SELAMAT MENYAMBUT MEI 1- 2017
PSM MEMPERTAHANKAN SIP DAN MEMBIDAS POSISI MEF DAN PH
TPK/SIP SATU PERMULAAN YANG BAIK
Parti Sosialis Malaysia (PSM) lebih 10 tahun menuntut kerajaan menubuhkan satu Tabung Pemberhentian Pekerja untuk menjaga kebajikan pekerja yang hilang kerja tiba-tiba akibat syarikat bankrup, pindah ke lokasi lain atau membuat pengurangan pekerja. Berikutan dengan perjuangan ini, suatu kempen nasional dilancarkan pada tahun 2015. Selepas satu diskusi mejabulat bersama kumpulan NGO dan kesatuan MTUC, kami tetapkan tuntutan dan lancarkanTabung Pemberhentian Pekerja dan cadangan kaedah pelaksanaan. Dalam 2 tahun ini, kami telah menjalankan ‘roadshow’ di seluruh Negara dari Perlis hingga ke Johor, mengadakan perjumpaan dengan pekerja, mengedar risalah dan mengutip tandatangan sokongan.
Lebih 30000 kad tandatangan diserahkan kepada Menteri Sumber Manusia, Dato Richard Riot pada 29hb.Mac,2017 yang lalu berikutan satu Protes besar di luar Parlimen. Kami juga diberi jaminan Skim Insurans Pekerjaan (SIP) mengandungi hampir kesemua tuntutan yang dicadangkan dibawah Tabung Pemberhentian Pekerjaan dan Menteri sendiri berjanji akan bawa SIP ini di Parlimen pada bulan Julai 2017 nanti.
SIP ini sedang mendapat tentangan hebat daripada Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) dan ini bukan sesuatu yang baru kerana mana-mana undang-undang yang berfaedah kepada golongan pekerja dipersoalkan oleh majikan. Maka perjuangan berterusan oleh pekerja dan seluruh rakyat Malaysia amat perlu supaya undang-undang ini dilaksana.
Selain MEF, sekarang Pakatan Harapan pula mengeluarkan persoalan. PSM mengalu-alukan komen pihak Pakatan Harapan dalam isu SIP, walapun sebelum ini mereka nampaknya tidak berminat memperjuangkan isu tabung pemberhentian pekerja dan lebih berminat dalam isu 1MDB.
Kenyataan media Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen DAP, Serdang membawa 10 persoalan tentang SIP pada 28hb. April, 2017.
Kami, PSM ingin memberikan pandangan kami mengenai persoalan yang telah diungkitkan oleh PH dan juga Kesatuan Majikan (Malaysia Federation of Employers) ;
1. SIP adalah satu bentuk insurans di mana apabila wujud keadaan syarikat bankrupt dan pekerja tidak mendapat sebarang pampasan, maka pampasan pekerja akan dibayar dari tabung SIP. Ini tiada kaitan dengan Faedah Renti Kerja yang terkandung dalam Akta Kerja 1955. Faedah ini tidak harus dimansuhkan, dan kekal untuk majikan yang memberhentikan pekerja selesaikan pampasan mengikut Akta Kerja, 1955. Kita juga harus faham pampasan yang akan diperolehi oleh pekerja bukan satu amun yang tinggi, seseorang pekerja yang kerja lebih 5 tahun, hanya layak untuk 20 hari gaji bagi setiap tahun bekerja. Duit ini boleh habis dengan cepat. Bagaimana mereka akan menyara diri sehingga mendapat kerja baru. SIP ini juga harus bantu memberi elaun sara hidup sekurang-kurangnya untuk 6 bulan supaya pekerja itu boleh meneruskan usaha mencari kerja baru.
2. Pada masa sekarang, Akta Kerja 1955 hanya memberi perlindungan kepada pekerja yang berpendapatan RM2000 dan ke bawah, tetapi SIP meluaskan perlindungan kepada pekerja sehingga pendapatan RM4000, iaitu bersamaan dengan skop pekerja yang dilindungi dibawak PERKESO. Ini adalah satu kelebihan yang harus digalu-alukan. Mungkin selepas pelaksanaan, kita boleh menuntut kerajaan meluaskan lagi liputan kepada pekerja yang berada dalam kategori M40 juga. Tidak salah sekiranya ia memanfaatkan pekerja, tetapi kami rasa ini adalah satu permulaan yang cukup baik.
3. PSM juga risau tentang kos pengurusan Kerajaan, yang kadangkala nampaknya membazir. Maka kami amat mengalu-alukan apabila SIP diuruskan oleh badan SOCSO yang sedia ada, dan pihak Kementerian Sumber Manusia tidak mewujudkan satu badan baru. Seperti kita ketahui, SOCSO adalah satu badan yang berpengalaman dalam kendalikan insurans sebegini. Maka, dana tabung akan manfaat kepada perlindungan pekerja, bukan kos pentadbiran.
