Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Khamis, 21 Mac 2019

Jangan Potong Subsidi Haji Rayu UMNO Kepada Menteri Agama..

KENYATAAN MEDIA | JANGAN BEBANKAN  RAKYAT DENGAN POTONG SUBSIDI HAJI, HAYATI MATLAMAT TABUNG HAJI

Buat Kekandaku YB Dr Mujahid Yusof Rawa,

Mohonlah jangan sesekali mempertimbangkan untuk dikurangkan subsidi Haji bagi jemaah Muassasah kali pertama. Menggunakan alasan konsep 'istito’ah' atau ‘kemampuan jemaah’ untuk menghalalkan Tabung Haji mengurangkan komitmen subsidi yang diberikan selama ini bagaikan cuba melupakan matlamat asal penubuhan Lembaga Tabung Haji (TH).


Sedarlah bahawa tujuan utama penubuhan TH sejak awal penubuhannya 1969 adalah untuk membantu memudahkan dan menguruskan segala aspek yang menyentuh urusan Haji rakyat Malaysia. Ini termasuklah berfungsi menguruskan dana umat Islam bagi memperoleh keuntungan yang membolehkan TH membantu mengurangkan bebanan jemaah dengan menawarkan perkhidmatan terbaik pada kadar yang terendah.

Sebab itulah Kerajaan terdahulu sentiasa memastikan TH dapat menyediakan subsidi bagi mengurangkan kos jemaah Haji pertama kategori Muassasah. Untuk rekod sudah lebih 10 tahun, kadar yang perlu dibayar jemaah Haji Malaysia hanyalah RM9,980 berbanding kos terkini diumumkan Kekanda YB Menteri yang sudah mencecah RM22,900. 

Seingat saya ketika dalam pentadbiran Kerajaan lama, pernah tiga kali Pengurusan TH memohon untuk dinaikkan caj Haji kepada jemaah. Namun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada waktu itu, tidak pernah bersetuju dan sentiasa memperingatkan mengenai matlamat penubuhan TH, malah  membantu TH dengan memberikan peluang-peluang perniagaan, pelaburan dalam pelbagai sektor termasuk hartanah bagi memastikan TH mempunyai kekuatan kewangan yang mantap dan memperolehi keuntungan yang optimum bagi meneruskan usaha membantu rakyat khususnya jemaah Haji.

Apakah kenyataan YB Dr. Mujahid yang terbaru ini memberikan indikasi bahawa Kerajaan PH tidak lagi mahu membantu TH mengembangkan perniagaan mereka? 
Atau, apakah ini juga memberikan isyarat kegagalan penstrukturan semula TH termasuk kesilapan keputusan penjualan aset-aset strategiknya kepada SPV di bawah Kementerian Kewangan yang bernilai RM19.9 billion?

Walau apapun alasan, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia merayu agar YB Dr Mujahid yang merupakan Menteri bertanggungjawab dalam Hal Ehwal Agama mewakili Kerajaan PH tidak sesekali melupakan matlamat asal penubuhan TH. Pemuda UMNO juga mendesak agar Kerajaan tidak meneruskan agenda untuk mengurangkan subsidi Haji yang pastinya akan membebankan rakyat khususnya umat Islam di Malaysia masa depan!

Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...