Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Ahad, 24 November 2019

SPRM Tidak Harus Terpengaruh Dengan Kenyataan Perdana Menteri - RamKarpal.

MalaysiaGazette | Kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa menteri-menteri Kabinet boleh memberikan kontrak sangat mengejutkan dan tersasar jauh daripada prinsip reformasi yang dipegang oleh Pakatan Harapan, kata Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh.
 


Tegasnya, kenyataan Dr. Mahathir itu menyebabkan menteri-menteri boleh menganugerahkan kontrak sesuka hati asalkan masih lagi di bawah kuasa mereka.

Dengan itu, beliau meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat menteri-menteri yang disyaki terlibat.

Menurut Ramkarpal, Pakatan Harapan bersungguh-sungguh mahu berubah kepada tender terbuka bagi menggalakkan ketelusan semasa proses bidaan kontrak di samping meningkatkan daya saing dalam kalangan pembida.

“Saya tidak pasti hak apa yang beliau rujuk tetapi jika benar ada hak sedemikian (memberi kontrak langsung), secara jelas ia adalah salah dari segi moral untuk para menteri memberikan kontrak sama ada di bawah atau di luar bidang kuasa beliau.

“Ini kerana amalan tersebut dikhuatiri akan mencetuskan favouritisme,”
katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ramkarpal yang juga Pengerusi Biro Undang-Undang Kebangsaan DAP berkata, ketelusan dalam pemberian kontrak kerajaan seharusnya menjadi keutamaan semua pihak dan tidak boleh dipandang enteng.

Katanya, proses bidaan adalah bermatlamat untuk menghapuskan rasuah kerana pemberian kontrak kerajaan tidak seharusnya diserahkan bulat-bulat di tangan seorang indvidu sahaja apatah lagi seorang menteri.

“Inilah sebabnya Janji ke-14 dalam Manifesto Pakatan Harapan adalah berikrar untuk menggiatkan usaha menghapuskan rasuah.

“Kenyataan Perdana Menteri akan menyebabkan menteri-menteri merasakan mereka boleh memberikan kontrak kepada sesiapa sahaja asalkan tidak keluar daripada bidang kuasa mereka.

“Inilah yang Pakatan Harapan mahu hentikan.

“SPRM tidak harus terpengaruh dengan kenyataan Perdana Menteri sebaliknya mesti berusaha sehabis daya memastikan siasatan dijalankan terhadap menteri-menteri yang disyaki menyalahgunakan kuasa masing-masing dengan memberikan kontrak secara peribadi,”
katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. - 24 November 2019.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...