Ini adalah buku kecil, tetapi panjang juga catatannya. Maka saya jadikannya beberapa pintu. Bagi yang kesuntukan masa, tetapi mahukan jawaban, sila ke pintu dua sahaja. Ia mencukupi. Jika lapang masa, silalah berkelana..
Pintu 1:
Pada pagi 7 Febuari 2019, saya menulis tiga catatan ringkas serentak di FB saya ini.
Pertama, saya sifatkan pencinta fitnah adalah seperti lalat yang mengerumuni sampah. Walaupun sampah, akan tetap ada makhluk Allah yang menjadikannya sebagai makanan untuknya. Manusia tidak diciptakan untuk bersifat buruk sebegitu. Jauhi fitnah.
Kedua, saya alu-alukan SPRM untuk menyiasat PAS selepas banyak laporan polis dibuat terhadap PAS yang didakwa menerima wang rasuah politik daripada UMNO termasuk wang 1MDB. Saya menyatakan bahawa jika PAS diberi kuasa, SPRM akan semakin teguh dan berkuasa.
Ketiga, saya memberi sinisan terhadap 'bebudak terlebih tenaga' yang ingin terus menyepak bola walaupun wisel penamat 90 minit telah dibunyikan. Ia adalah sindiran saya terhadap 'Kumpulan 40' yang dikatakan bersedia menjadi saksi benarnya rakaman yang saya sifatkan sebelum ini sebagai 'audio fitnah' terhadap saya.
Ia juga adalah isyarat daripada saya bahawa saya sudah bersedia untuk bermain di padang baru. Itu jika padang dibuka.
Selepasa cacatan pendek itu diluncurkan, segera sahaja pada petangnya, SPRM menghubungi saya untuk hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kota Bharu pada Jumaat keesokannya pada jam 10.30am.
Keesokannya saya hadir dengan penuh kerasmian dan penghormatan terhadap SPRM. Seorang diri dengan memandu sebuah Mercedez Benz mewah rekaan barat.
Pintu 2:
Pada awal 2018, sebelum PRU14 berlangsung, tular di media baru sebuah rakaman yang didakwa sebagai ucapan Nik Abduh bin Nik Abdul Aziz. Ia mengejutkan ramai kerana isi ucapan itu yang didakwa membenarkan dakwaan musuh politik PAS bahawa PAS telah menerima wang sogokan berjuta-juta daripada UMNO.
Ia tidaklah begitu mengejutkan saya. Saya sudah pun dimaklumkan lebih awal bahawa akan dibocorkan rakaman ucapan saya di dalam program dalaman parti kepada umum. Cuma saya menggaru-garu kepala, sampai ke tahap ini mereka?
Sebaik tular, saya ada dua pilihan di hadapan. Pertama, bercakap benar dan mengesahkannya. Kedua, menafikannya. Ia adalah ucapan dalam majlis tertutup dengan audien tertentu sahaja. Terlalu tertutup. Maka hak saya adalah menjaga kerahsiaan dan tidak sama sekali mengkhianatinya.
Kedua-dua pilihan adalah syar'ie.
Saya memilih yang pertama. Ia mudah. Bercakap benar akan membebaskan kita. Bohong adalah penjara yang memerangkap diri sendiri. Saya memilih untuk berterus terang sahaja. Saya yakin isi ucapan saya akan mudah sahaja difahami jika difahami konteksnya.
Tetapi saya sedar, ia bukan sekadar soal nama baik peribadi saya. Saya mewakili parti PAS dalam masyarakat. Rakaman itu walaupun bertujuan menjatuhkan reputasi saya, ia segera sahaja disambar oleh musuh sebaik tular untuk menjatuhkan PAS. Belum sempat ahli PAS marahkan saya, musuh-musuh politik PAS telah merayakannya. Nyamuk belum mati, api sudah menyambar kelambu.
