menyerahkan pentadbiran kepada Anwar atau sesiapa sahaja,” kata sumber lagi.

Seorang menteri Kabinet dan ahli politik Pakatan Harapan dipercayai turut berada dalam pertemuan itu.

Beberapa pemimpin yang dihubungi The Star tidak menafikan pertemuan itu berlaku.

Sumber berkata matlamat pertemuan adalah untuk meluahkan pendirian mereka supaya Dr Mahathir tidak perlu berundur sekerat jalan.

Selain PKR dan Umno, parti seperti GPS, Warisan dan Amanah sudah menyatakan hasrat menyokong Dr Mahathir sehingga habis penggal.

Menurut sumber lagi, wakil rakyat DAP masih belum membuat keputusan mengenai perkara itu.

Kumpulan itu juga mencadangkan timbalan perdana menteri baharu yang lebih berwibawa dilantik supaya beliau boleh mengambil alih jawatan perdana menteri sekiranya Dr Mahathir terpaksa melepaskan jawatan dan mengelak krisis politik negara.

Sebelum ini, Dr Mahathir pernah mendedahkan ada pertemuan berlaku antaranya dengan wakil rakyat, tetapi pertemuan malam Selasa adalah pertama kali ia berlaku secara berkumpulan. – 1 Ogos 2019.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...