Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Khamis, 25 April 2019

Tak Benar Laporan Sultan Johor Enggan Jumpa Muhyiddin Dan Mahathir..

Marzuki Mohamad | Joceline Tan dalam artikel bertajuk “MB of Johor faces first big test” yang disiarkan dalam ruangan Analisis, The Star, pada 21 April 2019 menulis:

“Dr Sahruddin’s appointment (as Menteri Besar of Johor) was the talk of Johor political circles because it was Osman who presented his name to the palace instead of Tan Sri Muhyiddin Yassin or the Prime Minister”.

 
“Subtle gestures like these are important in Malay politics and there was speculation that the palace did not want to meet Muhyiddin or Dr Mahathir.”

Fakta yang dikemukakan oleh Joceline dalam tulisan di atas adalah tidak benar.

Pertama, nama Dr Sahruddin sebagai calon Menteri Besar Johor tidak dikemukakan oleh Dato’ Osman Sapian, bekas Menteri Besar Johor. Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden Bersatu telah menyembah maklum nama Dr Sahruddin sebagai calon MB Johor menerusi sepucuk surat bertarikh 13 April 2019 yang diutuskan kepada DYMM Sultan Johor untuk perkenan baginda. Surat tersebut telah dipersembahkan kepada Tuanku Sultan Johor menerusi Setiausaha Kerajaan Negeri Johor. Alhamdulillah, nama Dr Sahruddin sebagai calon MB Johor seperti yang disembah maklum oleh Tan Sri Muhyiddin telah diperkenankan oleh Tuanku Sultan Johor.

Kedua, spekulasi bahawa Tuanku Sultan Johor enggan menerima Tan Sri Muhyiddin mengadap untuk menyembah maklum nama calon Menteri Besar Johor yang baharu seperti yang ditulis oleh Joceline juga adalah tidak benar. Sebaliknya, Tan Sri Muhyiddin dalam suratnya kepada Tuanku Sultan Johor telah memohon perkenan Tuanku untuk mengadap baginda pada satu tarikh lain kerana beliau berada di luar negara pada ketika itu. Tuanku Sultan Johor telah memperkenankan permohonan Tan Sri Muhyiddin dan menerima beliau mengadap pada 21 April 2019.

Apabila mendapat pengesahan mengenai peletakan jawatan Menteri Besar Johor, Tan Sri Muhyiddin telah mengadakan pertemuan dengan YAB Tun Dr Mahathir Mohamad, Pengerusi Pakatan Harapan, untuk berbincang mengenai calon MB Johor yang baharu untuk disembah maklum kepada Tuanku Sultan Johor. YAB Tun bersetuju supaya Dr Sahruddin dinamakan sebagai calon MB Johor.

Tan Sri Muhyiddin juga telah mengadakan pertemuan dengan semua pimpinan parti-parti anggota Pakatan Harapan di peringkat pusat dan negeri Johor untuk mendapatkan persetujuan mereka bahawa pengganti Menteri Besar Johor hendaklah daripada Bersatu. Hasil pertemuan ini, semua pimpinan parti anggota PH mencapai kata sepakat bahawa pengganti MB Johor hendaklah daripada Bersatu.

Beliau juga telah mengadakan pertemuan dengan semua ADUN, Ahli Parlimen dan Ketua-Ketua Bahagian Bersatu Negeri Johor. Dalam pertemuan ini, semua yang hadir telah bermuafakat untuk menerima siapa sahaja yang dinamakan oleh pucuk pimpinan parti sebagai Menteri Besar Johor yang baharu.

Perbincangan awal juga telah diadakan dengan pihak Istana Johor dan Kerajaan Negeri Johor untuk memastikan peralihan kepimpinan Kerajaan Negeri Johor berjalan dengan lancar.

Alhamdulillah, walaupun wujud desas-desus mengenai ketegangan hubungan antara pihak Istana Johor dan Kerajaan Persekutuan, namun berkat kebijaksanaan Tuanku Sultan Johor dan pucuk pimpinan Pakatan Harapan, peralihan kepimpinan kerajaan negeri Johor berjalan dengan lancar dan sempurna.

Tidak seperti yang digambarkan dalam tulisan Joceline Tan, Tan Sri Muhyiddin adalah antara tokoh yang memainkan peranan utama dalam proses peralihan ini. Sebagai ketua de facto PH Johor, beliau telah dipertanggungjawabkan oleh YAB Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menangani isu peralihan kepimpinan kerajaan negeri Johor dengan baik.

Tanggungjawab ini telah dilaksanakan dengan sempurna oleh Tan Sri Muhyiddin. Ini adalah hasil persefahaman dan kerjasama baik yang diterima daripada pihak Istana Johor, Kerajaan Negeri Johor dan seluruh pimpinan parti anggota PH di peringkat negeri Johor dan pusat. Ahli-ahli parti juga telah bertindak secara matang dan tenang dalam melalui proses peralihan ini.

Benarlah, muafakat membawa berkat.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...