Isnin, 20 Ogos 2018

Mak Nyah Dibelasah, Timbalan Menteri, Peguam Seru Hentikan Serangan.

Malaysiakini | Timbalan menteri wanita, keluarga dan pembangunan masyarakat Hannah Yeoh menggesa semua pihak agar bekerjasama untuk menghentikan serangan fizikal dan lisan terhadap komuniti transgender di negara ini.


Beliau mengulas kejadian seorang mak nyah yang cedera parah akibat dibelasah sekumpulan lelaki di Taman AST, Jalan Sungai Ujong di Seremban, Rabu lalu.

Menurut Hannah, pihaknya telah berjumpa dengan mangsa yang kini dirawat di Hospital Tuanku Jaafar di Seremban.

"Kumpulan tersebut telah mengepung mangsa dan adalah dipercayai bahawa mangsa telah diserang atas sebab prejudis terhadap identiti jantinanya, iaitu dia adalah seorang wanita transgender.

"Mangsa telah mengalami kecederaan dalaman, patah beberapa tulang rusuk dan juga kecederaan pada belakang dan kepalanya, yang memerlukan 12 jahitan.

"Mangsa diwadkan di hospital untuk beberapa hari selepas serangan tersebut,"
katanya dalam satu kenyataan bersama peguam hak asasi, Syahredzan Johan.

Menurut Hannah, kejadian tersebut bukan merupakan insiden terpencil dan komuniti transgender telah lama menjadi sasaran serangan dan gangguan di seluruh negara.

"Dalam beberapa kes, serangan-serangan yang dilakukan telah mengakibatkan kecederaan serius dan juga kematian,"

"Selalunya, pelaku-pelaku jenayah itu tidak di bawa ke muka pengadilan, sama ada kerana mangsa takut serangan lain atau pihak berkuasa enggan mengambil tindakan lanjut,"
katanya.

Tambah beliau, serangan itu juga merupakan pencabulan hak asasi manusia terhadap golongan transgender, yang sepatutnya menikmati kebebasan asasi yang sama dengan warganegara lain.

"Kami memanggil semua pihak untuk bekerjasama untuk menghentikan serangan-serangan terhadap salah satu daripada komuniti yang paling dipinggirkan di Malaysia," katanya.

Terdahulu Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman dilapor berkata, kejadian pada jam 12.10 tengah malam itu berlaku ketika mangsa berusia 32 tahun didatangi sekumpulan lelaki bermotosikal.

Katanya, kumpulan lelaki berkenaan dipercayai memukul mangsa menggunakan kayu dan paip sebelum melarikan diri.

Mangsa kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban dengan ditemani seorang ahli keluarganya.

Susulan itu polis menahan lelaki berusia 37 tahun yang disyaki salah seorang daripada kumpulan berkenaan.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...