Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Jumaat, 21 September 2018

Rayuan Terbuka Untuk Semua Ahli Parlimen UMNO Dari Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

DR ASYRAF WAJDI DUSUKI | WARKAH TERBUKA BUAT SELURUH AHLI-AHLI PARLIMEN DAN AHLI-AHLI DEWAN UNDANGAN NEGERI UMNO

YB-YB Yang Dikasihi,

1. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan salam perjuangan dan salam kasih sayang. Saya juga mendoakan agar kita semua berada di dalam keadaan sihat walafiat dan rahmat Ilahi.


2. YB-YB adalah barisan kepimpinan yang dipilih oleh rakyat melalui proses demokrasi menerusi kaedah pilihanraya. Proses ini telah kita lalui sebanyak 14 kali dan setiap kali pemilihan sentiasa ada yang menang dan yang kalah. Itu adalah adat pertandingan.

YB-YB Yang Dihormati,

3. Kombinasi menang dan kalah membolehkan Kerajaan Berperlembagaan berfungsi dengan efektif. Yang menang memerintah dengan adil dan yang kalah menegur secara konstruktif. Konsep inilah yang kita nobatkan selama lebih 60 tahun sehingga negara ini kekal aman dan sejahtera.

4. YB-YB merupakan pilihan lebih 4 juta rakyat Malaysia untuk mewakili mereka di dalam Parlimen Malaysia. Pilihan ini dibuat disebabkan keyakinan mereka kepada kalian demi mempertahankan agama, bangsa dan negara di tengah-tengah tsunami defisit keyakinan rakyat kepada kerajaan kita terdahulu.

5. Apa yang pasti sokongan pengundi yang diberikan kepada YB-YB sekalian adalah manifestasi ketegasan mereka menidakkan segala fitnah, manipulasi fakta, kerakusan dan ketamakkan untuk berkuasa. Sokongan ini juga adalah manifestasi makna ketaatan rakyat kepada kerajaan kita dahulu yang komited mempertahankan dan membela hak mereka. Tanpa adanya keraguan dan kesangsian mereka terus memilih kalian.

YB-YB Yang Disayangi,

6. Ketahuilah bahawa pemilihan YB-YB sekalian sebagai wakil rakyat adalah merupakan satu amanah. Dipilih oleh rakyat di atas dasar kepartian . Payung kepartian menjadi penyebab YB-YB sekalian dipilih berdasarkan segala janji dan prestasi. Batang tubuh serta kebolehan peribadi adalah menjadi pelengkap kepada pemilihan tersebut.

7. Ketahuilah bahawa amanah ini adalah berat. Ia tidak tertampung oleh mereka yang lemah. Abu Zar al-Ghiffari r.a pernah menceritakan bicaranya bersama Nabi Muhammad SAW dengan kata-katanya “Wahai Rasulllah SAW, Kenapa tidak kamu melantikku?” Rasulullah SAW menjawab “Wahai Aba Zarr, sesungguhnya kamu lemah, dan sesungguhnya (jawatan itu) ia adalah suatu amanah, dan sesungguhnya pada hari kiamat kelak ia adalah suatu penyesalan kecuali mereka yang menunaikannya dan melaksanakannya secara benar.”

YB-YB Yang Dirahmati Allah,

8. Ketahuilah bahawa prinsip, pendirian dan pegangan adalah suatu permata bernilai. Ia adalah harga diri dan maruah yang tidak dapat diukur dengan sebarang harga. Ditolak tidak rebah dipotong tidak putus.

9. Pemilihan YB-YB sekalian sebagai Ahli-Ahli Parlimen dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri adalah suatu amanah. Sungguhpun bukan ditakdirkan sebagai kerajaan namun YB-YB sekalian tetap bertanggungjawab untuk bertindak sebagai pembangkang yang effektif. Memainkan peranan penuh di dalam menjadi agen semak dan timbang (check and balance) kepada kerajaan yang hakikatnya adalah tidak sempurna.

YB-YB Yang Dirahmati Allah,

10. Jadilah seperti cermin, memantulkan yang sebenar dan menyatakan yang hakikat tanpa rasa gerun dan takut. Jangan mudah cair seperti air, berubah dan bertukar mengikut keadaan, memantul ketika tenang, bertukar ketika beralun.

11. Teruskanlah istiqomah dan kekal dengan amanah perjuangan ini. Peganglah ia sekuat mungkin agar amanah ini tidak menjadi penyesalan di sana nanti.

12. Kepada pendokong dan penyokong, teruskanlah kesetiaan anda kepada parti ini kerana UMNO dilahirkan bukan untuk memenuhi kepentingan individu sebaliknya ia demi memartabatkan bangsa, agama dan negara. Kesetiaan membina keutuhan, kesungguhan membina keyakinan dan kesabaran membuahkan kebenaran.

Yang Ikhlas,

Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...