Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Khamis, 21 November 2019

Apa Rahsianya Pakatan Harapan Dibenci Dalam Masa 2 Tahun?

NURUL ASYIKIN | Terdapat pihak yang menyalahkan Kementerian Komunikasi sebagai punca utama kenapa calon Pakatan Harapan PRK Tanjung Piai mengalami kekalahan yang sangat teruk.


Meletakkan kesalahan ke atas bahu Gobind memang mudah tetapi apakah itu realitinya? 

Berdasarkan tinjauan kami di laman sosial dan juga atas lapangan terdapat beberapa isu yang sangat ketara kenapa Pakatan Harapan dibenci rakyat kurang dalam masa dua tahun memerintah.

Berikut kesimpulan yang kami dapat susun untuk pemerhatian lanjut dari pihak yang berkenaan;

1. Masalah ekonomi dan halatuju negara. Nampaknya rata-rata rakyat tidak memahami ke manakah negara ini akan dibawa dan apakah matlamat Pakatan Harapan. Oleh kerana mereka bercakap tentang rasuah melebihi dari halatuju negara dan masalah ekonomi, apa yang difahami rakyat ialah peranan Pakatan Harapan hanya mahu membanteras masalah penyelewengan sahaja khususnya berkaitan 1MDB. Mereka tidak fikir Pakatan Harapan akan menyelesaikan;

- masalah kemiskinan

- ketidaseimbangan pembangunan kawasan bandar dan luar bandar

- menambahbaik kemudahan awam dan prasarana seperti pengangkutan awam, sistem jaringan jalanraya yang menyeluruh, sekolah yang lebih maju, alatan teknologi yang lebih murah dan mampu dimiliki, kenderaan dan rumah yang mampu milik tanpa membebankan golongan M40 dan B40.

- khidmat kesihatan yang lebih cekap dan pantas, seperti yang kita lihat, kebanyakan rakyat beranggapan jika kita mempunyai sakit kronik, hanya hospital swasta sahaja boleh merawat penyakit tersebut dengan cepat bagi menyelamatkan nyawa tetapi bukan hospital kerajaan. Hospital kerajaan dianggap akan memperlambat-lambatkan rawatan sehingga akhirnya pesakit kanser/kronik akan mati dan terbiar disebabkan peralatan hospital awam tidak ditambahbaik disamping kekurangan pakar dan kakitangan. Hal seperti ini perlu ditanggani dan jika wujudnya salah faham, perlu diperbetulkan.

- oleh kerana pembangkang terlalu kerap memainkan isu hutang negara semakin bertambah, lebih banyak bon pinjaman dibuat kerajaan tetapi rakyat tidak menerima manfaatnya secara langsung, matawang negara jatuh, dan kini Bursa Malaysia direkodkan antara yang berprestasi buruk, kegagalan menangkis serangan menyebabkan negara ini dilihat sedang menuju kehancuran dan tiada hala tuju.

- penjualan aset demi aset dilaporkan secara besar-besaran tetapi jawapan yang diberikan menteri ialah kerajaan terdahulu menjual lebih banyak - perbandingan merendahkan akal ini akhirnya membuatkan Pakatan Harapan dilihat 2x5 seperti BN dan rupa-rupanya tiada alternatif yang lebih baik.

2. Uturn, FLIP FLOP, cakap pusing-pusing. Ini adalah sesuatu yang sangat dibenci penyokong dan rakyat. Mereka melihat kerajaan ini tiada perancangan teliti. Tidak berbincang sebelum mengeluarkan kenyataan. Terburu-buru menyatakan pandangan. Seterusnya apabila dikritik, terpaksa menarik balik dan membuat pusingan U. Jadi bagaimana mahu menyakinkan rakyat?

3. Meremehkan JANJI MANIFESTO. Berulangkali dinyatakan keperluan untuk menunaikan janji kerana janjilah itulah Pakatan Harapan diberikan undi. Kenyataan MANIFESTO BUKAN KITAB SUCI bukan sahaja tidak meredakan kemarahan malahan menjadi bahan troll oleh semua penyokong walaupun dikalangan pro kerajaan sendiri.

4. Masalah perkauman. Kegagalan menguruskan insiden berkaitan perkauman dengan cekap akhirnya membuatkan ia menjadi semakin teruk. Hasilnya kini melayu, india, cina saling benci membenci antara satu sama lain. Prasangka dan syak wasangka dikalangan mereka semakin menebal. Menteri Perpaduan sangat kayu dan dia tidak tampil dengan wajah Menteri Malaysia. 

5. Penjawat awam rasa tidak selamat. Ya, rata-rata penjawat awam rasa tidak selamat dengan kerajaan PH yang dianggap akan membuang mereka bila-bila masa sahaja apabila saiz penjawat awam, bonus dan kelebihan, pencen, dipertikaikan, diperbahaskan dan diperdebatkan di ruangan awam. Undi awal membuktikan PH hilang sokongan yang teruk dari kakitangan awam. Ini ditambah apabila terdapat pro Pakatan Harapan yang memalukan dan mengugut penjawat awam di laman sosial serta mendesak kakitangan awam yang tidak menyokong PH dipecat. Bagi pro PH langkah ini dicadangkan untuk memastikan semua kakitangan awam tidak memburukkan kerajaan di sosial media, tetapi bagi kakitangan awam, langkah ini dianggap sebagai kukubesi dan diktatorship. Bagi kami, cadangan yang tepat ialah melunakkan penjawat awam dengan POLISI yang BETUL, PENGURUSAN yang CEKAP, dan PENTADBIRAN yang AMANAH. Tak perlu dapatkan sokongan mereka dengan paksaan, kerana hati yang dipaksa akan memberontak.

