Rabu, 22 November 2017

Anak Husam Didakwa Miliki Dadah 20 Gram.

Anak lelaki Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Datuk Husam Musa, didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas tuduhan memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 20 gram lapor Berita Harian.
Ahmad Syafi Husam, 29, mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu di hadapan Majistret Kamarul Hasyime Rosli.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di tepi sebuah rumah beralamat 409, Jalan Pasir Mas-Salor, Kampung Jelutong, Kota Bharu, pada jam 3.30 petang, 18 November lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39 A (1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan sembilan sebatan.
Bagaimanapun, Husam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, tidak hadir di mahkamah hari ini.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Shahirun Azri Mohd Nordin menawarkan wang jaminan sebanyak RM15,000.
Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili lima peguam yang diketuai Firdaus Mohd Yusof memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan sebanyak RM8,000.
Katanya, anak guamnya yang juga anak sulung daripada tujuh beradik itu akan memberi kerjasama kepada mahkamah sepanjang kes perbicaraan dijalankan.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Januari ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...