“Kami akan berbincang perkara ini di peringkat kementerian untuk memutuskan tindakan susulan. Ini perkara serius.
“Pertamanya, kami perlu memutuskan sama ada ia melanggar undang-undang atau tidak,” katanya kepada wartawan di Kota Kinabalu pada Ahad.
Presiden Amanah itu berada di Sabah untuk menyaksikan sambutan Hari Malaysia anjuran kerajaan negeri malam ini.
Sebelum ini, Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) mengecam PAS kerana membenarkan ahlinya memakai uniform rasmi nombor satu pasukan keselamatan negara ketika acara “lintas hormat” Muktamar PAS ke-64 Jumaat lalu.
Presiden Patriot Mohamed Arshad Raji menyeru Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri bertindak terhadap kejadian itu sebelum “keadaan tidak dapat dikawal”.
“Ia mengejutkan dan rasa tidak percaya di kalangan veteran,” katanya.
“Sebelum perkara itu tidak dapat dikawal, Patriot menggesa Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.
Patriot berkata tindakan itu melanggar Seksyen 140 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga tiga bulan atau denda RM1,000. - 18 September 2018.