Ahad, 10 Disember 2017

"Ahli Keluarga Yang Sokong Saya Akan Ditangkap Satu Persatu," Kata Azmin Ali.

Menteri Besar Selangor mendakwa beliau telah mendapat maklumat berkenaan tangkapan akan dilakukan lagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap ahli keluarganya berkaitan kes rasuah lapor Sinar Harian.

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pihaknya mendapat maklumat tangkapan itu akan dibuat pada minggu hadapan berkemungkinan kes yang sama.

 
"Saya juga sudah dapat maklumat bahawa mana-mana ahli keluarga yang menyokong saya, mereka akan ditangkap satu persatu. 

"Sebaliknya mana-mana ahli keluarga yang tidak bersetuju dengan saya, pihak lawan akan mempergunakan mereka melalui saluran media bagi memfitnah dan menyerang saya," katanya, memetik laporan media itu.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Jelajah Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) bagi Dun Kota Damansara di tapak pasar tani Kampung Melayu Subang, hari ini.

Pada masa sama, Adun Bukit Antarabangsa itu turut mengingatkan pihak lawan agar bermain politik secara matang bukannya dengan menyerang ahli keluarganya selepas gagal menjatuhkan dirinya dan Kerajaan Selangor.

"Jika tidak bersetuju dengan saya, lawan saya, bahas saya dan jangan ambil anak saudara saya.

"Saya ingatkan jangan sentuh keluarga saya dan jangan buat fitnah dan maki hamun, mari lawan secara 'gentleman' pada Pilihanraya Umum (PRU) akan datang," katanya.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...