Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Rabu, 16 Oktober 2019

PH Tak Abai Hak Nelayan, Petani, Belia Dalam #Belanjawan2020 - Menjawab Abdul Muein Abadi.

ONG KIAN MING | Adakah Petani, Nelayan, Belia, Desa & Hartanah diabaikan dalam Belajawan 2020?

1. Saya sangat terkejut dengan analisis belanjawaan yang dibuat oleh seorang akademik di UKM bertajuk “Bajet 2020 Berita Buruk untuk Petani, Nelayan, Belia, Desa & Hartanah”. (https://www.facebook.com/muein.abadi/posts/10214767183202695).

Dalam kenyataan ini, pensyarah tersebut telah memetik beberapa peruntukkan daripada Anggaran Belanjawan secara terpilih (selective) untuk memberi gambaran bahawa peruntukkan untuk golongan tertentu termasuk petani dan nelayan telah dipotong di bawah Belanjawan 2020. 

Misalnya, butiran peruntukan industri padi dan beras ditunjukkan telah menurun daripada RM69.3 juta kepada RM66.2 juta.


2. Tetapi apa yang menghairankan ialah pensyarah ini langsung tidak menyentuh butiran perbelanjaan kepada petani dan nelayan yang menunjukkan kenaikan yang begitu ketara.

Misalnya, kenaikan insentif hasil tangkapan nelayan daripada RM98.5 juta ke RM121.2 juta, iaitu penambahan sebanyak 23% atau RM22.7juta tidak disebut.


3. Kenaikan subsidi harga padi sebanyak RM103.5 juta atau 20% daripada RM516.5 juta ke RM620 juta, kenaikan subsidi baja padi sebanyak RM162.5 juta atau 69.9% daripada RM232.5 juta ke RM395 juta, kenaikan insentif pengeluaran padi sebanyak RM178.5 juta atau 63.4% daripada RM281.5 juta ke RM460 juta juga langsung tidak disebut. Jumlah kenaikan subsidi dan insentif kepada petani padi adalah RM444.5 juta atau 43.1%.

4. Dalam ucapan belanjawan Menteri Kewangan, elaun sara hidup nelayan diumumkan akan naik daripada RM200 kepada RM250 sebulan pada tahun 2020 dengan peruntukkan sejumlah RM152 juta.


5. Keseluruhannya, peruntukkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Tani ditambah sebanyak RM500 juta daripada RM4.4 bilion ke RM4.9 bilion.

6. Pensyarah ini juga menyebut bahawa peruntukkan untuk Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MITB) dan Lembaga Getah Malaysia (LGM) telah dihentikan tetapi anehnya, tambahan peruntukkan sebanyak RM5 juta kepada Lembaga Lada Malaysia (MPB) tidak disebut.

7. Lebih pentingnya, kenaikan insentif pengeluaran getah (IPG) daripada 0 ke RM100 juta tidak disebut langsung oleh pensyarah ini. Tambahan peruntukkan untuk pensijilan MSPO daripada RM8 juta ke RM20 juta yang tentu akan membantu pekebun sawit kecil (palm oil smallholders) juga tidak disebut.

8. Bagi Kementerian Belia dan Sukan, walaupun peruntukkan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) telah dikurangkan... tetapi, peruntukkan ini di diganti dan ditambahkan untuk program baru seperti Program Belia dan Sukan (RM41.96 juta), Elaun Pelajar Institusi Latihan Kemahiran Belia (RM17.9 juta), Malaysia Future Leaders School (MFLS) sebanyak RM53.9 juta dan Program Latihan dan Pembangunan Sukan di bawah Majlis Sukan Negara sebanyak RM46 juta.

9. Pada masa yang sama, peruntukkan “one-off” sebanyak RM7.6 juta juga telah disediakan untuk Penyelenggaraan Kompleks dan Pusat Sukan Perbadanan Stadium Malaysia.

10. Pada keseluruhan, peruntukkan untuk Kementerian Belia dan Sukan telah bertambah sebanyak RM114 juta atau 11% daripada RM1.04 bilion kepada RM1.154 bilion.

11. Untuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), pensyarah tidak menyebut langsung bahawa peruntukkan Bomba dan Penyelamat telah bertambah sebanyak RM30 juta daripada RM844 juta kepada RM874 juta.

12. Juga tidak disebut langsung pengumuman dalam ucapan belanjawaan mengenai Elaun Khas Skim Perkhidmatan Bomba sebanyak Rm200 sebulan yang mendapat pertuntukkan sebanyak RM35 juta pada tahun 2020 dan akan memberi manfaat kepada 14,400 anggota bomba.

13. Untuk Kementerian Pembangunan Luar Bandar, walaupun peruntukkan untuk aktiviti Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dikurangkan sebanyak RM5.4 juta tetapi... Peruntukkan bantuan makanan tambahan KEMAS telah bertambah sebanyak RM22 juta dan peruntukkan emolumen kakitangan KEMAS lantikan tetap telah bertambah sebanyak 32 juta.

14. Tulisan yang diwarwarkan sebagai “analisis” belanjawan yang dikongsi di laman Facebook pensyarah UKM ini jelas bertujuan untuk memberi gambaran yang tidak tepat tentang polisi dan dasar kerajaan dengan hanya menyebut fakta-fakta tertentu dalam anggaran belanjawan 2020.

15. Sebagai seorang bekas pensyarah di sebuah IPTS, saya memang menyokong kebebasan akademik (“academic freedom”) termasuk hak pensyarah untuk mengkritik dasar kerajaan. Tetapi jika mahu mengkritik dasar kerajaan, saya harap pensyarah-pensyarah kita boleh menunjukkan tahap kritikan ataupun ‘standard’ yang lebih tinggi. Saya mencadangkan supaya pensyarah ini mempertimbangkan seperti berikut:

(i) Membuat analisis tentang anggaran belanjawaan dengan cara yang lebih menyeluruh ataupun komprehensif dan tidak memetik peruntukkan secara selektif misalnya untuk memberi gambaran bahawa kerajaan telah memotong peruntukkan kepada nelayan ataupun petani.

(ii) Menilai keberkesanan (“effectiveness”) dasar kerajaan tertentu dan memberi cadangan bagaimana dasar ini boleh ditambah baik dengan peruntukkan yang lebih ataupun peruntukkan perlu dikurangkan oleh kerana kurang berkesan. Misalnya, patutkah peruntukkan untuk program PR1MA ditambah memandang prestasi PR1MA sebelum ini dari segi KPI untuk membina rumah mampu milik?

(iii) Menggunakan saluran yang sedia ada seperti forum umum dan perbahasan TV atau radio, untuk berdebat dan berdiskusi dengan pakar belanjawan yang lain di samping bertukar fikiran dan melebarkan ruang perbincangan

16. Jika pensyarah seperti Abdul Muein hanya mahu terus melontarkan tuduhan dan ‘analisa’ dalam laman Facebook sahaja dengan kaedah yang tidak professional, saya risau perbuatan ini akan menambah persepsi buruk terhadap kualiti pensyarah dan pendidikan tinggi di negara ini. Pensyarah juga harus mengelak daripada menggunakan status sebagai golongan akademik untuk agenda peribadi atau pihak tertentu terutamanya dalam hal-hal berkepentingan umum seperti belanjawan negara. - 16 Oktober 2019

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...