Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Khamis, 16 Mei 2019

Syarikat Kesayangan KASTAM Untung Jutaan Ringgit Seludup Arak.

The Malaysian Insight | SEBUAH syarikat pengimport minuman keras mengaut untung sehingga RM7 juta sebulan beroperasi dengan lesen palsu selama hampir 10 bulan selepas kastam membatalkan lesen importnya, kata sumber.
 

 
Syarikat itu beroperasi secara tidak sah dengan lesen import palsu dikeluarkan pihak tertentu dalam Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), yang sekarang dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tambah sumber.

Sumber mendedahkan kepada The Malaysian Insight pada Disember lalu, kastam menahan sejumlah minuman keras yang dibawa masuk ke Malaysia dari Shanghai, China dengan menggunakan dokumen palsu daripada kastam di Pelabuhan Klang Utara.

“Barangan itu ditahan kerana cukai importnya tidak dibayar. Macam mana sebuah syarikat yang ditamatkan lesen importnya masih boleh beroperasi?” kata sumber yang maklum mengenai siasatan kes ini.

Sumber juga memberitahu JKDM tidak mengambil sebarang tindakan ke atas syarikat itu, yang dianggap “syarikat kesayangan kastam”.

Syarikat itu juga dikatakan ada kaitan dengan seorang pegawai kanan di Kementerian Kewangan semasa pentadbiran kerajaan sebelum ini.

Carian di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan syarikat itu beralamat di Bandar Sunway, Selangor. Pemeriksaan ke premis bagaimanapun mendapati pejabat syarikat berkenaan tidak wujud.

“Syarikat ini kaut untung antara lima hingga tujuh juta ringgit setiap bulan dengan dokumen palsu,” kata sumber.

Pada Disember tahun lalu, Ketua Pengarah JKDM Paddy Abd Halim yang ketika itu masih timbalan mengesahkan lesen import syarikat berkenaan dibatalkan pada Ogos 2018 selepas dikesan disalah guna untuk menyeludup arak.

Selain syarikat yang beralamat di Bandar Sunway, sebuah lagi syarikat yang beralamat di Brickfields, Kuala Lumpur turut dikesan jadi pengimport minuman alkohol terbesar di Malaysia dengan lesen palsu.

Siasatan pihak berkuasa setakat ini menunjukkan syarikat itu mendapat lesen dengan tempoh sah yang “istimewa” iaitu selama setahun untuk mengimport sehingga 230 juta liter arak.

“Syarikat itu diberi lesen import dari 1 Januari 2019 hingga 31 Disember 2019 dan sehingga kini syarikat itu membawa masuk antara 60 hingga 70 kontena minuman keras ke Malaysia dan diberi kebenaran khas oleh JKDM untuk mengimport hampir semua jenama minuman beralkohol.

“Ini termasuk jenama yang diberikan hak eksklusif kepada syarikat tempatan,” kata sumber.

Siasatan pihak berkuasa setakat ini menunjukkan syarikat itu mendapat lesen dengan tempoh sah yang 'istimewa' iaitu selama setahun untuk mengimport sehingga 230 juta liter arak.– Gambar EPA, 12 Mei, 2019.
Siasatan pihak berkuasa setakat ini menunjukkan syarikat itu mendapat lesen dengan tempoh sah yang 'istimewa' iaitu selama setahun untuk mengimport sehingga 230 juta liter arak.– Gambar EPA, 12 Mei, 2019.
Sumber menjelaskan kegiatan import minuman keras dengan lesen palsu ini berleluasa selepas kerajaan menguatkuasakan pindaan Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017. Pindaan itu mensyaratkan pengimport minuman keras dan rokok mengemukakan lesen import semasa membuat perisytiharan kepada kastam, berkuat kuasa sejak 1 April 2017.

Pindaan itu sepatutnya memperketatkan sistem sedia ada tetapi apa yang berlaku, ia seolah-olah menjadikan penyeludupan rokok dan alkohol lebih mudah, tambah sumber.

“Sebelum pindaan, ada lebih kurang 50 syarikat import minuman keras tetapi sekarang meningkat sehingga 500 syarikat. Semua syarikat ini dapat lesen import daripada kastam

“Dengan penambahan 500 syarikat, pendapatan negara sepatutnya meningkat sekurang-kurangnya lima kali ganda.

“Tapi laporan menunjukkan pendapatan negara melalui bayaran duti import tidak begitu memberangsangkan. Jadi kenapa 500 syarikat ini diberi lesen oleh JKDM?” soal sumber berkenaan.

Beberapa syarikat pengimport minuman keras yang dihubungi The Malaysian Insight berkata mereka hanya dibenarkan mengimport dengan kuantiti jauh lebih kecil berbanding dua syarikat berkenaan.

“Kami antara syarikat bir terbesar di dunia masih diberi tempoh kelulusan tiga bulan sahaja. Kuantiti pun dalam 300,000 hingga 400,000 liter sahaja.

“Kita tak boleh salahkan pengarah syarikat ini. Tapi mesti ada sesuatu (tak kena) di pihak jabatan kastam,” kata pengarah sebuah syarikat bir di Selangor yang enggan identitinya didedahkan.

The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan agensi anti rasuah mula menyiasat beberapa pegawai tinggi kastam yang dipercayai terlibat dalam kes penyeludupan rokok dan minuman keras.

Siasatan itu turut melibatkan kegiatan enam buah syarikat yang didakwa menyalah guna lesen import yang dikeluarkan JKDM, yang membolehkan mereka membawa masuk rokok dan arak tanpa membayar cukai.

Enam syarikat itu kini sedang dipantau SPRM.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...