Khamis, 13 September 2018

Sebelum Ini Bayar Kos Guaman, Kini Shafee Berkata RM9.5 Juta Adalah Pinjaman Untuk Beli Rumah.

LAPORAN | Ketika didedahkan Shafee Abdullah menerima bayaran RM9.5 juta daripada Najib Razak dan bayaran itu dikaitkan dengan dana 1MDB yang dicuri, Shafee Abdullah dengan pantasnya menjawab pada 8 September 2018 bahawa wang tersebut sebenarnya merupakan yuran guaman kerana mengendalikan beberapa kes mahkamah bagi mewakili UMNO dan Barisan Nasional. 

Shafee juga menolak dakwaan pihak tertentu kononnya bayaran RM9.5 juta itu dilakukan bagi mengenang jasanya kerana membuat rayuan atas kes sodomi II Anwar Ibrahim. 

Berikut dibawah sebahagian petikan dari penjelasan Shafee Abdullah berkaitan bayaran RM9.5 juta yang masuk ke dalam akaunnya.




👉 Shafee Abdullah mengesahkan beliau menerima bayaran sebanyak RM9.5 juta dalam dua transaksi. Yang pertama sebanyak RM4.3 juta pada tahun 2013 dan yang kedua sebanyak RM5.2 juta pada tahun 2014. Kedua-dua bayaran dibuat dari akaun bank peribadi milik Najib Razak (Perdana Menteri ketika itu) kepada akaun peguam Shafee Abdullah yang mengendalikan dan mengetuai pendakwaan kes siasatan dan rayuan sodomi II.


Shafee turut menjelaskan afidavit yang beliau sertakan sebagai pembelaan di mahkamah, bertarikh 3 Ogos 2017 menyatakan beliau menafikan dibayar (menerima wang hadiah/rasuah) kerana merayu kes sodomi II.

Shafee pula sebaliknya menjelaskan beliau akan membuat rayuan kes sodomi II secara probono (percuma). Bagaimanapun Gani mencadangkan satu perjanjian antara kerajaan dan Shafee dilakukan. Shafee bersetuju dan meletakkan bayaran rm1 namun Gani kemudiannya mencadangkan rm1,000 sebagai kos guaman. Shafee kemudiannya bersetuju.

Menurut Shafee, dalam pengetahuannya, Najib juga mengetahui beliau akan mengendalikan rayuan kes sodomi II secara probono. 

Menurut Shafee lagi, bagaimanapun bayaran rm1,000 yang dimeterai antaranya dengan kerajaan tidak pernah diterimanya sehingga kini. Malahan beliau juga menegaskan beliau tidak menuntut sebarang bayaran apabila mengendalikan mana-mana kes rayuan.



👉 Shafee juga berkata, Najib sebenarnya kurang bersetuju atas perlantikan dirinya dalam kes sodomi II. Kerana Najib tidak mahu mengecilkan hati Gani Patail. Bagaimanapun ia adalah Mahathir yang mendesak beliau dilantik sebagai pendakwaraya untuk sabitkan kesalahan ke atas Anwar. 

Ini berikutan pendakwaraya telah dua kali kalah dalam perbicaraan di mahkamah bagi memenjarakan Anwar Ibrahim.

Mahathir kemudiannya bertemu Najib di Yayasan Kepimpinan Perdana bagi menjelaskan keperluan Shafee dilantik dan Najib akhirnya bersetuju. 

Perkara ini turut berada dalam pengetahuan Mathias Chang, pegawai rapat Tun Mahathir. Shafee menjelaskan beliau difahamkan oleh Mathias, melantik Shafee sebagai pendakwaraya khas adalah satu daripada 6 syarat yang diberikan kepada Najib atau jika tidak, Mahathir akan bertindak melawan pentadbiran Najib Razak.



👉 Shafee juga menjelaskan beliau selama ini telah berkhidmat kepada UMNO sebagai peguam dari zaman Mahathir, Abdullah Badwi dan Najib Razak. Ianya bermula sejak tahun 1990an dan sehingga kini namun beliau bukanlah ahli UMNO yang berdaftar atau ahli mana-mana parti politik.

Kerjasama beliau antara Barisan Nasional adalah kerjasama professional diantara peguam dan anak guamnya.

Sejak zaman Mahathir terlalu banyak bil-bil terkumpul yang belum dijelaskan terutamanya ketika Muhammad Rahmat menjadi SU UMNO dan BN.

Banyak fail-fail kes yang telah dibuka termasuklah menawarkan khidmat nasihat guaman mewakili BN tetapi beliau tidak menerima yuran sejak sekian lama. Walaupun UMNO seringkali menjanjikan bayaran akan masuk.



👉 Lebih kurang pada September 2013, Shafee menjelaskan beliau berkesempatan berjumpa dengan Najib Razak dalam satu pertemuan.

Ketika itulah beliau membangkitkan soal bayaran tertunggak yang belum dijelaskan BN. Beliau juga memberitahu kepada Najib beliau memerlukan wang untuk membeli hartanah dari rakannya. Beliau begitu terdesak memerlukan wang tersebut kerana mahu membeli rumah dari kawannya yang juga begitu terdesak perlu menjual rumah tersebut bagi membeli rumah baru buat keluarga.

Ketika itulah Najib mengetahui bahawa selama ini khidmatnya tidak dibayar UMNO sejak dari zaman Mahathir lagi. Dan Najib juga meminta dirinya mengumpul semua bayaran sejak 1990 untuk dinilai semula.

