Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Jumaat, 4 Januari 2019

Kenali Zukri, Individu Yang Bertanggungjawab Pindahkan Aset TH Ke SPV.

MALAYSIADATELINE | Dari sebuah bank yang secara teknikalnya sudah muflis, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BIMB yang juga Pengarah Urusan Bank Islam, Datuk Seri Zukri Samat, berjaya memulihkan bank itu.

Itulah juga orangnya yang kini diberikan kepercayaan oleh kerajaan untuk mengetuai usaha untuk membaik pulih Tabung Haji, yang juga berada dalam keadaan tenat apabila hutangnya lebih besar dari aset yang ada.

Zukri diminta membantu untuk memulihkan Bank Islam pada tahun 2006 ketika Bank Islam berada dalam keadaan kucar-kacir dan mengumumkan kerugian sebanyak RM1.3 bilion.


Malah menurut Zukri, secara teknikalnya, Bank Islam sudah pun muflis ketika itu.

Menggunakan kepakaran dan pengalaman yang ada, Zukri berjaya memulihkan keadaan. Sehingga kini, kedudukan Bank Islam boleh dikatakan setara dengan bank-bank konvensional yang lain di Malaysia, lapor Utusan Malaysia dalam satu rencananya.

SPV

Pada 13 Julai lalu, Tabung Haji melantik Zukri sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) yang baru.

Selepas kira-kira lima bulan menjadi CEO, Zukri mengumumkan akan memindahkan aset yang tidak menguntungkan Tabung Haji bernilai kira-kira RM19.9 bilion kepada syarikat tujuan khas (SPV) menjelang 31 Disember ini.

Langkah ini bermatlamat memantapkan kedudukan kewangannya selepas ia agak kucar kacir selepas pelbagai masalah menimpanya ekoran pengurusan yang kurang baik dan telus sebelum ini.

Zukri berkata aset yang dipindahkan itu merangkumi hartanah dan ekuiti, manakala SPV itu akan dimiliki oleh Kementerian Kewangan.

Katanya, aset tidak menguntungkan akan dikenal pasti menerusi dua kriteria.

“Bagi hartanah, ia membabitkan aset dengan hasil kurang dua peratus dan bagi ekuiti, nilai rosot nilai melebihi 20 peratus.

“Sebagai pertukaran kepada aset, SPV akan terbitkan RM10 bilion sukuk tujuh tahun dan Saham Islamik Boleh Ditebus Boleh Ditukar (RCPS-i) berjumlah RM9.90 bilion,”
katanya pada sidang media 11 Disember lepas.

Zukri berkata, TH menyasarkan pemindahan aset tidak menguntungkan itu akan selesai akhir tahun ini. Beliau berkata, sebaik saja pemindahan itu selesai, aset dan liabiliti TH akan seimbang.

Ekoran langkah ini, pelbagai tuduhan telah dihalakan kepada kerajaan Pakatan Harapan termasuk menyerahkan aset Tabung Haji yang dimiliki oleh orang Islam kepada Kementerian Kewangan yang dipimpin oleh orang Cina.

Bahkan satu laporan polis telah dibuat bagi membantahnya.

LAPORAN POLIS

Tabung Haji pula pada 30 November 2018 lalu telah membuat dua laporan polis berkenaan penyelewengan dana berjumlah RM22 juta dan penjualan 95 peratus pegangan milik anak syarikatnya melibatkan jumlah RM3.8 bilion.

Antara pihak yang dinamakan dalam laporan tersebut ialah bekas Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim; bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Sri Ismee Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Johan Abdullah dan beberapa kakitangan kanan termasuklah Ketua Pegawai Operasi, Datuk Adi Azuan; Ketua Pegawai Kewangan, Datuk Rozaida Omar; Penasihat Undang-undang, Hazlina Mohd. Khalid dan Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat dan Hartanah, Rifina Md. Ariff.

Menurut Tabung Haji, laporan pertama melibatkan program Yayasan Tabung Haji (YTH) pada tahun 2017 yang mana dana melebihi RM22 juta telah digunakan untuk aktiviti berkaitan politik.

Laporan kedua pula melibatkan Ismee, Hazlinda dan Rifina berkaitan penjualan 95 peratus pegangan dalam syarikat PT TH Indo Plantations yang dimiliki oleh dua anak syarikatnya, iaitu TH Indopalms Sdn. Bhd. (THI) dan TH Indo Industries Sdn. Bhd. (THII) kepada PT Borneo Pacific (PT Borneo) untuk RM3.8 bilion (AS$910 juta) pada tahun 2012.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...