Rabu, 12 September 2018

Maszlee Malik, Baca Ini & Fahamkan Kenapa Kami Marahkan Kamu - Izmil Amri.

Izmil Amri @ The Mamu | Tulisan ini pertama kalinya tersiar di The Malaysian Insight bertarikh 10 September 2018.

SAYA sebenarnya sudah tidak larat lagi mengira berapa hari telah berlalu sejak Rabu 9 Mei 2018 lalu. Sehinggalah Jumaat minggu sudah apabila diajak menonton sebuah filem yang diterbitkan bagi mengenang tarikh bersejarah tersebut.

Demikian barulah saya teringat bahawa sudah masuk empat bulan United Malays National Organisation menjadi parti pembangkang.

Saya menonton filem “Rise: Ini Kalilah” sambil menggeleng kepala.

Sukar untuk tidak menghukum hasil karya tersebut sebagai upaya cincai untuk membuat untung ketika masyarakat masih tersenyum tidak percaya melihat menteri-menteri DAP muncul di Buletin Utama.

Suntingan filem ini bagai dibuat dengan menggunakan gunting dapur dan disambung-sambung dengan kanji ubi kayu. Begitu juga lakonannya, kayu. Sebaiknya terus dibuat DVD, dijual kepada wakil-wakil rakyat untuk diedar kepada penyokong tegar masing-masing.

Keras barangkali kritikan ini, tetapi begitulah hakikatnya. Sesuatu yang dibuat secara tergesa-gesa, tanpa diberi penelitian yang sebaiknya, tidak akan mendapat respons yang baik daripada khalayak.

Apatah lagi khalayak “Malaysia Baharu” yang cerewet dan semakin berani mengkritik.

Namun yang bagus tentang filem setengah masak ini ialah ia berjaya memberi ingatan kepada kita tentang perubahan yang telah kita sama-sama cetuskan empat bulan lalu; dan kenapa kita berbuat demikian.

Jika kita ketepikan segala yang tak patut dijadikan plot dalam filem ini, kita akan temui sebab kenapa kurang separuh panggung wayang bertepuk tangan pada malam Jumaat lalu.

Ia mengingatkan kita bagaimana rasa cinta kepada negara telah membunuh sebuah organisasi yang sudah zaman berzaman menjadi barah dalam tubuh badan ibu pertiwi.

Seperti watak Voldermort yang terbunuh pada permulaan siri Harry Potter, jasad Umno juga luluh berkecai pada malam 9 Mei. Yang ada hanya rohnya yang bergentayangan, hinggap dari satu badan ke badan yang lain. Seperti penyakit bodoh yang berjangkit-jangkit.

Dalam filem “Rise: Ini Kalilah”; roh Umno itu hidup dalam tubuh seorang lelaki Melayu pertengahan usia dengan rambut tidak terurus dan muka tak mandi.

Ia muncul pada beberapa babak menawarkan wang tunai dan berlagak samseng. Jenuh untuk tidak rasa meluat dengan watak tersebut. Seperti juga jenuh untuk tidak meluat dengan Umno akhir-akhir ini.

Meluat dan menyampah itulah yang menjadi faktor rakyat Malaysia bersatu menolak Umno. Bukan sahaja pemimpin-pemimpinnya, tetapi juga sikap dan nilai yang sinonim dengannya.

Korupsi, salah guna kuasa, permainan wang dan segala kebobrokan seperti ulat yang memakan bangkai kemudian kembung dan meletup melepaskan lalat ke serata alam; demikianlah mual dan loyanya kita menanggapi Umno.

Maka tidak hairan kenapa kita begitu cepat juga merasa loya apabila dihadapkan dengan perkhabaran tentang bagaimana Menteri Pendidikan, Maszlee Malik dilantik menjadi presiden UIAM, sementara setiausaha politiknya, Mohd Nizam Murad, menyertai lembaga pengarah UUM.

Pelantikan Maszlee ke dalam struktur pengurusan UIAM disokong ramai teman-teman alumnus universiti itu. Berkajang-kajang alasan diberikan, semuanya kerana rasa sayang terhadap alma mater mereka. Pelantikan Maszlee Malik sebagai presiden UIAM mencetuskan kecaman awam daripada pergerakan pelajar dan rakan politiknya dalam Pakatan Harapan yang menyifatkan ia sebagai konflik kepentingan.

Namun mereka barangkali terlepas pandang – ini bukan soal UIAM dan Maszlee semata-mata. Bahkan lebih besar dan luas daripada kemaslahatan Taman Ilmu dan Budi itu sendiri.

Seribu alasan boleh diberikan untuk mengabsahkan pelantikan beliau. Termasuk yang paling dangkal, kononnya untuk menjimatkan wang pembayar cukai.

Namun tidak akan dapat meredakan rasa loya ramai pihak yang melihat campur tangan seorang menteri dalam institusi pengajian tinggi yang beliau sendiri berjanji untuk bebaskan ketika belum menjadi menteri.

Apakah tidak ada calon lain yang lebih layak, selain seorang menteri yang belum selesai menguruskan kementeriannya sendiri?

Kalau tiada beban, batu digalas hukumnya bodoh, beban sudah berbakul tetapi masih mahu memikul ini, hukumnya apa pula?

Adat mengangkat pemimpin politik menjadi pucuk pimpinan organisasi swasta, akademik, pendidikan, kelab bola sepak, kelab catur, persatuan guli dan sebagainya adalah adat Malaysia Lama dukungan Umno yang mesti ditinggalkan.

Rakyat Malaysia tidak membuang Umno dari kerusi kuasa, hanya untuk mendapatkan roh Umno dalam bakul dan bungkusan baharu. Yang kita mahu adalah Malaysia Baharu; bukan Umno Baharu.

Amat mengecewakan jika selepas hanya empat bulan beralih kerajaan, sikap dan nilai rejim lama masih lagi menghantui koridor kuasa.

Kita pastinya tidak mahu khalayak berbondong-bondong pergi menonton “Rise: Ini Kalilah”, dan keluar panggung sambil ketawa berdekah, memikirkan bagaimana harapan mereka ghuyub bagai buih di udara, sekadar empat bulan sahaja selepas mengisytihar “merdeka”.

Pakatan Harapan wujud kerana wujudnya rasa loya terhadap kekuasaan dan korupsi Umno.

Ia lahir dan berdiri kerana janji reformasi. Ia kini berlari dengan usaha penambahbaikan institusi. Jangan disadung langkahnya kerana salah perkiraan seorang dua menteri. - 11 September 2018.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...