4. SIP ini adalah satu perlindungan sosial seperti SOCSO. Kaum pekerja tiada masalah jika duit yang mereka sumbang ke tabung ini tidak dapat balik kerana akhirnya seorang pekerja lain yang mendapat faedah. Pekerja akan meraikan solidariti dalam perlindungan ini. Ini adalah satu perlindungan jangka panjang bagi golongan pekerja. Pekerja akan merasai faedah ini apabila berlaku pemberhentian pekerja tiba-tiba dan untuk mendapatkan kerja baru.
Matlamat ini tidak seharusnya diputarbelitkan dengan persoalan bahawa pekerja yang mencarum duit tidak akan mendapat apajua manfaat jika mereka tidak mengalami pemberhentian kerja.
Pada setiap tahun seramai lebih kurang 60,000 pekerja yang didaftarkan menerima bantuan kemalangan kerja atau dalam perjalanan ke kerja dibawah PERKESO. Angka ini lebih kurang sama dengan, jangkaan MEF sendiri bahawa setiap tahun kemungkinan 50,000 pekerja dihentikan kerja.
Maka jika boleh terima skim insurans PERKESO yang memanfaatkan 60,000 pekerja sahaja setiap tahun, kenapa pula kita ungkitkan persoalan bahawa hanya sebilangan kecil pekerja kehilangan kerja (50,000) setiap tahun dan tidak perlu adakan SIP?
Tambahannya pula, baru-baru pada 15 April 2017, berita di surat khabar Star menyatakan kadar pengangguran di Malaysia pada masa sekarang ialah 3.5%, yang merupakan peratus yang tinggi dalam beberapa tahun, iaitu sebanyak 550000 orang sedang menganggur. Angka pengangguran ini mungkin konservatif dan angka sebenarnya lebih tinggi. Daripada jumlah ini, sebanyak 300000 pernah bekerja dan akibat memberhentian kerja, mereka menjadi penganggur, dan masih sedang mencari kerja. Jika SIP ini sudah wujud sekarang, ia akan membantu mengurangkan beban kewangan 300000 penganggur ini.
5. Mengapa persoalkan pasal pulangan daripada SIP ini? Duit yang disumbang ke SOCSO adalah untuk perlindungan sosial, bukan simpanan hari tua seperti EPF untuk melabur di tempat lain bagi dapatkan pulangan besar. Cadangan bahawa pekerja boleh mencarum dalam satu akaun ketiga KWSP dan mengeluarkan duit simpanan ini jika mereka diberhentikan kerja tidak praktikal. Ini adalah kerana, pampasan Faedah Renti Kerja yang sepatutnya dibayar tidak mungkin dapat dikumpul oleh pekerja, jika 1% dari gaji pekerja disumbangkan ke akaun KWSP ini. Bagaimana pula jika pekerja dihentikan selepas hanya beberapa bulan pekerja mula mencarum.
Konsep skim insurans ialah, dana kolektif dan risiko dikongsikan. Maka pekerja yang dihentikan akan menerima sepenuhnya pampasan dan tidak bergantung kepada jumlah yang dia berjaya mencarum dalam akaun individunya.
6. Satu kelebihan besar SIP juga adalah ia harus memberi latihan kepada pekerja yang hilang kerja untuk penempatan semula. Kami tidak setuju bahawa Skim Latihan 1 Malaysia (SKIM) memainkan peranan latihan semula sekarang. SKIM ini walaupun wujud, kerajaan telah mengkontrakkan SKIM kepada agensi-agensi swasta untuk dijalankan. Agensi swasta motifnya untung bukan memberi latihan yang berkualiti untuk menjadikan seseorang layak mendapat kerja baru. Kami mencadangkan bahawa SIP harus lebih efektif dan membentuk satu rangkaian automatik. Contohnya, apabila seseorang pekerja hilang kerja, dia akan lapor di Jabatan Tenaga Kerja untuk tuntutan tunggakan gaji dan pampasan, maka JTK pada masa yang sama harus mendaftarkan pekerja itu dalam SIP dan terus merujuknya ke kursus latihan dan penempatan semula. Maka semuanya harus diuruskan oleh badan kerajaan tanpa penglibatan agensi swasta.
7. Mengikut MEF, sumbangan 0.25% syer majikan dan 0.25% syer pekerja untuk 6.8 juta pekerja yang menerima purata gaji RM2800, akan berjaya mengumpul sumbangan sejumlah RM1.142 billion dalam satu tahun.
Mereka mengungkitkan persoalan, kenapakah perlunya suatu dana yang begitu besar? Dari tahun 2002 hingga 2012 seramai 222 1986 pekerja telah dihentikan kerja oleh 7130 majikan. Jumlah pampasan yang perlu dibayar ialah 397.4 million, jadi purata pampasan yang gagal dibayar oleh majikan ialah lebih kurang RM 39.7 juta setahun.
PSM difahamkan bahawa dana SIP ini akan digunakan untuk membayar RM39.7 juta yang gagal dibayar oleh majikan kepada pekerjanya, dan tambahannya pula dana ini juga akan digunakan untuk latihan dan bayaran elaun bagi pekerja yang telah dibayar Faedah Renti Kerja oleh majikan tetapi masih gagal memperolehi kerja baru .
