Gambar blog pro UMNO |
"Ini bagi memastikan kepentingan konsortium dalam terowong dasar laut Pulau Pinang dan kerja lain berkaitan terjamin dari segi undang-undang," kata sumber itu.
Difahamkan, Zenith menyaman dua pihak berkenaan kerana didakwa gagal menjalankan tugas memberikan khidmat rundingan seperti perjanjian dengan Zenith pada Julai 2017".
Perkara ini membayangkan Zenith telah melakukan perbuatan merasuah dengan nilai 3 juta dan 19 juta masing-masing kepada dua individu yang dituntut untuk membayarnya semula.
Berdasarkan laporan yang berkaitan, Bernama melaporkan;
1. Zenith membayar 2 juta di rumah suspek A) N Gnanaraja pada Julai tahun lalu.
2. 15 juta kemudiannya turut dibayar pada bulan yang sama, iaitu Julai tahun lalu.
3. Bakinya 2 juta pula dibayar pada Ogos tahun lalu juga.
Pembayaran dibuat oleh Zenith kerana, suspek A) N Gnanaraja dikatakan mampu menyelesaikan siasatan yang dijalankan oleh SPRM.
Sementara itu, beberapa portal pro UMNO hari ini mempersoalkan dan menyebarkan gambar suspek
A) N Gnanaraja.
"Cuma yang menjadi persoalan ialah bagaimana Zenith sanggup membayar kepada ahli perniagaan penipu iaitu Dato’ Gnanaraja Gnanasundram (bekas BOD Air Asia) yang juga suami bekas model Dato’ Geethanjali Gausillia a/p Kathirvalu dalam Yayasan Usaha Ventures Malaysia (Malaysia Ventures Entrepreneur Foundation) yang pernah dilaporkan polis tahun lalu," kata portal Sabahkini2 hari ini.
"Kedua pasangan ini dikatakan menipu dan sering menjual nama pemimpin negara seperti Perdana Menteri, isteri dan juga pemimpin lain," kata portal itu lagi.
Sementara itu menurut laporan portal UMNO, Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim, yang menerima surat tuntutan daripada Konsortium Zenith Construction Sdn Bhd berhubung kerja-kerja rundingan berkaitan projek terowong bawah laut Pulau Pinang, menafikan beliau menerima RM3 juta daripada Zenith.
Azeez mengesahkan bahawa beliau telah menerima surat tuntutan melalui pos berdaftar hari ini tetapi berkata dakwaan itu jelas tidak benar.
"Saya tidak pernah jumpa (CEO Zenith) Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dan saya juga tidak mempunyai urusan dengan syarikat pembinaan itu," kata Azeez seperti laporan Kuala Lumpur Post.
"Saya tidak tahu apa-apa mengenai jutaan ringgit yang kononnya dibayar kepada saya, atau apa-apa kerja rundingan yang berkaitan dengan terowong itu,".
Azeez yang berkata akan mendapatkan nasihat peguamnya dan akan “mengambil tindakan terhadap mereka."
"Jika saya terlibat dalam kerja rundingan, mesti ada perjanjian yang ditandatangani. Kamu tidak boleh sebarangan kata saya menerima wang melalui proksi," kata Azeez, merujuk kepada surat tuntutan yang diterimanya itu.
"Ramai orang kenal saya dan boleh jual nama saya, tetapi saya tidak pernah terima sebarang wang," katanya.
Portal pro UMNO seperti Sabahkini2 dan Kuala Lumpur Post melaporkan SPRM telah mengesahkan menahan Dato’ Gnanaraja Gnanasundram itu kerana menerima rasuah RM19 juta kononnya bagi mempengaruhi penutupan kes siasatan projek mega terowong dasar laut yang bernilai RM6.3 bilion di Pulau Pinang.
Sementara itu, Pengarah Kanan Jabatan Siasatan SPRM Datuk Simi Abd Ghani ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata pasukan penyiasat masih dalam proses mengumpul bukti bagi membantu siasatan.
“Suspek akan dihadapkan ke mahkamah Putrajaya untuk permohonan reman bagi membantu siasatan kes ini,” katanya.
Projek mega terowong itu mencetuskan pelbagai kontroversi, termasuk kos kajian kebolehlaksanaan terlalu tinggi, selain kaedah pembayaran menggunakan tanah kerajaan negeri serta pelaksanaan dibantah penduduk yang bimbang dengan impak ekonomi, sosial dan alam sekitar.
Dalam perkembangan berkaitan, pada 27 Februari 2018, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata bahawanya kerajaan negeri tidak tahu langsung tindakan Zenith membayar sejumlah wang yang besar kepada dua individu berbeza bagi menguruskan isu berkaitan pembinaan terowong.
Lim Guan Eng juga menyebut bahawanya pihak kerajaan negeri bersedia menunggu dan mendengar penjelasan daripada Zenith sebelum mengambil apa-apa pendirian rasmi berhubung pendedahan skandal rasuah itu.
"Bahawa ada amalan rasuah di mana pemimpin-pemimpin kerajaan negeri telah menerima wang sogokan berjuta-juta ringgit, akhirnya dibuktikan sekali lagi palsu, bohong, tohmahan dan tidak benar sama sekali.
Saya harap SPRM boleh ambil tindakan ke atas laporan palsu dalam media Barisan Nasional hari ini. Inilah yang kita nak tanya-tanyakan, kerana ini adalah laporan di Malaysiakini yang kita nak tanya, mengapa tiap-tiap kali macam ini.
UMNO dapat habuan, UMNO dapat untung. DAP yang tak dapat apa yang kena. Roberk Kuok pun sama. Yang kes Roberk Kuok yang terima derma UMN0-MCA. Tapi yang dipersalahkan DAP yang tak terima satu sen, satu kupang pun tak terima," katanya dalam satu kenyataan.
SPRM juga dipertikaikan oleh Lim Guan Eng kerana bersikap double-standard apabila hanya menahan ahli perniagaan yang didakwa menerima sogokan 19 juta tetapi tidak menahan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim yang turut didedahkan didakwa menerima sogokan 3 juta.
Lim Guan Eng juga mempersoalkan kenapa tiadanya tindakan diambil terhadap agensi berita pro BN yang melaporkan berita palsu secara berleluasa kononnya individu berkaitan Pakatan Harapan Penang didakwa menerima suapan bagaimanapun akhirnya SPRM mendedahkan perkara yang sebaliknya.
"Kenapa Azeez Rahim tak ditahan, sedangkan dia dilaporkan sekurang-kurangnya terima 3 juta. Kenapa ada tindakan terpilih seperti ini? Kenapa SPRM melakukan tindakan diskriminasi? Adakah anda (SPRM) benar-benar mahu membanteras rasuah?
Prof. Ramasamy yang tiada kaitan (kena mengena) dipanggil pula untuk memberikan keterangan.
Kerana beliau menuliskan sesuatu kenyataan, tak akan tulis kenyataan pun boleh dipanggil oleh SPRM ke?," katanya lagi dalam sidang media itu. - 28 Februari 2018.