Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Selasa, 14 Mei 2019

Saksi Terdengar Perbualan Razak Dan Altantuya.

FREE MALAYSIA TODAY | Setiausaha kepada penganalisis politik, Abdul Razak Baginda hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi tentang pertemuan antara majikannya dan Altantuya Shaaribuu beberapa hari sebelum wanita warga Mongolia itu dibunuh pada 2006.


Siti Aisyah Mohd Azlan juga berkata majikannya hanya meminta anggota polis, Azilah Hadri, salah seorang daripada 2 yang disabit kesalahan membunuh Altantuya, melindungi keluarganya.

Siti Aisyah memberi keterangan di perbicaraan saman RM100 juta oleh keluarga Altantuya terhadap kerajaan Malaysia, Razak dan 2 orang yang disabit kesalahan membunuh itu.

Beliau berkata Razak memberitahunya yang dia tidak mengarahkan Azilah melakukan pembunuhan itu.

“Dia panggil saya ke biliknya pada 11 November 2006 untuk beritahu sesuatu yang tidak baik telah berlaku,” kata Siti Aisyah.

“Dia kata ‘Amina’ sudah mati dan Azilah yang melakukannya,”
katanya ketika disoal Sangeet Kaur Deo, yang mewakili keluarga Altantuya.

Aisyah hari ini mengaitkan Altantuya dengan nama “Amina”.

Beliau berkata dia ternampak wanita warga Mongolia itu 4 kali di pejabat Razak antara Ogos dan Oktober 2006.

Altantuya dibunuh pada 2006 di Puncak Alam berdekatan Shah Alam, Selangor dengan tembakan ke kepalanya sebelum tubuhnya diletupkan.

Azilah dan seorang lagi anggota polis, Sirul Azhar Umar didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman mati atas pembunuhan itu.

Razak, seorang pembantu kepada timbalan perdana menteri ketika itu, Najib Razak didakwa bersubahat dengan kedua-dua orang itu, tetapi dibebaskan tanpa pembelaannya dipanggil.

Dalam samannya, bapa Altantuya, Shaariibuu Setev, ibunya, Altantsetseg Sanjaa, dan anaknya, Mungunshagai mendakwa ada konspirasi dalam pembunuhan itu.

Aisyah berkata Razak hanya bertemu Altantuya sekali di pejabatnya pada Ogos 2006.

“Mereka bercakap selama kira-kira 3 minit di luar pejabat dan saya terdengar Razak beritahunya, ‘saya tiada kaitan dengan kamu. Kalau kamu nak buat apa-apa, teruskan’.

“Dia masuk balik ke pejabatnya tetapi Amina tunggu di luar pejabat,”
kata Aisyah, dan menambah Altantuya mengekori Razak apabila dia keluar dari pejabat selepas itu.

Beliau berkata Altantuya datang ke pejabat Razak sebanyak 3 kali tetapi dia tidak bertemunya.

“Dia tinggalkan nota untuknya dan saya serahkan nota itu pada Razak,” katanya.

Ditanya peguam Razak, Manjeet Singh Dhillion sama ada majikannya pernah menggunakan kata-kata kesat terhadap “Amina” atau cuba mengusirnya, Aisyah kata tidak.

Beliau juga berkata tiada arahan daripada Razak meminta pertemuannya dengan Azilah pada 18 Oktober 2006 dijadikan sulit.

Pendengaran bersambung esok di hadapan Hakim Vazeer Alam Mydin Meera.

Mahkamah juga akan mendengar permohonan keluarga untuk mendapatkan dokumen-dokumen yang digunakan dalam prosiding jenayah sebelum ini.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...