Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Sabtu, 1 September 2018

Mana Bukti Kos Sebenar ECRL Ialah RM30B, Najib Soal Mahathir.

Najib Razak | DI MANA DATANGNYA KOS SEBENAR ECRL IALAH RM30 BILION?

Melalui banyak kenyataan sejak dua tahun dahulu sehingga hari ini, PH tetap bertegas bahawa kos sebenar projek ECRL adalah RM30 bilion dan berdasarkan nomber RM30 bilion ini, mereka menuduh kos RM55 bilion adalah terlalu mahal dan sengaja dinaikkan.

 
Saya perlu tanya soalan ini kepada Menteri Kewangan, dari mana beliau mendapat angka itu, berapa kilometer bagi nilai RM30 bilion itu dan unjuran kos itu diperolehi dari tahun bila?

Kerajaan hari ini tidak sepatutnya menggunakan angka kos untuk membuat dakwaan yang mereka sendiri tak berupaya membuktikannya atau dengan sokongan fakta.

Apa yang saya ingat, sememangnya terdapat kajian bahawa kos adalah RM30 bilion namun kajian itu dilakukan pada 2009 dan bagi jajaran berbeza dan adalah bagi jarak 545km; dan ia tidak mencakupi jajaran Gombak ke Pelabuhan Klang, di mana tujuh tahun kemudian apabila ECRL dianugerahkan pada 2016, tukaran matawang kita lemah dan ia melibatkan jajaran dengan jarak 688km termasuk segmen bagi Pelabuhan Klang.

Adakah kos RM30 bilion yang sering disebut PH ialah berdasarkan laporan tahun 2009 ini yang banyak berbeza dengan projek kos RM55 billion 7 tahun kemudian?

Kita juga perlu sedar, berdasarkan kepada masa, peningkatan kos selain perubahan kepada spesifikasi, projek PTMP Pulau Pinang juga melonjak dari RM27 bilion kepada RM50 bilion bagi tempoh yang sama termasuk lebuhraya PIL yang kosnya RM9 bilion untuk 19.5km iaitu RM462 juta/km. Jika kos meningkat bernakna rasuah dan salahlaku, biarpun ia adalah kerana masa berbeza dan spesifikasi, adakah ini bermakna projek PTMP juga ada unsur rasuah?

Pada kos RM55 bilion untuk 688km, kos itu adalah RM79.9 juta bagi setiap kilometer. Manakala pada harga RM30 bilion, ia adalah RM43.6 juta setiap kilometer.

Kenyataan media bagi beberapa projek keretapi di rantau ini akan dapat memberikan gambaran yang baik di mana kedudukan kos ECRL berbanding di negara lain.

1. Keretapi laju menghubungkan lapangan terbang Suvarnabhumi, Don Mueang and U-Tapao di Thailand diluluskan pada 2018. US$7.2 bilion (RM29.5 bilion) bagi 260km = RM113 juta bagi setiap kilometer.

2. Keretapi laju menghubungkan Bangkok dengan daerah Nakhon Ratchasima diluluskan pada 2017. Kos US$5.5 bilion (RM22.6 bilion) bagi 250 km = RM90.2 juta setiap kilometer.

3. Keretapi laju Indonesia dari Jakarta ke Bandung diluluskan pada 2017. Kos US$5.9 bilion (RM24.2 bilion) bagi 250km = RM96.8 juta bagi setiap kilometer.

Hari ini, Perdana Menteri berkata terdapat syarikat tempatan yang boleh membina ECRL pada kos RM10 bilion sahaja. Bagi jarak 688km, ia bermasuk kos hanya RM14.5 juta bagi setiap kilometer. Adakah harga ini realistik jika dibanding dengan projek-projek lain?

Selain itu, Menteri Kewangan kata, angka RM81 bilion yang didedahkan mereka untuk ECRL itu termasuk kos faedah dan operasi.

Ia diibaratkan seperti membeli kereta pada harga RM55,000, kemudian memasukkan kos minyak, kos sewa beli, kos penyelenggaraan, kos insurans sepanjang hayat kereta itu dan cakap kos kereta itu ialah RM81,000.

Apabila negara lain mengumumkan tentang projek rel masing-masing, mereka tidak memasukkan kos faedah dan operasi seumpama itu. Untuk itu, Malaysia seharusnya melakukan perkara yang sama.

Kita perlu tahu, kos projek berbeza ketara berdasarkan kepada spesifikasi terowong, jambatan dan stesen.

ECRL bakal memiliki lebih banyak stesen berbanding projek rel di negara lain yang saya utarakan. Ia juga perlu merentasi banjaran Titiwangsa dan perlu dilindungi dari musim banjir yang kerap di Pantai Timur. Untuk itu, kos bagi setiap kilometer bagi membina ECRL ini sudah tentu perlu mengambil kira cabaran-cabaran itu. - 1 September 2018.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...