Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Rabu, 29 Ogos 2018

Adakah Langkah Menghentikan BR1M Satu Kezaliman? - Prof Mohd Nazari Ismail.

Mohd Nazari Ismail | Jabatan Dasar dan Strategi, Universiti Malaya.

Baru-baru ini Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pentadbirannya berhasrat mengurangkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) secara berperingkat sebelum dihentikan sepenuhnya. Terdapat pelbagai reaksi dari ahli masyarakat. Ada yang menyokong dan ada yang mengutuk dengan keras. 

Yang mengutuk mungkin termasuk mereka yang berpendapatan rendah yang merasakan bahawa adalah menjadi tanggungjawab kerajaan membantu golongan yang lemah dan miskin.

Sudah tentu membantu golongan yang lemah dan miskin adalah satu tanggungjawab. Tetapi ia sebenarnya tanggungjawab semua ahli masyarakat dan bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata. 




Pada masa yang sama kita kena sedar bahawa golongan yang ingin membantu (termasuk kerajaan) mestilah mampu berbuat demikian. Kalau tidak mampu, maka tanggungjawab itu gugur. 

Hakikatnya sekarang ialah sebenarnyan kerajaan tidak mampu berbuat demikian kerana kerajaan sekarang sudah dalam keadaan tenat dengan hutang berjumlah hampir RM1 trillion (atau satu ribu billion). 

Kerajaan terpaksa membayar bunga sebanyak lebih dari RM30 billion setahun atas hutang tersebut. Oleh itu, dari perspektif Islam sebenarnya kerajaan perlu fokus untuk menyelesaikan semua hutangnya dahulu kerana membayar bunga atas hutang adalah salah dan berdosa. Kerajaan kena mengkaji semua perbelanjaanya dan pastikan semua pembaziran dan ketirisan dihentikan serta merta.


Persoalan sekarang ialah siapakah yang patut membantu orang-orang yang susah jika kerajaan tidak mampu melakukannya? Seperti yang dicontohkan kepada kita oleh Rasulullah SAW, yang patut membantu orang susah bukan kerajaan tetapi ahli masyarakat sendiri. Rasulullah SAW tidak menggunakan wang kerajaan yang dikutip dari hasil cukai ke atas rakyat untuk membantu orang susah. 


Sebaliknya beliau SAW menganjurkan dan menasihati orang-orang mukmin untuk berbelanja membantu orang susah, terutama sekali dari kalangan ahli keluarga mereka sendiri dan jiran terdekat. Bantuan yang diberikan adalah mesti dengan niat ikhlas iaitu untuk mendapat redha dan ganjaran dari Allah SWT. Dengan cara ini, akan timbul sikap bantu membantu dan kasih sayang di kalangan ahli masyarakat.

Cuma masalah sekarang ialah ramai ahli masyarakat sendiri dalam keadaan yang susah. Ramai yang terbelenggu dengan hutang yang banyak. Hutang isi rumah di Malaysia pada tahun lepas adalah berjumlah RM 1.03 trillion. Sebenarnya ini adalah akibat dari kesilapan mereka sendiri kerana berbelanja tidak mengikut kemampuan dengan membeli rumah yang mewah, kereta yang mewah dan peralatan-peralatan mewah. 


Ada yang membuat pinjaman peribadi untuk adakan majlis perkahwinan mewah atau untuk pergi bercuti. Mereka tidak menyedari bahawa amalan mereka berhutang dengan bank untuk berbelanja sebenarnya bukan sahaja mewujudkan situasi permintaan dan perbelanjaan yang tidak normal dalam ekonomi, bahkan akan mengakibatkan jumlah wang yang banyak diciptakan oleh industri perbankan. Ini adalah PUNCA UTAMA kepada masalah kenaikan kos sara hidup.

Langkah kerajaan memberikan BR1M kepada rakyat dengan menggunakan duit hutang kerajaan (seperti yang dilakukan oleh kerajaan BN dahulu) adalah satu langkah mencari populariti yang tidak bertanggungjawab dan tidak akan menyelesaikan masalah masyarakat dalam jangka panjang. Bahkan ianya akan membuat keadaan kewangan kerajaan menjadi lebih teruk. 


Jika langkah ini diteruskan juga, akhirnya nanti kerajaan PH akan terpaksa memperkenalkan GST balik untuk mengutip cukai dari rakyat dengan lebih berkesan untuk membantu membayar hutang kerajaan yang akan meningkat. Dalam erti kata yang lain, akhirnya rakyat juga yang akan susah.

Sebagai rumusan, penyelesaian masalah kita dalam jangka panjang ialah menukar nilai kehidupan kita sendiri supaya lebih sederhana dalam berbelanja, mengukur baju di badan sendiri dan mengelak dari berhutang dari industri perbankan. 


Kita semua kena sedar bahawa selagi kita semua masih bergantung kepada industri perbankan dan memberi keuntungan kepada industri tersebut, masalah peningkatan kos sara hidup tidak akan dapat diselesaikan. Tindak tanduk dan amalan perbelanjaan kita sendiri adalah sebenarnya punca utama kepada masalah kewangan kita. 

Masa depan kita adalah di tangan kita sendiri dan bukan di tangan kerajaan. Generasi akan datang perlu dididik supaya kurangkan pergantungan kepada kerajaan dan berhemah dalam berbelanja demi masa depan mereka sendiri.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...