Khamis, 13 September 2018

3 Syarikat, Good Star, Aabar & Tanore Masukkan RM2.97b Ke Akaun Najib.

The Malaysian Insight | POLIS mendedahkan sejumlah AS$972 juta (RM2.97 bilion) dimasukkan ke akaun bekas perdana menteri Najib Razak yang dikesan berpunca daripada 1Malaysia Development Berhad.

Timbalan Ketua Polis Negara Noor Rashid Ibrahim berkata, wang berkenaan dimasukkan dalam beberapa fasa melalui tiga syarikat iaitu Good Star, Aabar, dan Tanore.

Pemindahan wang tersebut dilakukan melalui lebih 132 transaksi dan polis mengenalpasti 64 individu yang terlibat, kata Noor Rashid dalam sidang medianya di Bukit Aman hari ini.

“Kita juga telah mengenal pasti individu yang terlibat yang menerima wang daripada transaksi tersebut. Lebih 50 saksi yang terlibat dan tindakan untuk merakam percakapan mereka telah kita ambil,” katanya.

Tambahnya, antara penerima yang dikenalpasti termasuklah individu dari dalam dan luar negara, termasuk mereka yang ada kaitan dengan politik.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut berhubung perkara itu.

Noor Rashid berkata, pihak polis juga memerlukan sedikit masa untuk menjalankan siasatan kerana ia melibatkan kerjasama negara luar.

“Perlu saya jelaskan di sini dalam dua bentuk siasatan ini ia melibatkan saksi dalam dan luar negara.

“Ini siasatan yang sukar kerana perlu mendapatkan kebenaran daripada kerajaan yang terlibat, maka waktu diperlukan.

“Polis bagaimanapun sedang berusaha sedaya upaya untuk melengkapkan siasatan ini secepat yang mungkin,” katanya.

Beliau berkata, sehubungan itu polis juga memerlukan persetujuan Bantuan Perundangan Bersama (MLA) daripada negara terlibat.

“Pihak polis gigih meneruskan siasatan sekarang dan perlu saya jelaskan di sini agak sukar kerana kita perlu dapatkan keterangan daripada luar negara yang memerlukan beberapa tindakan untuk mendapatkan persetujuan MLA daripada luar negara.

“Untuk tujuan itu kita telah mohon kepada peguam negara dan berbincang dengan pihak berkuasa luar negara dan tindakan susulan sedang diambil untuk mendapatkan kebenaran dan dokumen daripada rakan kita di luar negara,” katanya.

Noor Rashid berkata, antara negara yang memberikan kerjasama kepada Malaysia dalam siasatan skandal berkenaan termasuklah Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura, dan Arab Saudi.

“Peluang untuk kita lengkapkan siasatan itu besar, tapi bergantung kepada masa dan negara lain. Kami harap kami akan dapat kerjasama daripada negara terlibat,” katanya. - 13 September 2018.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...