Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Selasa, 18 Oktober 2016

Dipermainkan BN? Ini Jawapan PAS Kepada Pengkritik Isu #RUU355.


Nanti mereka marah pula kita tak bentang hujah dari pihak mereka. Ini jawapan balas kepada pengkritik PAS dalam isu RUU355. Pun begitu aku masih lagi berpendapat BN akan mempermainkan PAS demi kepentingan parti politik mereka. Takde konsep demi agama, bangsa dan negara bagi BN. Konsep yang ada cuma demi kuasa. Dan bodohla kita jika masih mahu percaya.

Baca ;

*Catatan Khas Parlimen: Bilakah RUU 355 akan dibahaskan.?* 

1. Semenjak semalam, saya dihujani dengan soalan tersebut oleh banyak pihak yang menantikan saat bersejarah khususnya para penyokong PAS yang ingin menyaksikan Tuan Guru Presiden PAS membentangkan Rang Undang-Undang Ahli Persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (355). Mungkin kerana ianya tersenarai pada giliran nombor empat dalam Aturan Urusan Mesyuarat pada Isnin, 17 Oktober 2016. 

2. Dalam Aturan Urusan Mesyuarat hari ini, usul RUU 355 ini telah beranjak kepada giliran nombor tujuh. Eh, mengapa jadi begitu.? Pastinya ia akan menimbulkan kekeliruan yang boleh dimanipulasikan oleh pihak tertentu contohnya portal Malaysiakini meletakkan tajuk berita, _“Hari kedua, usul Hadi ditolak ke bawah”_ 

3. Penjelasannya begini, untuk memahami proses perjalanan mesyuarat Sidang Dewan Rakyat, hendaklah merujuk kepada Buku Peraturan Mesyuarat Dewan. Dalam buku peraturan tersebut ada dinyatakan, _“15. 

(1) Pada tiap-tiap hari persidangan mesyuarat, urusan Kerajaan hendaklah didahulukan daripada urusan-urusan lain.”_ Pada semalam, pihak kerajaan telah mengemukakan Rang Undang-Undang kerajaan untuk Bacaan Kali Pertama; 

a) Rang Undang-Undang Perbekalan 2017 

b) Rang Undang-Undang Bank Pelaburan Infrastruktur Asia 2016 

c) Rang Undang-Undang Perancangan Bandar dan Desa (Pindaan) 2016 

d) Rang Undang-Undang Mahkamah (Kaedah-Kaedah Pemulaan Tindakan Sivil) 2016 

e) Rang Undang-Undang Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2016 

Hari ini, RUU Kerajaan yang dibaca kali pertama semalam telah disenaraikan sebagai Bacaan Kali Kedua. 

Semestinya, ia mestilah mendapat giliran diatas mendahului Rang Undang-Undang Ahli Persendirian daripada ahli bukan kerajaan iaitu YB Marang. Maka, sebab itulah giliran usul YB Marang teranjak daripada nombor 4 kepada nombor 7. 

4. Persoalannya, bilakah RUU 355 itu akan dibahaskan.? Yang lebih tepat untuk menjawabnya ialah pihak kerajaan kerana kuasa ada di tangan eksekutif untuk menentukan tarikh yang sesuai bilakah laluan akan diberikan kepada YB Marang. Adakah ianya boleh berlaku.? 

Ya, boleh. Cuba kita ingat kembali sejarah pembentangan usul ini kali pertamanya pada 26 Mei 2016 yang lalu. Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal Parlimen, Dato' Sri Azalina telah bangun mencadangkan; 

“Bahawa mengikut Peraturan Mesyuarat 14(2), saya mohon mencadangkan bahawa usul Yang Berhormat Marang seperti yang tertera di nombor 15 didahulukan selepas Rang Undang-undang Hak Milik Strata (Pindaan) 2016 di nombor 1 di dalam Aturan Urusan Mesyuarat pada hari ini”.

