Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Rabu, 16 Oktober 2019

Bentuk Kerajaan Tanpa DAP & AMANAH, PH Nekad Tolak Cadangan Hishammuddin.

KENYATAAN MEDIA |  MAJLIS SETIAUSAHA PAKATAN HARAPAN

1. Majlis Setiausaha Pakatan Harapan menegaskan bahawa Pakatan Harapan berpegang teguh kepada Muafakat Pakatan Harapan yang telah dipersetuji bersama oleh Parti KeADILan Rakyat, Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Parti Amanah Negara dan Parti Tindakan Demokratik, dan kekal bersatu dalam Kerajaan Pakatan Harapan yang juga merangkumi keanggotaan Parti Warisan Sabah dalam Kabinet.



2. Majlis Setiausaha Pakatan Harapan menggesa ahli politik UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan rakan-rakan beliau menghentikan kempen mereka untuk cuba mengajukan ide kerajaan tanpa penyertaan DAP dan Parti Amanah Negara.

3. Hishammuddin dalam penulisan dan wawancara beliau memberi isyarat cenderung kembali kepada politik dan pentadbiran berasaskan kaum. Ini adalah politik usang yang bercanggah sama sekali dengan politik inklusif yang dipelopori Pakatan Harapan.


4. Pada musim belanjawan, apatah lagi Belanjawan 2020; wajar untuk kita diperingatkan tentang matlamat asal yang digariskan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ucapan pada tahun 1991 untuk; “Mewujudkan negara Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat yang dikongsi bersama: Malaysia mesti menjadi sebuah negara yang aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum, hidup dalam keharmonian, bekerjasama sepenuhnya secara adil, dan terdiri daripada satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara.”

5. Pada 7 Januari 2018, Muafakat Pakatan Harapan telah menggariskan beberapa perkara teras yang menjadi faktor pemersatu yang menghimpun parti-parti komponen dan juga rakyat Malaysia untuk menolak kerajaan Barisan Nasional yang berdiri di atas paksi politik perkauman, yang telah mengheret negara ke kancah kleptokrasi global yang mengaibkan.

6. Itulah asas kepada mandat yang telah diberikan oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14; dan amanah itu tidak wajar dicagarkan demi kepentingan politik.

7. Sebarang cubaan 'nakal' untuk mengembalikan politik sedemikian setelah kita menggerak perubahan pada 9 Mei tahun lalu adalah langkah terkebelakang yang tidak akan dirakam hatta di nota kaki sejarah sekalipun. Bahkan ia memberi peluang kepada para kleptokrat dan kuncu-kuncu mereka untuk kembali bertakhta.

YB Dato’ Saifuddin Abdullah
Ketua Setiausaha Pakatan Harapan

YB Datuk Seri Saifuddin Nasution
Setiausaha Agung
Parti KeADILan Rakyat

YB Datuk Wira Haji Marzuki Yahya
Setiausaha Agung
Parti Pribumi Bersatu Malaysia


YB Datuk Wira Haji Anuar Tahir
Setiausaha Agung
Parti Amanah Negara

YB Anthony Loke Siew Fook
Setiausaha Organisasi Kebangsaan
Parti Tindakan Demokratik

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...