Apabila saya merujuk kepada beberapa pimpinan parti yang sudah pun memahami isu ini dengan baik, mereka memutuskan agar saya menafikannya. Sengit juga saya enggan dan menolak, tetapi mereka berkeras meminta saya menafikannya. Fitnah mesti ditutup, itu hujah mereka. Saat itu, bahang PRU14 semakin terasa. PH sedang bermaharajalela menyerang PAS dengan pelbagai fitnah sesudah mereka kehilangan punca untuk mencari kecacatan dan kesalahan PAS.
PH hanya mampu bersenjatakan fitnah, senjata yang terlarang di dalam Islam dan PAS.
Dalam kesukaran, saya memohon jawaban daripada tuan guru Presiden PAS. Segera Presiden PAS merestukan keputusan agar saya segera menafikannya. Saya akur dan gembira menerima mandat.
Alhamdulillah, api fitnah gagal merebak. PAS memasuki pilihanraya umum ke14 dengan gagah dan berjaya menambah kekuatannya di Parlimen dan DUN-DUN.
Pintu 2 adalah pemberitahuan bahawa jawaban pertama saya dulu adalah dengan keputusan oleh parti PAS.
Pintu 3
Ada tiga institusi yang berhak mengubah keputusan pertama saya itu. Pertama, parti PAS. Ia adalah tuan saya. Kedua, Mahkamah. Ia adalah neraca menegak keadilan di dunia. Ketiga, Kerajaan Malaysia melalui siasatan oleh pihak polis atau SPRM. Malaysia adalah negara saya yang berhak ke atas saya.
Dengan erti, saya akan kekal menyimpan rahsia sehingga salah satu daripada tiga institusi itu memutuskan sebaliknya.
Apabila perempuan Inggeris itu menjadikan rakaman ucapan saya itu sebagai bahan buktinya di Mahkamah London, saya dipanggil oleh pihak peguam yang mewakili presiden PAS untuk memohon pengesahan. Saya kata, mahkamah berhak menerima kebenaran. Ia akan membebaskan saya dengan penuh hormat. Isi-isi ucapan saya adalah amat mudah difahami dalam konteksnya. Presiden PAS menerima kehendak saya dengan senang hati. Maka saya telah membuat kenyataan saya di hadapan peguam presiden PAS beberapa bulan lepas.
Saya jangka keputusan oleh Mahkamah London nanti dalam kes Presiden PAS vs perempuan Inggeris itu akan menjadi jawaban kedua saya. Tetapi ia tidak berlaku. Kes itu ditutup di pertengahan jalan.
Sebelum SPRM memanggil saya untuk siasatan, saya sudah pun dipanggil oleh pihak polis beberapa bulan lepas di Kuala Lumpur untuk memberi keterangan terhadap isu rakaman ucapan saya yang tular itu.
Kenyataan saya kepada ketiga-tiga institusi tersebut adalah sama. Saya mengakui kebenaran suara saya itu. Saya juga menegaskan di hadapan mereka untuk saya terus menafikannya di hadapan publik sebagai hak menjaga kerahsiaan yang ditekankan oleh agama.
Semasa saya mempertegaskan hak kerahsiaan ini di hadapan pegawai SPRM beberapa hari lepas, mereka menjawab, "Ya. Kami pegawai kerajaan, apatah SPRM diwajibkan dan diajar untuk menjaga kerahsiaan." Mereka membenarkan saya.
Akhirnya, semalam, Dato Takiyudin Hasan, SUA PAS mengesahkan rakaman itu sebagai ucapan saya. Pagi ini, presiden PAS turut mengesahkannya.
Pintu 3 adalah pemberitahuan bahawa PAS telah bersetuju untuk saya memberi jawaban kedua yang menukarkan jawaban pertama saya dulu. Saya menerimanya dengan senang hati sebagaimana yang pertama dulu.
Ini saya sedang menulis..
Pintu 4
Mari saya memanggil mereka sebagai 'bebudak terlebih tenaga' atau 'kumpulan 40'. Tidak perlulah saya menyebut nama.