Usul YB Marang terletak pada giliran terakhir hari itu, namun ianya dapat didahulukan kerana Menteri menggunakan Peraturan Mesyuarat 14(2) yang menyebut; _Majlis Mesyuarat dengan dikeluarkan usul (oleh seorang Menteri) yang akan diputuskan dengan tidak boleh dipinda atau dibahas, dan yang tidak berkehendak dikeluarkan pemberitahu terlebih dahulu boleh pada bila-bila masa memutuskan hendak menjalankan mana-mana urusan dengan tidak mengikut aturan yang telah ditetapkan. Usul ini hendaklah didahulukan daripada urusan-urusan lain._ 

5. Sidang Dewan Rakyat Penggal Keempat, Mesyuarat Ketiga kali ini adalah selama 25 hari yang bermula daripada 17 Oktober 2016 sehingga 24 November 2016. Pada Jumaat ini, PM Najib akan membentangkan Bajet 2017. Bermula Isnin depan sehingga 22 November 2016 adalah tempoh perbahasan bajet bagi peringkat dasar dan jawatankuasa. Bolehlah kita fahami di sini, kemungkinan RUU 355 ini boleh dibentangkan samada hari yang berbaki sebelum pembentangan Bajet 2017 atau pada penghujung sidang nanti. 

6. Terdapat pelbagai pihak yang berusaha gigih untuk menghalang pembentangan RUU 355 oleh YB Marang. Hairan bukan.? Atas prinsip sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan, apa yang sedang diusahakan oleh YB Marang adalah selari dengan peruntukan Perlembagaan Malaysia dan tidak juga bercanggah dengan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat. Beliau membawa usul tersebut ke institusi Parlimen untuk dibahaskan dan dibuat pengundian. Mengapa perlu takut dan gelabah sangat.? 

7. Apa yang ingin dipinda ialah Akta 355 yang sudah sedia ada semenjak tahun 1965 lagi. Akta tersebut dahulunya dibentang, dibahaskan, diluluskan di Parlimen yang sama juga. Pada tahun 1984, Akta 355 ini pernah dipinda bagi menambah bidang kuasanya. Setelah 32 tahun, Tuan Guru Presiden PAS memanfaatkan jawatan beliau sebagai Ahli Parlimen Marang mencadangkan Akta 355 ini diperluaskan bidang kuasanya agar Mahkamah Syariah yang sudah sediaada dapat dimartabatkan kedudukannya selari dengan Artikel 3 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut _“Islam ialah agama bagi Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai dalam mana-mana Bahagian Persekutuan.”_ 

8. Jadi, sila nyatakan di celah mana yang dikatakan RUU 355 ini bercanggah dengan Perlembagaan.? Buktikanlah apa yang menyebabkan orang bukan Islam terkesan dengan pindaan bidang kuasa Mahkamah Syariah yang tidak pun melibatkan mereka. Pihak yang menentang seperti DAP, MCA, Gerakan, MIC dan parti komponen BN di Sabah dan Sarawak hanya menggunakan persepsi palsu bagi menakutkan orang bukan Islam kepada Islam. 

9. Pihak The Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism, Sikhism and Taoism (MCCBCHST), Persatuan Hokkien Malaysia dan Majlis Gereja Malaysia turut sibuk masuk campur tangan hal ehwal ummat Islam dengan menggesa Ahli Parlimen menolak RUU 355 ini kononnya atas semangat mempertahankan Perlembagaan. 

Adakah kami orang Islam sendiri tidak ada hak untuk beragamal dengan agama kami yang menjadi Agama Persekutuan Malaysia.? Malangnya, kelompok Muslim liberal seperti G25, Sister in Islam, IRF, Zaid Ibrahim, Peguam Siti Kasim dan yang seangkatan dengannya turut menentang keras usaha kita bagi memartabatkan undang-undang Syariah. 

Media yang dikuasai mereka digunakan untuk mengelirukan rakyat umum. Contoh termudah ialah penggunaan terma RUU Hudud yang sering digunapakai dalam penerbitan berita mereka adalah penipuan secara terang-terangan. Mereka sengaja menggunakan perkataan Hudud kerana ia adalah senjata yang paling mudah untuk menakutkan orang kepada Islam. 10. 

Akhirnya, saya petik kembali kalimah yang digunakan oleh Tuan Guru Presiden PAS ketika beliau diserbu oleh pihak media semalam adakah RUU 355 ini akan diluluskan.? Beliau hanya tersenyum dan menyebut “Insyaallah”. 

Kita semua pendokong dan penyokong di segenap peringkat perlu bersifat optimis dan positif sepertimana yang telah dizahirkan oleh Tuan Guru Presiden PAS. Kita teruskan berdoa, bersabar, dan berharap kerana akan tiba masanya mentari itu akan tetap menyinar setelah hujan berhenti. 

*Catatan oleh,* 
_Syed Ahmad Fadhli,_ 
_Pegawai Lajnah Hal Ehwal Parlimen PAS_ 
_18 Oktober 2016_ 
_Pejabat PAS, Tingkat 14, Menara Parlimen_

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...