Ahad, 30 April 2017

Muktamar : Ahli UMNO Bersedia Sokong PAS, Penyebar Poster Sudah Dikenali.

Ahli UMNO Bersedia Sokong PAS
Ada pemimpin Umno cawangan di kawasan Jerantut menyatakan kesediaan mereka untuk menyokong PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.
Demikian penjelasan Perwakilan PAS Pahang, Ustaz Yohanis dalam ucapannya, lapor portal rasmi PAS yang melaporkan perjalanan Muktamar KE 63, Muktamar.pas.org.my.
Meneruskan ucapan, beliau menyatakan UMNO kini memuji kesungguhan PAS membawa risalah dakwah.
Mereka kagum dengan pimpinan PAS yang berjuang menegakkan Islam kaum Melayu dan kini mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera,” katanya seperti di petik dari portal itu.
Penyebar Poster Sudah Dikenali
PAS sudah berjaya mengenal pasti pihak yang menyebarkan poster berbaur serangan peribadi terhadap beberapa pemimpin parti itu hari ini, lapor Malaysiakini.
Menyifatkan tindakan berkenaan sebagai terdesak, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, bagaimanapun berkata beliau tidak terkejut dengan perkembangan itu.
"Kami kenal siapa yang buat itu, sama ada poster oren ke, poster melalui sebaran dalam akhbar-akhbar, itu pun kami kenal pasti orang yang buat," katanya ketika ditemui di Kompleks PAS Kedah, di Kota Sarang Semut, Alor Setar, hari ini.
Bagaimanapun, Takiyuddin tidak mendedahkan dengan lebih terperinci pihak yang dimaksudkan itu.
Terdahulu, Muktamar PAS ke-63 yang memasuki hari kedua hari ini dikejutkan dengan kewujudan poster menyerang beberapa tokoh ulama parti itu.
Bertajuk ‎'Zuhud PAS???' kertas bersaiz A4 itu menyerang dua pemimpin PAS berstatus ulama dengan memaparkan perbandingan kenderaan digunakan sebelum dan selepas mereka menjadi anggota parlimen‎.
Seorang lagi pula dituduh terlibat dalam skandal dengan seorang wanita tidak dikenali.
Tiga tokoh kanan PAS yang disasarkan ialah Anggota Parlimen Temerloh merangkap Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan; Anggota Parlimen Kuala Nerus merangkap Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali; serta pendakwah terkenal merangkap Ketua Dewan Ulama PAS Pahang, Mokhtar Senik.
Boneka Monyet Sindir Hadi
Penganjuran Muktamar PAS ke-63 di Kedah yang masuk hari ketiga hari ini, dicemari provokasi penggantungan patung seekor monyet yang dipercayai mempunyai kaitan dengan penghinaan terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, sebelum ini, lapor BH Online. 
Patung monyet yang dipakaikan cermin mata, bermisai putih, berserban dan dililit 'mafla' PAS itu ditemui digantung pada pokok, dengan bendera Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (PAN) digantung di sebelah kiri dan kanan.  
Patung itu dikatakan digantung pada pokok di laluan utama Jalan Alor Setar-Yan, kira-kira lima kilometer dari Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...