Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Rabu, 24 April 2019

Pemimpin VVIP PPBM Bercakaran Sesama Sendiri Kerana Lantikan EXCO Johor..

SHAHBUDIN HUSIN | HUBUNGAN TUN MAHATHIR – MUHYIDDIN RETAK?

Mesyuarat khas Bersatu yang diadakan malam semalam rupa-rupanya telah bertukar menjadi pengesahan wujudnya keretakan hubungan antara Tun Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin.

Mesyuarat khas itu diadakan atas permintaan Tun Mahathir yang tidak puas hati dengan perlantikan dua Exco baru Johor, Solihan Badri dan Tosrin Jarvanthi.


Tun Mahathir, sebagaimana persetujuan awal, dikatakan tidak mahu ada perubahan pada kedudukan Exco Johor, kecuali penambahan seorang lagi Exco daripada Bersatu bagi menggantikan Dr. Shahruddin yang telah dilantik sebagai Menteri Besar.

Bagaimanapun, ketika Muhyiddin mengadap Sultan Johor bersama Dr. Shahruddin, beliau dilaporkan telah mempersembahkan nama Solihan dan Tosrin dengan tidak memaklumkan kepada Tun Mahathir terlebih dahulu mengenainya.

Susulan itu, Tun Mahathir bukan saja terperanjat, malah kecewa dengan Muhyiddin yang tidak saja membelakangkannya, malah dilihat berpihak kepada kehendak istana.

Dalam isu hubungan yang suam-suam kuku dengan Raja dan Sultan ketika ini, Tun Mahathir dilapor lebih berharap kerajaan menunjukkan ketegasan dan tidak terlalu akur kepada kehendak istana.

Tambahan lagi, Muhyiddin dikatakan seperti cuba mengambil kesempatan dengan meletakkan penyokong kuatnya iaitu Solihan dan Tosrin sebagai Exco Johor.

Selain Dr. Shahruddin yang merupakan penyokong Muhyiddin, perlantikan dua Exco baru dianggap mengesahkan bahawa Muhyiddin sedang cuba mengukuhkan lagi kedudukannya.

Lantaran kecewa, Tun Mahathir telah memanggil mesyuarat khas untuk membincangkan perkara tersebut, bahkan turut meluahkan keinginan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri berikutan kata-katanya sebagai Pengerusi Bersatu tidak lagi didengari oleh Presiden partinya sendiri.

Selain itu, mesyuarat khas tersebut juga panas dengan serangan oleh beberapa Ahli MPT pro Tun Mahathir terhadap Muhyiddin atas tindakannya itu.

Sebagai meredakan kekecewaan Tun Mahathir yang sampai mahu meletakkan jawatan itu, beberapa Ahli MPT kemudian bersolidariti menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri serta memintanya agar tidak mudah mengalah dengan apa yang sedang berlaku.

Walaupun tidak ada sebarang keputusan dalam mesyuarat khas itu, melainkan hanya sesi meluahkan perasaan, menyatakan kekecewaan dan menyerang Muhyiddin, yang nyata hubungan Tun Mahathir dengan Presiden Bersatu kini sudah tidak lagi semesra dulu.

Bibit-bibit keretakan kini semakin jelas dan ketara antara kedua mereka.

Tun Mahathir, selain mula kecewa, turut sudah ada kecurigaan dengan kesetiaan Muhyiddin terhadapnya.

Hanya sehari selepas mesyuarat khas itu, sekarang sudah terdengar adanya gerakan mahu menyingkirkan Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu dalam pemilihan parti yang akan diadakan pada hujung tahun ini.

Sebagai sokongan kepada Tun Mahathir atas kedudukannya di kerusi Perdana Menteri, gerakan itu mahu Tun Mahathir sendiri diletakkan sebagai Presiden Bersatu, bukan lagi Pengerusi Bersatu seperti sekarang ini.

Mereka mahu Tun Mahathir berkuasa penuh dan menguasai sepenuhnya Bersatu, sama seperti ketika beliau menjadi Presiden UMNO dahulu.

Di waktu yang sama, program solidariti yang melibatkan himpunan ahli-ahli Bersatu di beberapa negeri turut sedang dirancang untuk menyatakan sokongan terbuka daripada ahli-ahli parti itu kepada Tun Mahathir.

Sudah tentu program solidariti yang digerakkan, antaranya melibatkan Ahli MPT pro Tun Mahathir sendiri itu akan mengenepikan Muhyiddin daripada dijemput sama.

Apa nak jadi ni?

Apakah Muhyiddin akan jadi mangsa politik Tun Mahathir seterusnya? - 24 April 2019.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...