Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Sabtu, 25 November 2017

Cukupkah Sekadar Membina Lebih Banyak Rumah? - Nurul Izzah.

Oleh : Nurul Izzah Anwar
CUKUPKAH SEKADAR MEMBINA LEBIH BANYAK RUMAH?
1) Isu perumahan di negara ini terutamanya perumahan kos rendah dan sederhana, semakin nazak dari hari ke hari.
2) Kerajaan Negeri Johor akan membuka pasaran perumahan untuk warga asing kerana semakin banyak projek perumahan atau hartanah yang tidak terjual.
3) Disebabkan kos rumah yang melangit (terutamanya di Johor dan Sabah), lebih 130,000 unit kediaman tidak terjual di sekitar Malaysia.

4)Rata-rata rumah tidak terjual berharga RM250,000 dan ke atas, iaitu 4 ke 5 kali lebih tinggi dari paras gaji pertengahan tahunan rakyat yang ingin memiliki rumah sendiri.
5) Masalah ketidak-seimbangan pemilikan hartanah semakin meruncing, dan didominasi golongan elit dan berduit.
[Situasi Bandar]
6) Di PPR Sentosa dan Kerinchi, di kawasan Parlimen Lembah Pantai, dianggarkan lebih 65 peratus daripada mereka menyewa unit kediaman kos rendah.
7) Kalau sebahagian besar daripada mereka tidak dapat melangsaikan pembayaran sewa RM124 sebulan, apakah kemungkinan mereka memperoleh kediaman tetap? Lagi-lagi dengan harga unit kediaman yang tak terjangkau di bumi bertuah Kuala Lumpur?
[Situasi Luar Bandar]
8) Kalau seunit rumah setingkat di pekan-pekan seperti Sik, Gemencheh dan Sungai Manik berharga RM230,000 ke RM300,000, boleh kita bayangkan, betapa kecilnya kelompok masyarakat yang mampu menjadi pemilik rumah, sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.
9) Apabila diajukan pada pak menteri, pusing-pusing solusi yang diberi berbunyi, "kita bina lagi rumah, di bawah agensi-agensi dan projek-projek kerajaan". Tapi berbaloikah projek-projek ini demi kestabilan dan kebahagiaan rakyat? Waktu saya tanyakan persoalan tentang isu perumahan rakyat di sidang Parlimen kali ini, jawapan yang sama juga diterima.
10) Bandingkan, jumlah permohonan perumahan PR1MA mencecah 1.5 juta, tetapi yang telah dijual setakat ini hanya 12,970 unit - kurang 1 peratus daripada permintaan keseluruhan!
[Anak-Muda]
11) Bagi anak muda pula, skim Rumah Transit 1Malaysia hanya membenarkan sewaan rumah pada kadar RM250 selama dua tahun. Tetapi ada lagi syarat tambahan - pendapatan isi rumah harus berada di bawah paras RM3,000.
12) Kesudahannya, projek perumahan ‘mampu milik’ yang dicanang habis-habisan gagal mencapai objektif asal. Ia sekadar menjadi penambah masalah, dek kerana harga rumah yang tetap tinggi dan tidak berpadanan dengan saiz yang ditawarkan.
13) Tambahan lagi, syarat-syarat yang dikenakan bagi permohonan pembelian rumah di bawah skim kerajaan membebankan pemohon. Kadar penyelenggaraan bulanan beratus ringgit bagi kawasan perumahan bertingkat pula, menjadi batu penghalang bagi pemohon yang inginkan aset tersebut.
[Perbandingan 10 Tahun Lepas]
14) Situasi pada hari ini amat berbeza dengan perkembangan 10 tahun sudah. Isu perumahan bukan lagi isu golongan B40, tetapi telah ‘diangkat’ sebagai isu nasional - tanpa penyelesaian jangka pendek dan panjang yang jelas.
15) Notis penangguhan projek pembangunan perumahan mewah yang dikeluarkan Kementerian Kewangan beberapa hari lalu, mana mungkin dapat mengurangkan harga pasaran dalam sekelip mata.
[Gimik Sementara]
16) Pada saya, ini hanyalah gimik sementara untuk menyedapkan hati rakyat yang kecewa.
17) Bukankah lebih berkesan jika kerajaan dan kementerian berwajib bersifat tegas dengan para pemaju, dan menetapkan kadar julat harga bagi projek perumahan. Tatkala pemaju menjana keuntungan berbilion ringgit, rakyat jualah yang semakin hari, semakin sakit.
[Tingkatkan Subsidi]
18) Daripada membiarkan pemaju mengaut hasil daripada pembeli, mengapa kerajaan tidak tingkatkan subsidi? Bukankah ini dapat menghalang pihak pemaju daripada meningkatkan harga hartanah dan projek perumahan?
19) Sedangkan alasan yang sering diguna pakai untuk menaikkan harga adalah kenaikan kos bahan mentah yang berlarutan.
20) Harus diingat, PRU14 yang bakal menjelang dikuasai rakyat. Jangan sampai disebabkan rakyat ketiadaan rumah kediaman, kerajaan pemerintah hilang ‘rumah’ Parlimen.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...