Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Ahad, 12 Februari 2017

Dah Masuk Tahun 2017, Kerajaan Masih Gagal Selesaikan Kekurangan Bekalan Minyak Masak Bersubsidi - Kenapa?

Oleh : Rozaman Ismail (Utusan)

SEPANJANG beberapa minggu ini timbul lagi isu kekurang­an bekalan minyak masak peket bersubsidi di seluruh negara. Rak-rak minyak masak peket plastik satu kilogram di kebanyak­an pasar raya kosong. 

Yang ada hanyalah minyak masak tanpa subsidi botol lima atau 10 kilogram sahaja. Se­perti biasa alasan yang diberikan ialah kerana musim pera­yaan. Kebetulan minggu lalu ada sambutan Tahun Baharu Cina. 

Seperti yang lepas-lepas juga sambutan musim perayaan dijadikan ‘kambing hitam’ oleh pihak berkuasa setiap kali berlaku masalah kekurangan atau ketiadaan bahan masak itu di pasaran. 

 Sejak langkah ‘rasionalisasi’ harga minyak masak dilaksanakan 1 November tahun lalu, bermacam-macam rungutan timbul. Bekalan peket satu kilogram yang tidak terlibat dengan ‘rasionalisasi’ sentiasa putus dan berkura­ngan di pasaran. Memang minyak masak jenis tersebut menjadi rebutan para pengguna. Dalam keadaan kos sara hidup yang naik setiap hari, bahan masak pek plastik itu menjadi pilihan keba­nyakan pengguna. 

Pertama, har­ganya masih sama dan tidak meng­alami kenaikan sebagAimana dalam botol lima dan 10 kilogram yang berkali-kali ganda harganya. Bagaimanapun jaminan pihak berkuasa bahawa bekalan minyak masak bersubsidi itu tidak akan mengalami kekurangan di pasaran sebenar tidak berlaku. Dalam kebanyakan keadaan, peket satu kilogram masih sukar diperoleh. 

Di sesetengah tempat seperti yang dilaporkan, kekurangan dikatakan meruncing! Hampir semua kedai runcit dan pasar raya juga masih mengehadkan pembelian kepada lima peket sahaja bagi setiap pembeli. 

Sejak hari pertama rasionalisasi harga diper­kenalkan, syarat seumpama itu sudah ditampal di rak-rak minyak dan kekal sampai sekarang. Kenapa perlu diletakkan syarat sedemikian kalau bekalan sentiasa ada dan mencukupi? 

Pengguna atau pembeli wajar dibenarkan membeli seberapa banyak yang mereka mahu selagi mereka mampu. Kumpulan pengusaha kedai makan, peniaga dan penjaja kecil tepi jalan dan pasar malam sebagai contoh mahu membeli dalam kuantiti yang besar kerana bahan masak itu digunakan setiap hari. 

Begitu juga dengan suri rumah sepenuh masa yang hobinya masak-memasak. Oleh kerana sukar mendapatkan bahan tersebut, sekali jumpa, mereka sudah pasti memborong dalam bilangan yang banyak. 

Bukan apa, mereka bimbang dengan keadaan sekarang, kerap sangat, sekejap ada, sekejap tak ada! Kumpulan ini mencari nafkah hidup dengan berniaga kecil-kecilan dan sudah tentu mahu meminimumkan kos dan memerlukan stok berterusan. 

Ada kala, oleh kerana bekalan sukar diperoleh, mahu tidak mahu mereka terpaksa membeli minyak masak dalam botol lima atau 10 kilogram yang berlipat kali ganda mahal. Sebenarnya pengguna terutama rakyat miskin dan berpendapatan rendah sudah lama tertekan dengan keadaan ini. 

Jaminan pihak berkuasa terlibat bahawa bekalan sentiasa mencukupi nampaknya tidak selari dengan realiti yang berlaku. Walaupun akhbar dan media massa lain banyak kali melaporkan kes-kes sedemikian, Kejadian tetap berlaku dan berterusan. 

Yang menariknya, setiap kali media massa membongkar kes-kes kekurang­an bekalan minyak masak peket plastik ini, pihak berkuasa terlibat seperti biasa akan menafikan laporan tersebut. 

Esoknya akan adalah lawatan mengejut ke kilang-kilang pengeluaran minyak tersebut disusuli dengan sidang akhbar. Menteri dan pegawai-pegawai terlibat ‘senyum-senyum atau tersengih-sengih’ bergambar sambil memegang sepeket dua minyak masak dalam plastik lut sinar satu kilogram

Nah, lihatlah ini buktinya bekalan tidak terputus dan sentiasa ada! Lebih teruk lagi ada yang tergamak menuduh media mempunyai agenda tersembunyi setiap kali mendedahkan kepincangan ini. Ya, memang media ada agenda iaitu agenda rakyat. Rungutan rakyat golongan bawahan inilah yang mendorong media mendedahkan apa yang berlaku. 

Apa yang pengguna tidak boleh terima ialah kenapa kes-kes kekurangan, ketiadaan bekalan tidak dapat diatasi sehingga sekarang. Kalau pada peringkat awal pelaksanaan rasionalisasi harga dahulu, pengguna faham mungkin berlaku pembelian panik. Masing-masing mahu mendapatkan minyak masak berharga pa­ling murah. Habis disapu bersih rak-rak yang menempatkan mi­nyak masak berharga sedemikian. 

Bagaimanapun setelah masuk tahun baharu 2017 ini, masalah itu sewajarnya sudah tidak timbul lagi. Jaminan demi jaminan kementerian dan agensi terlibat tinggal sekadar retorik sahaja. Dengan apa yang sedang berlaku sekarang, orang ramai sudah tidak yakin dan melihat dengan sinis segala jaminan yang diberikan. Apa lagi alasan selepas ini? 

Permintaan tinggi di musim perayaan? Permintaan naik mendadak kerana banyak kenduri-kendara? Bekalan terputus kerana musim hujan atau musim tengkujuh atau kemarau panjang menjejaskan pengeluaran? Masalahnya kalau tak ada musim perayaan pun bekalan kerap kali tiada. Pengguna sudah bosan dan ada ketika naik meluat dengan alasan-alasan yang diberikan. 

Pada masa ini alasan lebih banyak daripada tindakan termasuk pe­nguatkuasaan. Para pengguna sudah cemuih dengan pelbagai alasan yang kedengaran indah dan ‘muluk-muluk’ belaka. Mereka mahukan masalah ini diselesaikan, ditamatkan, diatasi secara kekal dan tidak berulang lagi. Bukan sekadar tindakan bermusim, berkala dan ala kadar sahaja. 

Tidak perlulah bercakap fasal memahami denyut nadi rakyat, menyelami hati nurani rakyat, mengerti kesukaran hidup golong­an miskin dan berpendapatan rendah kalau masalah bekalan minyak pun masih tidak selesai-selesai lagi!

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...