Khamis, 1 Mac 2018

1MDB Ditutup Selepas Selesai Bayar Hutang - Irwan Serigar.

Syarikat pelaburan strategik, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), akan ditutup sebaik saja semua hutang firma itu berjaya diselesaikan.

Pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah, berkata beliau yakin syarikat itu mampu membayar segala hutang melalui pelan rasionalisasi sedang dilaksanakan lapor Berita Harian.



Beliau yang juga Ketua Setiausaha Perbendaharaan, berkata hutang terbabit akan dibayar daripada hasil pendapatan projek mega kerajaan seperti pembinaan bandar Tun Razak Exchange (TRX), menara The Exchange 106 yang tertinggi di Malaysia, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) serta Transit Aliran Massa Kedua (MRT 2).

"Tidak lama lagi, penghuni yang memiliki tempat di bandar TRX akan membayar sewa dan kita juga akan menjual plot tanah, Bandar Malaysia yang akan dibangunkan nanti juga akan menjadi canggih dengan adanya semua pengangkutan awam seperti kereta api laju, ECRL serta MRT.

"Melalui wang ini kita akan membayar hutang...hasil diperoleh bukan membabitkan sehari dua, sebaliknya akan memakan masa lebih 10 tahun untuk menjana pendapatan daripada pembangunan jangka panjang terbabit.

"Sebaik saja habis hutang, tidak perlu lagi wujud 1MDB,"
katanya pada sidang media selepas menyampaikan Amanat Cabaran Ekonomi kepada pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK), di sini, hari ini.

Pada tahun lalu, mengikut Surat Ikatan Penyelesaian dengan Menteri Kewangan (Diperbadankan) Malaysia dan IPIC, 1MDB sudah membayar penuh kepada International Petroleum Investment Co (IPIC) bagi hutang yang tarikh akhirnya pada 31 Disember 2017.



1MDB perlu membayar kira-kira AS$600 juta (RM2.43 bilion) kepada IPIC sebagai sebahagian perjanjian penyelesaian yang dipersetujui pada April tahun lalu.

Terdahulu, ketika menyampaikan amanatnya, Mohd Irwan Siregar berkata, 1MDB adalah sama seperti syarikat lain yang ditubuhkan kerajaan untuk menjalankan perniagaan.

"Sudah tentu ada syarikat yang untung dan rugi...apabila rugi kita akan tutup. Namun, semua hutang perlu dibayar dulu," katanya.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...