Individu yang ditangkap secara LIVE itu dilaporkan kantoi dihadapan pegawai SPRM Putrajaya semasa cuba membayar suapan bernilai tertentu kepada Ketua Penaja Srikandi PPBM Perlis, Puan Baridah Che Nayan.
"Tangkapan dibuat semasa wang dipindahkan dari tangan suspek ke tangan pengadu," kata Haniff Katri dalam sidang media LIVE Facebook petang ini.
Suspek itu menurut Peguam Haniff Katri adalah seorang bekas ahli PPBM. Jawatan akhir sebelum individu tersebut keluar dari parti ialah Penolong Setiausaha Srikandi Pusat.
Individu itu juga pernah dilaporkan telah meletak jawatan pada 30 Mei 2017 atas alasan kronisme dan pilih kasih melampau mengikut laporan Utusan Online pada 14 September tahun lalu.
Nama suspek itu ialah Puan Hasnita Binti Hishamuddin. Mengikut kenyataan Haniff Katri, PPBM telah mengugurkan keahlian Puan Hasnita pada 14 September tahun lalu.
Bagaimanapun mengikut laporan Utusan Online pada tarikh yang sama, memaklumkan Puan Hasnita Binti Hishamuddin telah bertindak keluar parti dan ianya dilaporkan secara berleluasa oleh portal pro BN ketika itu.
Gambar Puan Hasnita mengikut portal Utusan Online
Meskipun telah menyerahkan semua bukti yang ada dan membantu siasatan termasuklah hadir beberapa kali ke pejabat SPRM bagi memberikan keterangan dan mengambiltahu perkembangan kes, PPBM masih tidak dimaklumkan tentang perkembangan kes dan tertanya-tanya apa yang sudah berlaku sebenarnya.
"Saya ingin sekali lagi sarankan, Dzulkilfi Ahmad sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM mengambil serius perkara ini. Ini bukan main-main ya. Ini adalah suapan yang telah dimasukkan ke dalam akaun bank sebahagiannya dan sebahagiannya lagi diserahkan dengan tangan.
Bagaimanakah kes ini masih belum didedahkan? Bagaimanakah suspek masih belum dibawa untuk prosiding reman? Tahanan sementara menanti siasatan? Bagaimanakah sehingga kini beliau masih bebas dijalanan buat demotransi. Bagaimanakah sampai sekarang kita tidak diberitahu apa yang sedang berlaku?," soalnya dalam sidang media itu.
Gambar oleh Haniff Katri
Menurut Haniff Katri lagi, beliau dimaklumkan oleh Pesuruhanjaya SPRM Putrajaya, Tuan Ramlan bahawa siasatan diharap ditamatkan pada atau sebelum Tahun Baru Cina iaitu pada15 Februari 2018.
Dan beliau percaya kertas siasatan akan dimajukan kepada pihak pendakwaraya. Bagaimanapun setakat ini PPBM tidak dimaklumkan apa-apa.
"Itu pada 8 hari yang sudah. Sehingga kini belum ada maklum balas. Adakah SPRM serius akan perkara ini? Kenapa SPRM berdiam diri? Kenapakah orang ramai dibiarkan orang tertanya-tanya. Betulkah ada tangkapan ataupun tohmahan? Perkara ini tidak sihat. Sebab PPBM sebagai satu parti yang menentang gejala rasuah telah bertindak untuk menanggani perkara itu namun pihak berkuasa tidak memberikan kerjasama," katanya.
Haniff Katri turut menjelaskan yang PPBM juga telah menghantar notis kepada SPRM bagi mendesak agensi itu memberikan maklum balas tentang perkembangan kes dalam masa tujuh hari.
Tambahan pula, kes ini sebenarnya disiasat dan dilaporkan oleh PPBM dan PPBM mempunyai hak untuk mengetahui dan mendedahkan hasil siasatan kepada orang awam.
"Pada jam 2.30 petang tadi, pejabat kami telah menghantar notis akhir kepada SPRM. Dalam surat ini kami telah memberikan masa tujuh hari kepada SPRM untuk menjelaskan proses siasatan kepada orang awam dan pengadu. Jika gagal, segala proses yang dibawah undang-undang akan dilakukan oleh PPBM jika perlu," katanya lagi.
Tujuan rasuah
Tujuan suapan diberikan ialah untuk mendorong Puan Baridah hadir ke satu sidang akhbar di hadapan pejabat ROS di Putrajaya, jelas peguam itu lagi.
Mengikut semakan kami, 5 Februari lepas dua pimpinan muda PPBM hadir ke Pejabat ROS di Putrajaya bagi mendesak PPBM berhenti menyalahkan ROS berhubung isu pendaftaran parti sebaliknya PPBM harus menilai kesalahan diri kerana gagal mematuhi perlembagaan parti (rujukan kami disini).
Menurut kenyataan Haniff Katri lagi, dalang disebalik cubaan membeli dan merasuah ahli PPBM dipercayai adalah individu yang sangat rapat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
"Satu fakta yang penting yang saya perlu sentuh disini. Antara maklumat yang diperolehi. Apabila pihak pengadu mempunyai perbualan telefon dengan suspek dari masa ke semasa.
Pengadu ada bertanyakan kepada suspek. Siapakah yang bagi duit ini. Ataupun dari manakah datangnya wang ini. Melalui perbualan telefon tersebut, pengadu dimaklumkan oleh suspek bahawa pihak berkenaan adalah orang yang paling paling paling paling paling paling enam kali paling rapat dengan Najib Razak. Itu sahaja. Sekian," katanya lagi.
Terdahulu, beberapa penyokong termasuklah pimpinan Pakatan Harapan telah menfitnah isteri Chegu Bard ataupun nama sebenarnya Badrul Hisham sebagai individu yang ditahan SPRM kerana cuba membeli ahli PPBM.
Sebaran fitnah itu bertebaran secara berleluasa di media sosial termasuklah aplikasi WhatsApp sehingga menyebabkan Chegu Bard suami isteri menjadi mangsa tohmahan, cacian, maki hamun dan diserang oleh penyokong-penyokong taksub Pakatan Harapan.
Gambar-gambar Chegu Bard bersama beberapa individu lain juga disebarkan untuk tujuan membuat posting kebencian dan menghina secara peribadi.
Berang dengan fitnah yang tidak berasas itu, Chegu Bard kemudiannya membuat laporan polis dan SKMM bagi mendesak pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap individu-individu yang menyebarkan fitnah ke atas keluarganya.
Pihak kami juga diberitahu Cikgu Idris adalah nama kepada suami suspek yang sebelum ini identitinya dirahsiakan oleh PPBM. Bagaimanapun pihak kami tidak dapat mengesahkan kesahihan maklumat tersebut.
Berikutan penulisan yang menyebut perkataan cikgu itu menjadi tular, ia akhirnya mendorong salah-faham ke atas Chegu Bard yang dilihat seringkali mempertikaikan kepimpinan Azmin Ali dan intergriti Tun Mahathir Mohammad.
Pihak kami juga mendapat maklumat beberapa individu Pakatan Harapan yang menfitnah Chegu Bard dan keluarganya telah membuat permohonan maaf secara bersemuka dan di media sosial. - 23 Februari 2018.