Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Rabu, 28 Februari 2018

Malaysia Malang : Bila Isu Rasmi Tudung Di Zouk Lebih Penting Dibahas Dari Isu Pendidikan & Kemiskinan.

Oleh : ZF Zamir

SAYA mengambil masa lebih daripada 24 jam untuk mula menulis ayat ini : “Hari ini adalah hari yang menyedihkan untuk Malaysia.”


  
Saya teringat hari sebelumnya ketika melintas dari bangunan Axiata ke KL Sentral, di rembang petang yang hangat ketika orang-orang bekerja mulai memenuhi stesen LRT untuk bergerak pulang ke rumah.

Saya dan Amir baru pulang dari pelancaran laporan Unicef dengan kerjasama DM Analytics bertajuk “Kanak-kanak pinggiran: Satu kaji selidik mengenai kemiskinan dan penafian hak kanak-kanak bandar di rumah pangsa di Kuala Lumpur”.

Kami berhenti di sebuah kafe di lantai bawah KL Sentral dan memesan air. Kami baru saja selesai berdepan dengan satu daripada dapatan paling menyakitkan, yang tidak pernah kita semua bayangkan terutama ketika Wawasan 2020 bakal menjelang kurang dari 2 tahun saja lagi.

Dapatan ini mengingatkan saya kepada tahun-tahun awal aktivisme saya dalam bidang pendidikan. Enam tahun yang lalu, saya mengajar di sebuah sekolah di Wangsa Maju. Sekolah ini menerima pelajar dari dua latar belakang yang berbeza. Sebahagian kecilnya dari keluarga yang menetap di kondominium dan duduk di kelas-kelas hadapan, dan sebahagian besarnya dari rumah pangsa sekitar yang menduduki kelas-kelas corot.

Pernah satu hari ketika selesai menjalankan kelas tambahan untuk anak-anak kelas hujung ini, seorang anak perempuan memujuk saya agar tidak menghantarnya pulang ke rumah pangsanya. Jam pada ketika itu sekitar 3 petang dan saya bertanya kepadanya mengapa. Jawapannya mengubah sudut pandang dan cara saya berfikir terhadap anak-anak ini, golongan marginal dan terpinggir yang tak ada siapa peduli.



Anak itu menjawab, dia tidak mahu pulang kerana datuknya gemar mengganggunya jika tiada orang lain di rumah. Saya akhirnya membawa anak-anak ini makan di sebuah kedai untuk membuang masa sebelum menghantar mereka pulang lewat petang.

Laporan ini dengan jelas mendedahkan walaupun Malaysia semakin maju dari segi pembangunan fizikal dengan pembukaan pusat beli belah baru setiap bulan di Kuala Lumpur, pembinaan laluan MRT3 dalam masa terdekat dan menara lebih tinggi dari KLCC yang bakal siap tak lama lagi, anak-anak Malaysia yang hidup di flat kos rendah dan rumah pangsa di sekitar Kuala Lumpur dinafikan hak dan mereka hidup di bawah paras kemiskinan.

Dilarang makan makanan sihat

Menurut laporan tersebut, 22% anak 4 tahun di rumah pangsa mempunyai tumbesaran yang terbantut; 20% anak bawah 5 tahun kurus kering manakala 15% anak ini kurang berat badan. Angka-angka ini malah lebih tinggi dari purata kebangsaan dan Kuala Lumpur. Purata kadar bantut KL ialah 11%, kurus kering 9% dan kurang berat badan ialah 8%.

Ini bermakna prestasi Malaysia dalam melarang anak-anak rumah pangsa mendapat makanan yang berzat dan berkhasiat meletakkan mereka di tangga ke-3 dalam kategori bantut mengalahkan Thailand (16.3%) dan Singapura (4.4%); tangga ke-8 dalam kategori kurus kering mengalahkan Filipina (7.9%), Myanmar (7.0%) serta Thailand (6.7%), Vietnam (6.4%), Laos (6.4%), Singapura (3.6%) dan Brunei (2.9%).

Dalam kategori kurang berat badan juga prestasi Malaysia begitu memberansangkan dengan mengalahkan Brunei (9.6%), Thailand (9.2%) dan Singapura (3.3%). Prestasi Malaysia yang begitu menyerlah ini bahkan meletakkan peratusan anak bantut Malaysia lebih ramai dari Ghana (18.8%).

Lebih mengerikan, 1 daripada 10 anak kita makan kurang dari 3 kali sehari (12%), 97% ahli keluarga berpendapat harga makanan berkhasiat mahal dan 1 dari 2 anak tidak mempunyai wang yang cukup untuk membeli makanan.