Pintu 4 adalah pendedahan terhadap konteks perbincangan di dalam perjumpaan tertutup 'tahap dewa' tersebut. Bukankah saya berkali-kali mengingatkan kerahsiaan itu? #SumpahJadiAbu haha..
Ada dua isi utama ucapan saya:
1) Meminta 'kumpulan 40' ini berhenti daripada kegiatan menyiasat dan menghukum pimpinan parti.
2) Menerangkan hukum agama berkaitan mengambil wang musuh politik. Secara khusus, wang UMNO.
Perlu difahami bahawa perjumpaan itu bukanlah yang pertama dan terakhir. Ia selang seli di antara beberapa pertemuan dan tindakan yang berbeza.
Maka memang agak sukar bagi pendengar di rakaman tular itu untuk memahaminya sepenuhnya. Apatah ia soal kerahsiaan dalaman.
KAMI adalah kumpulan yang terbentuk pada saat krisis dalaman PAS sebelum 2015. Kami adalah rakan-rakan yang bersama menyusun strategi memahamkan ahli PAS bahawa beberapa pimpinan parti telah lari daripada halatuju perjuangan dan wajar diturunkan lalu diganti dengan kepimpinan baru yang lebih berwibawa untuk memimpin PAS.
Adalah sukar untuk memahamkan. Ahli PAS diajar untuk taat dan thiqah kepada kepimpinan parti. Adalah sukar bagi kami untuk menyebut kesalahan-kesalahan mereka secara terbuka. Ia janggal di dalam parti yang begitu menjaga keutuhannya daripada retak.
Ringkasnya, dengan perancangan yang baik, kami berjaya meyakinkan ahli parti di semua peringkat untuk bangkit mempertahankan kepimpinan ulamak, kepimpinan tuan Presiden PAS dan kekuasaan Majlis Syura Ulamak PAS daripada diruntuhkan secara sistematik oleh kumpulan yang kini dihimpunkan oleh DAP di dalam parti PAN.
Dalam erti, kami merancang setelah mereka telah lama merancang. Mereka terlalu kuat sehingga beberapa pimpinan lama PAS gugur dengan perancangan mereka tanpa disedari oleh ahli-ahli PAS yang ikhlas berjuang.
Saat kekuasaan mereka memuncak untuk mengubah hala tuju PAS dengan faham Islam Moderate, Rahmatan Li 'rambutan' dan macam-macam lagi, kami anak muda PAS bangkit untuk meneguhkan kembali halatuju perjuangan PAS.
Kami adalah himpunan ratusan ulamak dan ulamak muda, golongan profesional baru dan lama, muslimat dan pemuda serta ahli-ahli PAS di banyak peringkat.
Ringkasnya, pada Muktamar PAS 2015, kepimpinan baru PAS mengambil alih. Selepas itu, kesamaran bertukar kejelasan. DAP hanya mencapai matlamat kedua mereka. Tertubuh PAN. Matlamat utama mereka menghancurkan PAS dari dalam telah gagal.
Inilah kami.
Selepas selesai, kepimpinan kami memutuskan agar kami bubar dan kembali kepada kerja asal membangunkan parti yang hampir berwajah baru. Ia adalah keputusan yang amat benar.
Tetapi sebahagian daripada kami berkata, kerja belum selesai. Masih ada saki baki yang akan merosakkan PAS. Mangsa pertama adalah YAB Dr Ahmad Samsuri. Beliau dituduh sebagai ejen UMNO, makan dedak UMNO bla bla.. kemudian Nasrudin Hasan Tantawi, Nurul Islam. Akhirnya Nik Abduh naik nama sebagai pemakan wang UMNO.
Mereka dinasihatkan agar berhenti. Bukti-bukti yang mereka kemukakan adalah lemah. Ia hanyalah sangka buruk. Malang, mereka terus mengasak dan menuduh.
Kerja mereka adalah mengintip dan menyelongkar. Bagi mereka ia adalah jihad besar menyelamatkan parti PAS daripada perkara haram bersekongkol dengan UMNO.