Bayaran elaun kepada mereka yang masih belum memperolehi kerja adalah amat penting demi memastikan pekerja tersebut tidak terjerumus dalam kancah kemiskinan. Dimana mungkin rumahnya dilelong, keretanya ditarik oleh bank, persekolahan anak mereka tergendala.
Secara tidak langsung, langkah ini akan membantu ekonomi tempatan apabila pekerja yang hilang punca pendapatan masih dapat berbelanja memenuhi keperluan harian dengan duit elaun SIP. Maka ekonomi kedai-kedai dan bisnes persekitaran akan terus ada pelangganya. Juga angka 0.25% itu tinggi, PSM menyarankan hanya 50sen dibayar majikan dan pekerja. Ini memang tidak membebankan dan faedahnya tinggi.
8. Isu pengurusan pekerja migran dan perlindungan sosial adalah dua perkara yang berbeza. Kami setuju bahawa polisi buruh murah menindas pekerja migran dan memberikan persaingan kepada pekerja tempatan. Memang perlukan polisi yang komprehensif dalam menanggani pekerja migrant. Tetapi isu perbincangan kita di sini adalah perlindungan. Kita juga menyarankan bahawa pekerja migrant juga harus diliputi dalam SIP tanpa diskriminasi.
9. Mengikut Menteri Sumber Manusia, Datuk Richard Riot, kerajaan sudahpun mengagihkan 60 juta dana bagi tabung SIP ini. Selepas pelaksanaan, kemungkinan dana ini boleh dipertimbangkan untuk setiap tahun mengikut keperluan. Buat masa sekarang, ini mencukupi sebagai langkah permulaan.
10. MEF berpandangan bahawa mengapa semua majikan perlu carum dalam SIP, kerana hanya segelintir majikan yang tidak pandai mengurus perniagaan dan menyebabkannya bankrap.
Ini adalah satu alasan yang cetek. Jika kita tengok kebelakangan ini kilang –kilang yang terkemuka dan antarabangsa yang menutup kilang perniagaan seperti Penang Seagate Industries, Rubicon Technology, HGST Technologies Sdn Bhd, Samsung Electronic display, Fairchild Semiconductor dan banyak lagi syarikat jenama antarabangsa.
Adakah MEF merasakan syarikat-syarikat ini menghentikan pekerja kerana tidak pandai mengurus bisnes mereka? Fakta sebenar adalah ketidakstabilan ekonomi nasional dan global yang menyebabkan keadaan ini.
PSM juga mencadangkan kepada MEF untuk memberikan latihan dan tunjuk ajar kepada ahli-ahlinya, majikan-majikan agar mereka dapat menguruskan perniagaan mereka dengan baik .
Dalam ekonomi kapitalis global ini, pemberhentian pekerja telah diterima pakai sebagai satu cara utama para majikan dapat mengurangkn kos perniagaannya apabila suasana ekonomi yang tidak menggalakan. Ini adalah satu kemudahan khusus yang diberikan kepada para majikan. Akta Kerja 1955 juga memperuntukkan perkara ini, dengan syarat majikan melakukannya dengan betul. Persefahaman “Code of Conduct for Industrial Harmony” bersama kesatuan sekerja juga menyenaraikan dengan jelas langkah-langkah yang boleh dikuti oleh majikan untuk mengurangkan kos dan menghentikan pekerja.
Persoalannya ialah, pada masa pihak majikan diberikan segala peluang untuk mengurangkan kos agar menghidupkan perniagaanya, apakah jaminan atau sekuriti social yang ada pada warga pekerja?
Organisasi Buruh Antarabangsa (International Labor Organization – ILO) yang dikatakan satu-satunya organisasi yang menentukan standard undang-undang buruh yang asas, telah mengatakan bahawa skim sebegini perlu diwajibkan untuk melindungi pekerja.
Konvensyen ILO No.102 dan No.168, menyatakan tentang Skim Insurans Pekerjaan dan ia terbukti satu faedah yang efektif untuk melindungi penganggur.
Konvensyen ILO 1952 (No. 102) berkaitan Keselamatan Sosial (Standard Minimum), menyatakan bahawa patutnya ada pemberian manfaat tunai kepada penganggur yang mampu dan bersedia untuk bekerja.
Malaysia yang kearah Negara perpendapatan tinggi dan maju harus juga mempunyai aspirasi untuk meningkat standard perburuhannya selaras dengan negara-negara maju.
PSM akan terus berjuang kearah itu, kami berharap pihak PH akan memahami isu warga pekerja ini dengan lebih mendalam.
Selamat menyambut Mayday 2017 dan turun ke KTMB Kuala Lumpur esok pukul 10 pagi untuk menuntut Skim Insurans Pekerjaan dilaksanakan segera!
Oleh,
M.Sivaranjani
Ketua Biro Pekerja
Parti Sosialis Malaysia
Ketua Biro Pekerja
Parti Sosialis Malaysia