6. Menyimpan KABINET KAYU dalam kerajaan. Sejak awal bila didesak agar Waytha dipecat, kerajaan ini tidak pernah mahu tunduk dan memahami suara rakyat. Berulangkali berita kabinet akan dirombak dilaporkan, tetapi tiada rombakan. Paling terbaru rombakan dikatakan akan berlaku selepas November 2020, apakah itu boleh dipercayai? Tambah lagi masa setahun untuk tolerate dengan perangai menteri yang tak boleh perform dengan betul? Jika diperhalusi kenyataan Tun Mahathir;

- Tak boleh suka-suka rombak kabinet kerajaan, menteri baru akan mengalami kesukaran untuk memahami tugas : hakikatnya menyimpan menteri bodoh yang tak boleh buat kerja akan tetaplah menyusahkan kerajaan kerana menghakis kepercayaan rakyat. Menteri baru mungkin mengalami kesukaran untuk menyambung tugas kerana masih baru tetapi jika dia bijak, kesukaran itu akan menjadi kerja mudah baginya kerana cepat belajar.

- Kerana nak menghadapi persidangan APEC 2020 - ya, persidangan ini penting. Bagaimana pentingnya pun persidangan itu, ia tetaplah tidak boleh lebih penting dari memastikan negara ini diurustadbir oleh menteri yang mampu buat kerja dengan cekap. Persidangan itu bermula dan berakhir dalam satu event tetapi bukannya pentadbiran negara. 

Terdapat pandangan reshuffle kabinet tidak dibuat kerana kesannya lebih teruk ke atas PPBM kerana menteri-menteri pro PPBM dan Tun Mahathir yang seringkali dikecam masyarakat.

Misalnya - Redzuan, Maszlee, Marzuki, Azmin, Waytha, Ketapi, Rina, Muhammad Sabu.

7. Dia kutuk BN buat tapi bila dia buat jadi suci. BN dikecam kerana lantikan politik, tetapi PH buat perkara sama. BN dikecam kerana LYNAS tetapi PH teruskan LYNAS. BN dikecam kerana PTPTN tetapi PH tidaklah berbeza. BN dikecam kerana BRIM, tetapi PH masih teruskan dengan nama baru, BSH. BN dikecam kerana lantikan anak beranak, kronisme dan nepotisme, tetapi PH teruskan budaya yang sama. BN dikecam kerana gula-gula PRK, dan PH buat perkara yang sama. BN dikecam kerana suka memainkan naratif perkauman dan PH ikut rentak yang sama. Sosok yang melawan dan mengkritik pula akan dilayan sebagai MACAI. Walaupun kita rasa bangga kononnya kita beri ruangan mengkritik, tetapi kita juga bodoh kerana melayan kritikan itu sebagai SAMPAH. Seolah-olahnya ia tiada nilai di mata pengundi hakikatnya semakin lama semakin ia meresapi ke dalam pemikiran.

Maaf cakap, hal ini sangat berat untuk dituturkan kerana akan dikecam sebagai tidak menghormati negarawan dan orang tua, tetapi perkara ini tetap perlu dinyatakan.

Pemikiran Tun Mahathir yang beranggapan rakyat mudah dibeli kerana wang adalah salah. Ia bukan kerana mereka mudah dibeli dengan wang, ia adalah kerana mereka nak ambil kesempatan setelah mereka sakit otak melihat drama politik semua partisan di tanahair. Fahamkan perbezaannya.

Mahathir masih lagi beranggapan punca kekalahan teruk di Tanjung Piai bukan kerana manifesto dan pentadbiran PH yang kelam kabut.

Masih lagi kita yang betul. Masih lagi hanya kita sahaja yang betul. Masih lagi kerana kita hidup lebih lama, ada 22 tahun bersama kita, pengalaman itu kita ada, jadi sudah tentulah kita sahaja yang betul dulu, kini dan selamanya.

Tetapi otak rakyat tidak berfikir seperti itu. Otak pengundi dan penyokong juga tidak berfikir seperti itu. Kerana itu salam 15,806 adalah hadiah buat kamu. Satu kerusi apa la sangat. Tetapi jika nilai satu kerusi ini diremehtemehkan dengan adunan perkauman, cina sudah tentulah undi cina, maka akan datang tak mustahil salam kerajaan satu penggal. 

Naratif perkauman yang kamu nampak itu sebenarnya secara realitinya adalah naratif kegagalan kamu dalam menguruskan masalah berkaitan ekonomi dan pentadbiran. Kami semua sakit. - 21 November 2019.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...