Sabtu, 2 Februari 2019

Batal Saman Sarawak Report Memang Mengejutkan Akal Manusia Rasional Tapi Ada Sebab-Sebabnya..

Ummu Marwa | ISU PERINTAH PERSETUJUAN SARAWAK REPORT

1. Hari ini hampir semua ahli PAS tergamam menerima berita kes Sarawak Report telah diselesaikan di luar Mahkamah melalui Perintah Persetujuan. Di saat ada ahli yang menjual barangan peribadi untuk menyumbang kos guaman kes ini, keputusan TGHH ini adalah sesuatu yang mengejutkan akal manusia rasional.



2. Sebagai orang yang mempunyai latar belakang undang-undang dan mengikuti dengan dekat kes ini, saya juga pernah terdetik bahawa PAS patut menyelesaikan kes ini di luar mahkamah. Namun sebagai ahli PAS yang memahami keputusan Presiden pastinya akan melalui syura dan mendapat nasihat yang sewajarnya daripada orang yang lebih berkelayakan, saya diamkan sahaja.

3. Apabila mendapat tahu keputusan TGHH hari ini, walaupun tertanya-tanya, tetap terselit perasaan gembira. Setakat pengetahuan saya mengenai perjalanan kes ini, terdapat beberapa sebab saya rasakan keputusan ini bukan sahaja mengambil kira kalah menang kes tetapi kepentingan PAS dan ahlinya untuk masa panjang.

4. Pada pendapat saya, PAS sudah pun mencapai matlamat dengan kemenangan interlokutori April tahun lepas. PAS mendapat keputusan cemerlang dengan memenangi 4 permohonan dan menolak 1 permohonan Clare. Permohonan-permohonan tersebut bukan sahaja membabitkan persoalan teknikal tapi turut memberi kesan terhadap isu-isu subsantif. Sekalipun kes ini diteruskan, ianya tidak lagi mempunyai kesan yang diperlukan kepada Plaintiff melainkan lebih kepada perbincangan akademik.

5. Sekiranya PAS menang, kuantum ganti rugi juga akan menjadi sangat sikit. Hal ini kerana kemenangan PAS dalam PRU lepas sehingga menguasai 2 negeri memberi gambaran kepada Mahkamah seolah-olah artikel itu tidak menjejaskan reputasi atau memberi kesan kepada PAS.

6. Dari sudut implikasi kewangan, semua orang maklum PAS tidak mampu membayar sendiri dan bergelut untuk menjelaskan kos guaman. Kos yang berjuta-juta sebelum ini hanya melibatkan perbicaraan interlokutori dan persediaan perbicaraan penuh, kos yang berganda besar sudah pasti diperlukan untuk perbicaraan yang akan melibatkan ramai saksi dan memakan banyak hari.

7. Tambahan pula, semua ahli maklum TGHH tidak berada dalam kondisi kesihatan yang baik untuk diletakkan ke dalam kandang saksi dan melalui pemeriksaan balas yang intensif dan mungkin memakan masa banyak hari.

8. Atas semua kemungkinan pertimbangan apa yang kita sudah dapat, apa yang kita akan tanggung dan apa yang kita akan dapat, saya rasa memang tidak berbaloi untuk kes ini diteruskan sehingga ke perbicaraan. Hakikatnya, PAS sudahpun dapat apa yang diperlukan ketika menang perbicaraan interlokutori. - 2 Februari 2019.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...