Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Ahad, 28 April 2019

Satu Persatu Faedah Untuk Rakyat Selangor Dibatalkan..

KENYATAAN MEDIA KHALID IBRAHIM | Salam. Sesungguhnya saya sangat kecewa apabila membaca berita pengumuman Dato’ Menteri Besar Selangor bahawa Skim Mesra Usia Emas yang diperkenalkan oleh kerajaan Negeri Selangor Pakatan Rakyat pada 2008 akan ditamatkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan pada Mei hadapan.


Apatah lagi apabila Tabung Kewangan Anak Selangor (Tawas) dan Hadiah Perkahwinan untuk Belia juga telah terlebih awal dibatalkan kerajaan negeri.

Program-program tersebut adalah antara 14 program kebajikan di bawah Skim Merakyatkan Ekonomi Negeri Selangor yang mempunyai matlamat murni; memulangkan hasil negeri kepada rakyat.

Selaku Menteri Besar pada ketika itu saya mahu rakyat merasai negeri ini milik mereka. Justeru slogan #Selangorku begitu terpahat di hati rakyat.

Pada masa yang sama saya turut mahu membuktikan bahawa apabila hasil negeri diurus dengan baik oleh kerajaan, rakyat juga berhak merasa pulangannya.
Malangnya ahli politik di bawah Pakatan Harapan setelah mendapat mandat selesa dari rakyat tidak mempunyai niat yang sama atau tidak mampu dan tidak berkebolehan untuk meneruskan usaha yang telah saya mulakan. Pastinya skandal 1MDB tidak boleh dijadikan alasan kegagalan mereka meneruskan program kebajikan rakyat ini.

Saya tidak fikir sumber hasil pendapatan Selangor sekarang jauh berbeza dengan apa yang diperolehi pada zaman saya. Namun yang berbeza adalah pendekatan pengurusan dan pentadbiran. Diburukkan lagi dengan perbelanjaan yang tidak dikawal, tiadanya cermat dan hemat serta amanah.

Jika dahulu rakyat Selangor boleh berbangga berasal dari negeri yang paling kaya dan maju serta dirahmati dengan pelbagai program kebajikan, sekarang rakyat Selangor mungkin antara yang paling malang. Selain pemberian air percuma kepada setiap isirumah akan dibatalkan, tarif air pula akan dinaikkan. Ini semua merupakan kesan dan akibat langsung dari tindakan kerajaan negeri yang tunduk kepada pemegang konsesi SPLASH dengan membayar RM2.7 billion iaitu 10 kali lebih banyak dari nilai yang sepatutnya dalam urusan penstrukturan semula industri air di negeri ini.

Kepada rakyat Selangor, meskipun perit dengan perkembangan ekonomi dan terik dengan tekanan kos sara hidup, dunia belum berakhir. Bertabah dan pada masa yang sama jangan sesekali putus asa memperjuangkan yang hak. Kepada pemimpin pula jangan sesekali khianat kepada amanah yang diberikan rakyat kerana sekali rakyat bertindak kerajaan berusia 60 tahun juga boleh runtuh.

Wallahu’alam.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...