Rabu, 28 Februari 2018

Kami Belum Terima Elaun Perjalanan Sejak Persidangan Lepas - MP Pembangkang.

Oleh : The Malaysian Insight

SEGELINTIR ahli Parlimen mengadu yang elaun perjalanan yang sepatutnya diberikan kepada mereka untuk sesi persidangan tahun lepas masih belum diterima.

Ahli Parlimen Indera Kota Fauzi Abdul Rahman (PKR) berkata ahli Parlimen tidak menerima tuntutan sejak sesi Oktober lepas.

“Tuntutan yang dibuat untuk sesi Parlimen lepas masih belum dibayar.

“Selalunya ambil masa dua minggu tetapi kerajaan tak ada duit,”
katanya pada sidang media di Kuantan hari ini.



Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh turut menyuarakan sentiment sama dan berkata situasi itu menyukarkan ahli Parlimen pembangkang menjalankan program dan menggaji pekerja.

“Kami tak ada dana lain, tuntutan itu akan digunakan untuk bayar pekerja. Sangat sukar bila tak dapat tuntutan. Situasi yang menyedihkan bila ahli Parlimen pun tak dibayar.”

Beliau juga mendakwa sejak tahun lepas, wujud banyak masalah dengan tuntutan elaun ahli Parlimen yang tidak dibayar tepat pada masanya selepas persidangan.

“Elaun persidangan yang sepatutnya dibayar ketika sesi lambat dibayar. Kami hanya dibayar dua minggu lepas. Malah tuntutan pun tak dibayar lagi,” kata Fuziah.

Ahli Parlimen Anthony Loke (DAP) pula mengatakan beliau dimaklumkan Jabatan Kewangan Parlimen yang mereka tiada duit untuk bayar tuntutan.

“Jabatan (kewangan) beritahu kami yang tiada duit. Bajet Parlimen sudah habis dan mereka dibayar secara ansuran,”
katanya kepada The Malaysian Insight hari ini.

Loke, ahli Parlimen Seremban berkata yang situasi itu adalah bukti Putrajaya berdepan masalah kewangan sehingga ahli Parlimen pun tak dibayar.

“Mereka (kerajaan) tak cukup duit. Mereka potong mana-mana yang mereka boleh, termasuklah untuk ahli Parlimen,” katanya.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...