Ahad, 12 Februari 2017

Empat Wakil Rakyat DAP Melaka Umum Keluar Parti, Letak Jawatan Kerana Hilang Kepercayaan Terhadap Lim Guan Eng

Empat wakil rakyat DAP hari ini mengumumkan keluar parti dan meletak semua jawatan dalam parti serta-merta. 

Empat Wakil Rakyat DAP Melaka Keluar Parti

Mereka yang keluar parti ialah Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him serta tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), iaitu Duyong, Goh Leong San; Lim Jak Wong (Bachang), dan Chin Choong Seong, lapor Berita Harian.

Mereka membuat pengumuman itu dalam satu sidang media yang diadakan dan ia turut disiarkan oleh portal Orential Daily Online.  

Pada Februari lepas, Sim dan Goh dilaporkan digantung selama setahun kerana berulang kali membuat kenyataan yang didakwa merosakkan reputasi parti itu. 

Perletakan jawatan itu menyebabkan DAP hanya memiliki baki tiga kerusi di dewan undangan negeri iaitu Kota Laksamana, Bandar Hilir dan Ayer Keroh, manakala tiada kerusi parlimen.   
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, mereka membuat keputusan itu selepas pertimbangan wajar dan tidak tergesa-gesa. 

"Selepas pertimbangan wajar, serius, dan penuh kesal, kami hilang kepercayaan dan amat kecewa dengan anda (Lim Guan Eng) dan kepimpinan pusat dalam menangani isu dalaman dan luaran parti. 

"Kami juga tidak boleh menerima pendirian yang diambil dalam penjajaran politik baharu yang dilakukan DAP kebelakangan ini," kata mereka dalam surat yang ditujukan kepada Setiausaha Agung, Lim Guan Eng. 

Difahamkan, mereka tidak akan menyertai mana-mana parti politik lain, sama ada di pihak kerajaan atau pihak pembangkang namun tidak menolak untuk bertanding sebagai calon bebas dalam pilihan raya umum akan datang.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...