Selasa, 11 September 2018

Tak Pandai BM, Tiada Ijazah Tapi Nak Gaji Tinggi, Lebih Had Lantikan, Ini Punca Kenapa Lambat Lantik Kakitangan Menteri.

The Malaysian Insight | KELAYAKAN akademik yang tidak cukup, termasuk tidak lulus dengan kepujian dalam subjek Bahasa Melayu (BM) di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), antara punca pegawai lantikan menteri dan timbalan menteri lewat menerima gaji, kata beberapa sumber di Putrajaya.

Sesetengah mereka juga tidak mempunyai sekurang-kurangnya kelulusan ijazah sarjana muda.

Gambar Hiasan - Google
Selain tidak memenuhi syarat akademik untuk lantikan perkhidmatan, pelantikan mereka juga tidak dapat diproses mengikut masa kerana sesetengah dokumen yang dikemukakan tidak lengkap, kata sumber yang berkhidmat di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Sumber menafikan dakwaan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) kononnya mereka menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini dan sengaja melambatkan proses untuk mensabotaj kerajaan.


“Hendak kata kita melambatkan proses, itu tidak betul. Mereka yang dilantik tidak menepati syarat kelayakan menjadi penjawat awam.

“SPM mereka Bahasa Melayu pun tidak dapat kepujian tetapi hendak gred paling tinggi, gaji maksimum. Itu belum tengok ada ijazah atau tidak lagi.

“Masalahnya JPA tidak boleh sign(tandatangan) surat pelantikan itu kerana dari segi melantik penjawat awam tidak boleh sebab syarat tidak cukup,”
kata sumber yang enggan dinamakan itu kepada The Malaysian Insight.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini membidas tindakan penjawat awam yang melengah-lengahkan pelantikan pegawai menteri sehingga belum juga lagi dibayar gaji sejak bertugas hampir empat bulan lepas.

Dr Mahathir mendakwa masih wujud penjawat awam yang setia dengan pentadbiran bekas perdana menteri Najib Razak sehingga enggan menyelesaikan isu pelantikan pegawai menteri dan timbalan menteri.Ramai pegawai lantikan menteri dan timbalan menteri tidak memenuhi syarat akademik untuk lantikan perkhidmatan di samping kegagalan mengemukakan dokumen yang lengkap.

Bagaimanapun, bekas menteri belia dan sukan Khairy Jamaluddin menyanggah dakwaan tersebut dan menegaskan kelewatan pembayaran gaji pegawai-pegawai menteri di bawah kerajaan PH berpunca daripada kerenah birokrasi, dan bukannya bermotifkan politik.

Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 6 Tahun 2012 mengenai perjawatan urusan perkhidamatan di pejabat menteri dan timbalan menteri menetapkan gaji pegawai-pegawai yang boleh dilantik oleh menteri dan timbalan menteri.

Gaji pegawai tugas-tugas khas (PTTK) ditetapkan mengikut gred di bawah klasifikasi perkhidmatan tadbir dan diplomatik, manakala gaji setiausaha akhbar (SUA) bersandarkan gred di bawah klasifikasi perkhidmatan sosial.

Semakan ke atas kedua-dua klasifikasi itu menunjukkan calon lantikan hendaklah antaranya memiliki kepujian sekurang-kurangnya gred C dalam subjek Bahasa Melayu pada peringkat SPM atau setaraf dengannya yang diiktiraf oleh kerajaan. Bagi jawatan SUA, calon lantikan hendaklah memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang berkaitan.

Sumber juga mendedahkan ada menteri dan timbalan menteri yang memohon pegawai lebih daripada kuota yang diperuntukkan dalam pekeliling yang sama, iaitu lapan orang bagi menteri dan empat bagi timbalan menteri.

“Dalam pekeliling ada tetapkan berapa had pegawai menteri dan timbalan menteri boleh ambil. Tetapi ada menteri yang ambil lebih ramai daripada yang sepatutnya.

“Kita kena ikut prosedur, tidak boleh selesai terus. Yang jadi lambat sebab perkara-perkara macam inilah,”
tambahnya. - 11 September 2018.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...