“Gabungan BN-PAS akan memenangi 97 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia berdasarkan kajian terbaharu sentimen Malaysia,” kata Institut Darul Ehsan (IDE) kepada wakil rakyat PKR pada pemukiman yang diadakan di Port Dickson pada 19-21 Julai.
The Malaysian Insight turut melihat slaid yang dibentangkan baru-baru ini.
“Tambahan pula, BN-PAS akan mendapat faedah daripada persempadanan semula pada 2018 yang dilakukan oleh mereka.”
Gabungan BN-PAS juga mampu memberi ancaman kepada PH kerana dua parti berkenaan memiliki kerusi majoriti Melayu pada PRU14.
Pada PRU lalu, BN menawan 10 kerusi dan PAS mendapat 15 kerusi lebih 90% majoriti Melayu di Terengganu, Kedah dan Kelantan.
PH hanya memenangi 2 kerusi - Langkawi dan Jerlun. Kedua-duanya dimenangi Dr Mahathir Mohamad dan anaknya Mukriz daripada Bersatu.
Namun PH merampas kesemua 24 kerusi majoriti Cina di Selangor, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, kata IDE.
Kumpulan itu berkata, persempadanan semula sebelum ini meningkatkan jumlah kerusi majoriti Melayu berbanding yang bercampur.
Sebelum persempadanan semula, Selangor hanya mempunyai 11 kerusi majoriti Melayu dan 41 kerusi campuran.
Namun selepas cadangan Suruhanjaya Pilihann Raya diterima Parlimen sebulan sebelum PRU14, kerusi majoriti Melayu (atas 65%) meningkat kepada 25, majoriti Cina kepada lima manakala kerusi campuran berkurangan kepada 25.
Ini sangat penting dalam kerjasama BN-PAS dan kehadiran pertembungan tiga penjuru, kata IDE.
Pada PRU14, Pakatan memenangi 51 kerusi manakala BN empat dan PAS satu kerusi di negeri itu.
IDE juga menyatakan kesan gabungan BN-PAS pada pilihan raya kecil Semenyih Mac lalu.
Pada PRU14, PH memenangi kerusi itu dengan 50% undi popular dalam pertembungan tiga penjuru – BN (31%), PAS (15%) dan lain-lain (4%).
Namun pada pilihan raya kecil itu gabungan berkenaan kehilangan kerusi itu kepada Umno kerana hanya mampu memenangi 45% undi berbanding BN-PAS 50%. Manakala 5% lagi dimenangi bebas, kata IDE.
IDE dimulakan oleh kerajaan Selangor yang diterajui PKR, membentangkan kaji selidik Malaysia 2019 itu pada 20 Julai lalu di pemukiman PKR di Port Dickson.
Kaji selidik IDE itu melibatkan 1,597 responden dan dijalankan dari 28 hingga 30 Jun. – 2 Ogos 2019.