Apabila diingatkan bahawa kepimpinan parti lebih mengetahui halatuju dan strategi parti, mereka meremehkan dan mendakwa mereka lebih tahu.
Mereka melampaui batas. Bertindak sendiri tanpa restu kepimpinan. Beberapa perjumpaan diadakan. Tetapi tiada apa yang berubah.
Apabila ahli PAS sukar menerima mereka, mereka memilih jalan berapi demi mencapai matlamat. Mereka, atas nama menyelamatkan parti, mendedahkan rakaman ucapan tertutup saya itu.
Mereka mengadakan perjumpaan tertutup 'tahap dewa' itu, tetapi mengkhianati majlis mereka sendiri dengan merakamnya secara sulit. Setelah gagal, mereka khianat lagi dengan mendedahkannya kepada awam. Setelah gagal lagi mencapai matlamat, mereka bangkit beramai-ramai ingin menjadi saksi. Pelik, mereka nafi dedah, tetapi sanggup jadi saksi?!
Cuba anda bayangkan bagaimana kerasnya mereka dalam salah satu tulisan terbaru mereka, mereka anggap saya seperti mendiang Marcos.. Dahsyatkan? Marah orang PAN pada saya, rasanya taklah seteruk itu dilabel hehe..
Pintu 5
Kekhilafan besar adalah dalam soal hukum mengambil wang orang UMNO. Mereka mendakwa, mengambil wang UMNO adalah rasuah semuanya. UMNO adalah musuh dan sebarang terimaan adalah berunsur rasuah.
Saya dalam rakaman tersebut, selepas berkali-kali di luar sebelum itu, cuba menjelaskan bahawa ia adalah hukum yang salah dan merbahaya.
Saya jelaskan bahawa menerima wang sesiapa pun daripada UMNO adalah haram hanya apabila ianya adalah berbentuk rasuah atau sogokan atau dedak yang bermaksud kita dengan pemberian itu terpaksa menjual perjuangan dengan mencairkan pendirian parti atau menyokong tindakan UMNO yang bersalahan dengan polisi parti.
Adapun pemberian biasa seperti kekeluargaan, persahabatan, derma, kebajikan dan lain-lain, maka ia adalah harus. Bahkan ia menambah kasih sayang di antara umat Islam.
Saya jelaskan bahawa saya hadir menyertai perbincangan di antara para ulamak dalam Majlis Syura PAS berkaitan isu ini. Semua sekata, menerima wang UMNO adalah harus kecuali bertujuan rasuah. Ia adalah amalan puluh tahun dalam PAS di kalangan para ulamak untuk menerima secara terbuka wang orang-orang UMNO.
Malang, mereka tidak pernah berpuas hati. Cakapan saya difahami ikut selera mereka. Pening saya..
Beberapa hari lepas, dalam pertemuan bersama pimpinan PAS, apabila ditanya kepada tuan guru presiden PAS mengenai 'bebudak terlebih tenaga' ini, tuan guru menjawab tegas, "Mereka ini samada bodoh atau jahat."
Pengkhianatan tiada tempat dalam perjuangan walaupun anda menangis bersujud di hadapan Allah memohon restuNya. Hukum adalah hukum.
Pintu 5 adalah pemberitahuan bahawa ucapan saya adalah dalam konteks hukum, bukan memperakui bahawa PAS telah menerima wang rasuah dan sogokan daripada UMNO. Ia tidak benar sama sekali.
Justeru saya menamakannya sebelum ini sebagai audio karut, mengarut dan fitnah.
Pintu 6 (akhir)
Saya berterima kasih kepada seluruh ahli, penyokong dan rakyat yang menerima dengan hati terbuka kenyataan penafian saya setahun yang lepas. Ia berjaya meneguhkan parti PAS untuk melangkah memasuki pilihanraya umum baru-baru ini.
Semoga Allah meredhai perjuangan kita menegakkan agama di bumi Allah. - 13 Februari 2019.