Ini kerana, katanya, segala-galanya yang berlaku adalah qada dan qadar Allah.
“Kalau qadanya ini, takdirnya begini. Yang itu saya serahkan kepada Allah Taala.
“Tetapi saya percaya setiap insan perlu berusaha dan mendapatkan kepercayaan untuk memperlihatkan keikhlasan, untuk menunjukkan kegigihan. It will make the dreams come true,” kata Zuraida dalam pertemuan di pejabatnya baru-baru ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pandangan skeptikal orang ramai berhubung pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Kelapan meskipun Tun Dr Mahathir Mohamad berulang kali kenyataan akan menunaikan janjinya.
Zuraida yang juga Naib Presiden PKR mengakui semasa zaman reformasi penyokong-penyokong parti itu memang berjuang untuk menjadikan Anwar sebagai perdana menteri.
Bagaimanapun, katanya, landskap politik sudah berubah.
“Dulu kita berjuang tanpa Dr Mahathir, tanpa Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia). Apabila kita ada pembaharuan, yang mana kita bergabung bersama untuk mengguling kerajaan Barisan Nasional ketika itu. Apabila fakta ini sudah berbeza, keadaan sudah berbeza, pendekatan kita juga harus berbeza,” katanya.
Beliau memberitahu, Dr Mahathir dipersetujui untuk dilantik sebagai perdana menteri ketujuh selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu kerana ketika itu Anwar baharu keluar dari penjara, perlu menjalani proses pengampunan dan sebagainya.
“Jadi tidak boleh menjadikan beliau sebagai PM (perdana menteri) ketika itu walaupun reformasi kita untuk Anwar. Keadaan itu tidak membolehkan dan kita berbalik kepada Tun M, yang dulu ada pengalaman untuk memimpin negara.
Ditanya adakah Anwar menunjukkan keikhlasan dan kesungguhan untuk bergelar seorang perdana menteri, Zuraida berkata, setiap orang yang hendak jawatan itu memanglah akan menunjukkan keikhlasan.
Tetapi ia akan dinilai oleh rakyat dan bukan diri sendiri.
“Pada saya, at the end of the day, adalah usaha kita, qada kita dan takdirnya pada Allah Taala,” tambahnya.
Dalam pertemuan itu, Zuraida juga menjawab persoalan ramai yang mendakwa beliau sudah tidak lagi bersama ‘kem’ Anwar.
Ujarnya, persepsi itu tidak betul kerana Anwar menjadi Presiden PKR menang tanpa bertanding, sekali gus menunjukkan kepimpinan parti itu bersedia untuk menerima beliau sebagai pemimpin parti.
“Jadi tak betul kata bukan dari kem presiden. Kita bukan hendak lawan. Kalau ada kata vote of no confidence barulah kata nak lawan. Ini tidak, kita memang terima beliau sebagai pemimpin parti,” tegas beliau.
Zuraida tidak menafikan beliau kritikal mengenai cara individu membuat kerja dan membuat keputusan, bagaimanapun beliau masih menghormati perbezaan tersebut.