Rabu, 19 September 2018

Kerana Bersama PAS, UMNO Kini Kehilangan Tok Pa Kata KJ.

POLITIK | PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi perlu bertanggungjawab kerana Mustapa Mohamed keluar parti, kata Khairy Jamaluddin.

Bekas ketua Pemuda Umno itu merasakan tindakan Mustapa yang juga ahli Parlimen Jeli itu disebabkan hala tuju semasa parti.

“Saya lantang bersuara memberi amaran kepada parti saya menentang pakatannya dengan PAS. Dan saya diserang bertubi-tubi dari dalam. Sekarang, kita hilang cahaya pedoman dalam parti. Seorang pemimpin yang bijaksana dan baik. Ini salah anda, tuan presiden,” tulisnya di Twitter malam ini.

Sejak tersingkir dari Putrajaya, Khairy kerap dikecam ahli parti kerana lantang bersuara menentang kepimpinan tertinggi Umno dalam pelbagai isu seperti kerjasama dengan PAS dan tindakan keluar Dewan Rakyat membantah pelantikan speaker.

Mustapa, bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri keluar Umno malam ini selepas 40 tahun jadi ahli.

Beliau memberikan sebab keluar kerana sudah tidak percaya kepada parti dan kemampuannya untuk berubah dan kembali meraih sokongan rakyat. Tambahnya lagi, beliau percaya Umno perlu jadi lebih inklusif dan moderat tetapi hala tuju sekarang tidak begitu.

Dengan keluarnya Mustapa, Umno kini hanya mempunyai 50 orang wakil dalam Dewan Rakyat.

Umno menang 54 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-14, tetapi tiga wakilnya keluar parti beberapa minggu selepas itu.

Mereka ialah Ahli Parlimen Masjid Tanah Ermieyati Samsudin, Ahli Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dan Ahli Parlimen Bagan Serai Noor Azmi Ghazali.

Mustapa pada Jun lepas menang pemilihan Umno sebagai ahli Majlis Tertinggi dengan undi terbanyak. - 19 September 2018.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...