Shafee kemudiannya memberitahu kepada Najib, keseluruhan yuran guaman yang ditawarkannya selama ini bernilai tak kurang dari 20 juta jika dihitung-hitungkan namun Shafee berkata beliau sanggup menerima bayaran sebanyak 11 juta bagi 46 kes yang dijalankan pada tahun 2004 hingga 2008, kes-kes yang membabitkan petition pilihanraya.

Najib bagaimanapun hanya bersetuju membayar 9.5 juta untuk kerja-kerja guaman yang dijalankan dan mahu Shafee rasionalisasikan bayaran yang dilakukan dalam bentuk dokumentasi. Shafee juga menjelaskan, beliau kemudiannya bersetuju dengan penyelesaian tersebut.

Shafee juga menjelaskan, beliau menyedari Najib adalah individu tepat yang perlu dirujuk bagi isu tuntutan berikutan Najib ialah Presiden UMNO dan BN ketika itu yang dalam pengetahuannya mempunyai akses bagi menguruskan kewangan parti. Bagaimanapun menafikan mengetahui sumber bayaran yang dibuat Najib kepadanya.

Analisis :

1. Shafee memberitahu bayaran bagi mengendalikan kes perundangan berkaitan UMNO dan BN tertunggak sejak 1990 an.

2. Shafee juga memberitahu beliau paling tidak menerima bayaran semasa zaman Mahathir ketika mengendalikan kes-kes berkaitan BN.

3. Shafee yang mengakui tidak menerima bayaran dari UMNO kemudiannya bersetuju untuk merayu bagi kes Anwar dalam Sodomi II. Bukankah ini pelik? Kenapa mesti terus menerima job demi job jika BN dan UMNO tidak membayar ataupun menangguhkan bayaran guaman bertahun-tahun lamanya?

4. Secara kebetulan pula, Tun Mahathir mendesak Shafee perlu menjadi pendakwaraya rayuan kes Sodomi II dan secara kebetulan pula Najib tak bersetuju dengan tindakan Mahathir dan secara kebetulan pula Mahathir mengugut akan melawan Najib jika tak bersetuju dengan desakan perlantikan Shafee Abdullah.

5. Shafee tiba-tiba terdesak perlukan duit nak membeli rumah dari kawannya yang terdesak perlukan duit untuk menjual rumah bagi membeli rumah lain untuk keluarganya.

6. Perkara itu dibangkitkan oleh Shafee pada 2013. Dan bayaran masuk pada 2014 & 2015.

7. Apa yang paling pelik ketika perbicaraan kes AMLA siang tadi, Shafee tidak perlu memberikan jawapan bahawanya wang 9.5 juta itu adalah bayaran untuk kos guaman bagi kes-kes yang mewakili UMNO dan BN. 

8. Shafee sebaliknya memberitahu ia adalah PINJAMAN ataupun bayaran pendahuluan yang diberikan oleh Najib kepadanya kerana dirinya mahu membeli rumah bagi membantu sahabatnya.

9. Shafee juga menjelaskan, bayaran pendahuluan ataupun pinjaman itu kemudiannya akan dirasionalisasikan dalam bentuk billing (cover kos guaman) kerana mengendalikan kes-kes berkaitan Barisan Nasional selama ini.

10. Shafee juga tadinya menjelaskan setakat ini Najib belum lagi dipanggil SPRM untuk memberikan keterangan berhubung pembayaran 9.5 juta yang dibuat kepadanya, namun beliau dengan segeranya didakwa dibawah akta AMLA - Pengubahan Wang Haram 2001.

11. Kenapa Shafee perlu beria-ria menekankan duit 9.5 juta ialah duit untuk membeli rumah dari kawannya yang terdesak nak jual rumah kerana terdesak nak beli rumah lain untuk keluarganya. Bukankah ini pelik? Jika ia adalah bayaran untuk guaman maka bagi sahajalah alasan ia adalah bayaran untuk kerja-kerja guaman yang beliau kendalikan selama ini. Bagaimana Shafee mahu membelanjakan wang tersebut adalah urusan peribadi dirinya, kerana itu adalah titik peluhnya. Tetapi Shafee menyambung cerita kos guaman kepada terdesak nak beli rumah dan kini ia adalah pinjaman ataupun wang pendahuluan sehinggalah bil-bil dirasionalisasikan. 

12. Adakah Najib telah diberikan bukti bahawanya bayaran 9.5 juta itu adalah bayaran patut ataupun terlebih bayar? Siapa boleh jamin bil-bil dirasionalisasikan mengikut kaedah penggiraan yang betul? Jika terlebih bayar, bagaimana? Mengapa Najib begitu yakin 9.5 juta ialah bayaran yang perlu dimasukkan? 

13. Kebetulan selepas Anwar dipenjarakan, UMNO ada duit nak bayar kos guaman kepada Shafee. Kebetulan yang paling menarik.

14. Selepas tidak dibayar pun masih sudi berkhidmat dengan BN. Walaupun dalam masa yang sama Shafee berkata beliau menawarkan khidmat guaman kerana itulah kerjayanya. Kerjaya apa kalau tak dibayar, bukan?

Untuk rekod, Shafee dilaporkan diikat jamin sebanyak 1 juta dan telah menjelaskan bayaran sebanyak 500,000. - 13 September 2018. 

Rujukan penuh kenyataan Shafee Abdullah : https://www.malaysiakini.com/news/442345

Rujukan berita Free Malaysia Today : https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2018/09/13/rm9-5-million-from-najib-was-a-loan-to-buy-property-says-shafee/

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...