Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Khamis, 20 September 2018

Unit Propaganda Politik BN, JASA Akhirnya Ditutup, 800 Hilang Kerja.

The Malaysian Insight |PUTRAJAYA akan menutup unit propaganda kontroversial yang digunakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, menyebabkan 800 pekerja kontrak hilang kerja, kata pengarahnya, Tun Faisal Ismail Aziz.

Gambar - The Reporter
Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) akan dibubarkan pada 15 Oktober. Kira-kira 800 pekerja kontrak akan diberhentikan sementara 300 penjawat awam dipindahkan ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan sebelum dipindahkan semula.

Faisal mengkritik tindakan itu dan memberitahu The Malaysian Insight yang 800 pekerja kontrak bukanlah lantikan politik dan tidak sepatutnya menjadi mangsa.

“Jika kerajaan baru mahu memindahkan lantikan politik, saya boleh faham dan tidak ada masalah.

“Tetapi tidak semua kakitangan Jasa adalah lantikan politik.”


Setelah memenangi kuasa persekutuan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kerajaan Pakatan Harapan mengumumkan sektor awam akan mengalami pengecilan saiz pekerja sebagai sebahagian daripada rancangannya untuk mengurangkan perbelanjaan.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dalam mesyuarat Kabinet pertamanya pada Mei menyenaraikan beberapa agensi yang akan dibubarkan sebagai permulaan.

Ia termasuk Jasa dan Majlis Profesor Kebangsaan.

Beliau juga mengumumkan pengecilan saiz sektor awam yang melibatkan 17,000 pegawai kontrak.

Kakitangan kontrak di Jasa akan menanggung beban akibat tindakan ini sementara 300 orang penjawat awam akan dipindahkan ke JPA, kata Faisal.

Kebanyakan kakitangan kontrak hanya menerima gaji antara RM2,000 hingga RM4,000 bergantung kepada pangkat dan menjadikan mereka menganggur merupakan tindakan yang keras, katanya.


Faisal juga menyifatkan pembubaran Jasa tidak bijak, memandangkan jabatan itu memainkan peranan penting dalam mengumpulkan maklum balas dari lapangan serta menjelaskan dasar kerajaan kepada rakyat.

Jabatan ini dituduh oleh pengkritik sebagai unit propaganda yang digunakan untuk menyerang pemimpin pembangkang. Ia beroperasi di dalam Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Dalam Bajet 2018, unit itu diperuntukkan RM30 juta, meningkat daripada RM22.9 juta pada 2017, merupakan sebahagian daripada tambahan peruntukan sebanyak RM603 juta yang diterima kementerian bagi tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail mempersoalkan mengapa ketua pengarah Jasa dibayar lebih RM20,000 sedangkan menteri hanya memperoleh RM14,000 lebih.


Ketua pengarah terakhir, Mohd Puad Zarkashi, meletakkan jawatan apabila tidak terpilih untuk bertanding pada PRU14. Beliau adalah ketua bahagian Umno Batu Pahat. - 20 September 2018.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...