Dilarang belajar dan bermain

Laporan ini juga melaporkan 51% anak berumur 5 dan 6 tahun tidak menghadiri prasekolah; 2% anak berumur dari 7 ke 17 tahun tidak bersekolah; 4 dari 10 ahli rumah tidak membekalkan permainan kepada anak berumur kurang dari 5 tahun serta 31% ahli rumah tidak mempunyai buku untuk anak-anak berumur di bawah 18 tahun.

Ini bermaksud, bukan saja ramai anak-anak rumah pangsa ini tidak menghadiri pendidikan awal kanak-kanak, mereka juga dilarang untuk memiliki permainan. Mereka dilarang untuk belajar bahkan dilarang untuk bermain. Generasi ini juga dilarang untuk membaca kerana tiada dibekalkan dengan buku.

Dan untuk anak-anak yang mahu belajar pula, 8 dari 10 anak belajar di ruang tamu yang sempit dan menyesakkan. Ini bermakna mereka dilarang untuk belajar dalam keadaan yang kondusif.

Miskin dan pemalas

Namun di sebalik naratif orang miskin adalah golongan pemalas dan mempunyai masalah sikap, laporan ini mendedahkan bahawa 9 dari 10 orang mempunyai pekerjaan (88%).

90% dari mereka ini bekerja sepenuh masa, 1 dari 3 orang tidak mempunyai jaringan keselamatan sosial dan yang lebih penting, mereka bekerja lebih masa tetapi beroleh pendapatan yang lebih rendah berbanding pekerja biasa iaitu RM 9 sejam berbanding RM12 (standard kebangsaan).

Dapatan ini sebenarnya meruntuhkan naratif dan tanggapan umum bahawa orang miskin adalah pemalas. Dan kesemua data laporan yang dikemukakan ini jika dianalisis lebih dalam sebenarnya menimbulkan lebih banyak persoalan.

Pertama, mengapa masalah bantut dalam kalangan anak kecil tidak kita selesaikan 30 tahun yang lalu?

Kedua, kehadiran dua ekstrem di antara masalah bantut dan kurus kering dengan masalah obes (12.7%) menunjukkan gaya pemakanan yang tidak sihat iaitu sama ada (i) adakah makanan tidak sihat lebih mudah didapati atau (ii) adakah makanan berkhasiat mahal dan sukar diperolehi?

Ketiga, mengapa hampir 50% anak kecil di rumah pangsa tidak menerima pendidikan awal kanak-kanak?

Apakah agensi kerajaan terutama dalam sektor pendidikan tidak sedar akan ‘blindspot’ ini dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2025?

Keempat, adakah pihak berkuasa sedar hampir 7% penduduk KL hidup di bawah paras kemiskinan dan hampir 85% isi rumah dianggap miskin bandar dengan pendapatan isi rumah untuk warga rumah pangsa hanyalah RM575 berbanding pendapatan isi rumah untuk semua warga Kuala Lumpur dalam kumpulan B40 iaitu RM3,248?

Saya masih ingat beberapa minggu yang lalu Dr Muhammed Abdul Khalid, ketua kumpulan pengkaji yang menghasilkan laporan ini mengingatkan kepada saya bahawa produktiviti negara bakal terjejas dalam masa 30 tahun ke depan jika masalah generasi bantut ini tidak ditangani dengan betul.

Ini bahkan mengingatkan saya kepada soalan seterusnya iaitu, jika ekonomi negara semakin berkembang, mengapa kemakmuran tidak dapat dinikmati oleh semua orang, terutamanya kepada anak-anak kecil kita?

Adakah kita telah melakukan yang terbaik untuk anak-anak kita? Mengapa ada sebahagan dari anak kecil kita yang dinafikan hak untuk belajar dan bermain atau untuk membesar dengan sihat?

Dan sebenarnya semakin banyak soalan perlu dirungkai. Apakah rancangan pihak berkuasa terhadap pembandaran dan urbanisasi?

Adakah isu orang miskin hanya akan dibincangkan di dalam forum seperti World Urban Forum (WUF) semata-mata tanpa melibatkan polisi aktif di pihak berwajib?

Semua persoalan ini sangat menyakitkan. Ini kerana GDP ekonomi kita berkembang 10% setiap tahun semenjak 1970 dan kadar kemiskinan berjaya mencecah angka 0%.

Kita harus berasa malu kepada anak-anak kita kerana telah gagal menyediakan suasana yang lebih baik dan menunaikan segala hak dan tanggungjawab negara kepada mereka. Tetapi lebih kita harus lebih malu kerana masyarakat lebih gemar untuk bercakap mengenai penutup kepala wanita berbanding anak-anak terpinggir miskin bandar yang didedahkan dalam laporan ini.

Sesungguhnya, hari ini adalah hari yang menyedihkan buat Malaysia kerana masyarakat membuktikan tudung lebih penting dari hal anak-anak miskin.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...