Rabu, 13 Disember 2017

Empat Pegawai Polis Temui Mahathir Rakam Kenyataan Isu Forex.

Empat pegawai polis tiba di bangunan Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini sebentar tadi dipercayai bagi merakam kenyataan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad lapor Berita Harian sebentar tadi.

Mereka yang menaiki dua kereta tiba kira-kira jam 1.40 petang sebelum memasuki bangunan berkenaan.
Ia dipercayai susulan laporan polis yang dibuat wakil Suruhanjaya Siasatan Untuk Menyiasat Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing (RCI) Oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 1990-an.
Terdahulu, peguam Dr Mahathir, Mohamed Haniff Khatri Abdulla bersama dua lagi peguam dilihat memasuki bangunan sama, kira-kira jam 1.05 petang.
Awal bulan ini, satu pasukan khas ditubuhkan Bukit Aman untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh berhubung laporan diterima daripada suruhanjaya berkenaan.
Dalam laporan sebelum itu, polis dicadang menjalankan siasatan rasmi ke atas kesalahan pecah amanah, jenayah atau penipuan serta lain-lain kesalahan yang mungkin dilakukan pihak berkaitan.
Ia mungkin membabitkan pegawai dan Lembaga Pengarah BNM, Kementerian Kewangan, Jabatan Audit Negara serta Menteri Kewangan dan Perdana Menteri ketika itu dalam pelaksanaan aktiviti spekulatif pertukaran mata wang asing dan pelaporan kerugian dialami BNM pada 1990-an.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...