Lelaki berusia 31 tahun itu ditahan ketika dalam satu operasi di pusat hiburan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) dan Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard (BIPS) Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.
Dalam serbuan berkenaan, seramai 101 individu telah diperiksa membabitkan 55 wanita dan 46 lelaki.
Menurut Sinar Online, dalam pemeriksaan itu, dua lelaki berusia 33 dan 31 tahun telah ditahan selepas didapati positif dadah jenis ganja. Bagaimanapun anak menteri itu dilaporkan telah dibebaskan dengan ikat jamin.
Laporan SINAR tidak menamakan individu yang ditahan bagaimanapun portal The Malaysian Insight menyebut anak menteri yang ditahan itu adalah anak kepada Menteri Pertahanan, Muhammad Sabu.
Anak lelaki Muhammad Sabu itu ditahan ketika berada di dalam sebuah kelab malam. Ketika ini Muhammad Sabu belum mengeluarkan apa-apa kenyataan rasmi mengenai kejadian itu.
Dalam perkembangan berkaitan, meskipun rata-rata netizens mengkritik anak menteri itu yang terlibat dengan ganja dan mengunjungi kelab malam namun kerajaan Pakatan Harapan dipuji kerana tidak mengawal media, dimana media diberikan hak untuk melaporkan penahanan tersebut dan menamakan anak menteri itu.
Bahkan, kerajaan juga dipuji kerana tidak menghalang polis untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak termasuklah anak kepada Menteri Pertahanan sekalipun. - 5 Januari 2019.