Sabtu, 15 April 2017

Semakan Fakta - Ya Atau Tidak Rafizi Cadangkan Harga Minyak Disemak Mingguan Kemudiannya Uturn.

Semakan fakta kali ini adalah tentang isu Rafizi yang dikatakan UTURN selepas mencadangkan kepada kerajaan agar melakukan semakan harga minyak secara mingguan supaya tidak membebankan pengguna. Selepas mencadangkan perkara itu dan kerajaan melaksanakan ia, Rafizi sekali lagi mengkritik kerajaan kerana melakukan semakan harga minyak secara mingguan.

Benarkah dakwaan ini yang tersebar dalam bentuk poster dan komen terutamanya dikalangan yang menyokong parti kerajaan?

Mari kita lakukan semakan fakta tentang hal ini.

Pada Januari 2, tahun 2015 Rafizi ada mencadangkan semakan harga minyak dilakukan secara mingguan disebabkan dua faktor utama iaitu;

1. Harga minyak jatuh setiap hari, oleh itu ia menyebabkan rakyat perlu membayar lebih jika harga ditetapkan secara bulanan.

2. Apabila rakyat membayar lebih, maka setiap sen lebihan dikutip sebagai cukai.

Kenyataan itu boleh dilihat dibawah ini;


(rujukan kami)
 
Kemudiannya bermula pertengahan Mac lepas, kerajaan telah menetapkan harga minyak secara mingguan. Kerajaan juga mengumumkan akan menetapkan harga siling bagi minyak namun ia masih lagi belum diumumkan.

Untuk rekod, sebelum subsidi minyak dimahsuhkan sepenuhnya, Najib berkata kerajaan akan memperkenalkan satu mekanisme baru agar subsidi minyak hanya sampai kepada golongan yang benar-benar perlu namun perkara itu masih belum dilaksanakan walaupun kenyataan itu dikeluarkan pada akhir tahun 2014.

Selepas kerajaan memutuskan untuk membuat semakan harga minyak secara mingguan, Rafizi sekali lagi tampil mengkritik tindakan tersebut. Berikut dibawah adalah point-point Rafizi terhadap tindakan kerajaan;


(rujukan kami)

Semakan fakta mendapati;

1. Pada awal cadangan Rafizi tentang harga minyak disemak setiap minggu adalah kerana ketika itu harga minyak menurun dengan kerap; ia bagi menghalang kerajaan mengutip lebihan sen sebagai cukai.

2. Rafizi tidak menyebut sama sekali = tertakluk kepada pengembalian subsidi.

3. Rafizi hanya menyebut; ia akan membebankan pengguna dan kerajaan pula mendapat manfaat dengan mengenakan cukai secara tersembunyi.

4. Bagaimanapun setelah dikritik, Rafizi menegaskan cadangan beliau yang terdahulu tertakluk kepada pengembalian subsidi minyak; yang mana kami membaca dan meneliti satu per satu kandungan kenyataan tersebut dan pihak kami mendapati tiada satu pun ayat 'tertakluk kepada pengembalian subsidi minyak' disitu.

5. Ya, pihak kami beranggapan Rafizi bersikap seperti "uturn" namun dalam masa yang sama, cadangan terbaru Rafizi adalah baik untuk kebaikan rakyat. Rafizi tidak uturn dalam pendiriannya bahawa harga minyak patut disemak setiap minggu sebaliknya Rafizi menambahbaik cadangan lama kepada satu mekanisme penetapan harga minyak yang lebih menyeluruh; dimana rakyat tidak dibebankan samada harga minyak naik atau ketika harga minyak turun.

6. Harga siling = ialah satu had harga yang ditetapkan. Jika harga minyak mencapai harga siling yang telah ditetapkan terlebih awal, kerajaan hanya perlu menjual harga minyak pada harga siling tersebut dan menyerap lebihan kos dengan menanggungnya sebagai subsidi. Mekanisme ini baik jika harga minyak menjadi terlalu mahal dan diluar kemampuan pengguna.

7. Harga disemak secara mingguan = ialah harga minyak yang disemak dan dikemaskini secara mingguan. Mekanisme ini sangat tepat apabila harga minyak jatuh setiap hari atau jatuh terlalu kerap. Maka kerajaan tiada peluang atau kurangnya peluang untuk menyerap lebihan sen sebagai cukai.

Diharapkan kerajaan memperkenalkan harga siling minyak dan mengembalikan subsidi jika harga minyak melebihi dari harga siling yang telah ditetapkan terlebih dahulu.

Semakan fakta ini bukan bertujuan untuk melawan atau mengampu mana-mana individu/pihak yang dinamakan dalam artikel ini sebaliknya hanya mahu menegaskan bahawa rakyat Malaysia berhak mendapatkan fakta sebenar. 

Terima kasih.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...