Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Rabu, 20 November 2019

Doktor Bantah Larangan Minum Arak Secara Terbuka Dikritik.

KENYATAAN MEDIA | BANTAHAN TERHADAP CADANGAN LARANGAN ARAK MENGAIBKAN PROFESION DOKTOR

1. Saya membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh Malaysian Medical Association (MMA) dan Federation of Private Medical Practitioners’ Associations Malaysia (FPMPAM) yang menyelar kenyataan saya di Dewan Rakyat minggu lepas berhubung larangan meminum arak secara terbuka. Kenyataan kedua-dua persatuan ini boleh diakses di pautan

https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2019/11/20/doctors-groups-against-alcohol-ban/

2. Untuk rekod, semasa saya mengambil bahagian di dalam perbahasan di peringkat jawatankuasa Kementerian Kesihatan pada 12 November 2019, saya telah melontarkan cadangan kepada pihak kerajaan agar menggubal undang-undang bagi menghalang sebarang aktiviti meminum arak di khalayak ramai. Ia susulan kenyataan salah seorang exco kerajaan negeri Selangor yang menyatakan bahawa kerajaan negeri tidak berhak menggubal undang-undang larangan tersebut memandangkan ia di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan.

3. Saya menyatakan bahawa peminum arak sebenarnya bukan sahaja memudaratkan diri mereka bahkan berpotensi untuk memudaratkan orang lain. Tidak perlu untuk saya datangkan fakta secara terperinci betapa bahayanya minuman beralkohol ini kerana saya tahu semestinya seorang pengamal perubatan lebih arif tentang hal ini.

4. Tidaklah perlu dihuraikan lagi bagaimana minuman ini beralkohol mengandungi bahan etanol, iaitu sebatian yang tergolong dalam kumpulan dadah yang boleh menindas fungsi sistem saraf pusat seterusnya mendatangkan kesan fizikal dan mental peminumnya. Ia juga adalah dadah yang boleh mendatangkan kebergantungan atau ketagihan jika diambil setiap hari. Sebaik sahaja diminum, alkohol akan diserap ke dalam aliran darah melalui permukaan perut dan usus. Sebahagian kecil akan terus pergi ke otak dan paru-paru, dan dikumuhkan melalui pernafasan. Manakala sebahagian besar alkohol akan dimetabolisma oleh hati dan dikumuhkan oleh ginjal melalui air kencing. Kesan alkohol kepada peminumnya bergantung kepada jumlah alkohol yang berada dalam peredaran darah seseorang itu. Peminum yang mengambil minuman beralkohol dalam jumlah yang banyak akan mabuk.

5. Apabila mabuk, seseorang itu akan hilang koordinasi gerak tubuh dan juga gangguan kepada pertimbangan dan kewarasan fikiran. Mereka boleh terjatuh, mengalami kemalangan, bergaduh, tercedera dan memory blackout yang mana merupakan komplikasi atau kesan kemudaratan jangka pendek berkaitan pengambilan minuman beralkohol. Kesan lain akibat mabuk adalah apa yang dikenal sebagai hangover. Saya fikir fakta ini merupakan adalah fakta asas yang sudah tentu dihadam oleh seorang pengamal perubatan.

6. Perlukah untuk saya ingatkan kembali bagaimana Jun lalu, Roslinda Mohamad Isa, 44, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kepala Batas selepas gerai nasi lemak dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki yang dipercayai memandu dalam keadaan mabuk. Sebulan kemudian, satu lagi kes sama membabitkan seorang pekerja kontrak yang maut dilanggar pemandu dipercayai mabuk ketika sedang melakukan kerja kawalan lalu lintas di Persiaran Perdana, Sri Damansara.

7. Kejadian sama turut meragut nyawa Mohaidin Gani Mohamad, 58, apabila motosikalnya dirempuh oleh kereta seorang wanita warga China berhampiran lampu isyarat simpang empat Jalan Dato Keramat. Minggu lepas pula, seorang pegawai bank maut selepas kereta dipandu terbabit kemalangan berhampiran susur keluar Bandar Puteri, Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dipercayai dilanggar pemandu dalam keadaan mabuk.

8. Alangkah memalukan profesion kedoktoran apabila pihak yang membantah cadangan ini ialah daripada pengamal perubatan sendiri. Saya jangkan bantahan akan datang daripada Persatuan Penjual-penjual Arak misalnya, atau daripada pemegang-pemegang taruh di dalam perniagaan ini, namun sayangnya ia datang daripada seorang bergelar doktor! Alangkah kenyataan ini benar-benar memalukan ramai lagi doktor yang ikhlas membantu masyarakat.

9. Saya kira doktor seperti ini setaraf dengan pawang kampung yang melepaskan hantu peliharaannya untuk mengacau penduduk kampung dan seterusnya datang berubat dan dia berpeluang membuat untung.

Ahmad Fadhli Shaari,
Ahli Parlimen Pasir Mas
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Bertarikh : 20 November 2019

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...