Selasa, 20 Februari 2018

Izzah Lari Ke Pandan, Fahmi Calon Lembah Pantai.

Oleh : The Malaysian Insight

NAIB Presiden PKR Nurul Izzah Anwar bakal bertanding di kerusi Parlimen Pandan menggantikan Rafizi Ramli yang dijatuhi hukuman penjara 30 bulan selepas melanggar Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (Bafia) berhubung kebocoran maklumat akaun National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC).



Sumber memberitahu The Malaysian Insight, Nurul Izzah tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Lembah Pantai yang dimenanginya sejak pilihan raya umum pada 2008.

Beliau sebaliknya akan memberi laluan kepada Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil untuk bertanding di kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Pada awalnya, Nurul Izzah sepatutnya dihantar ke Parlimen Permatang Pauh untuk mempertahankan kerusi tradisi ayahnya, Anwar Ibrahim dan penyandang kerusi Dr Wan Azizah Wan Ismail dibawa ke Selangor atau Kuala Lumpur.

“Akan tetapi selepas kajian dilakukan, kita dapati Nurul Izzah lebih sesuai bertanding di kerusi Parlimen bandar seperti Pandan dan Dr Wan Azizah kekal di Permatang Pauh,”
kata sumber yang mengetahui mengenai perkara ini dengan syarat tidak dinamakan.

Penyandang kerusi Parlimen Pandan Rafizi yang juga naib presiden PKR hilang kelayakan untuk bertanding pada PRU14 selepas mahkamah menjatuhkan hukumanpenjara 30 bulan terhadapnya kerana mendedahkan maklumat perbankan NFC.

Menurut Artikel 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan seseorang itu tidak layak menjadi calon sekiranya dijatuhi hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya dan di bawah artikel sama, seseorang wakil rakyat boleh hilang kelayakan sebagai anggota Parlimen sekiranya dijatuhi hukuman sama.

Seorang lagi sumber mengesahkan PKR ada mempertimbangkan untuk meletakkan Nurul Izzah di Pandan kerana beliau dilihat paling sesuai untuk mempertahankan kerusi yang dimenangi Rafizi pada PRU13 itu.

“Rafizi juga dikatakan tidak ada masalah sekiranya Nurul Izzah bertanding di Pandan. PKR masih membincangkan perkara ini dan akan diputuskan tidak lama lagi.

“Disebabkan Pandan boleh dianggap sebagai kerusi selamat, Nurul Izzah boleh meluangkan masa ke Lembah Pantai bagi membantu Fahmi dan calon-calon lain di seluruh negara,”
kata sumber yang tidak mahu dinamakan itu.

Ketika dihubungi Rafizi mengatakan beliau beliau tidak terlibat dalam penentuan calon PKR pada PRU14.

“Calon-calon ditentukan oleh presiden PKR,” kata Rafizi kepada The Malaysian Insight.

The Malaysian Insight cuba menghubungi Nurul Izzah untuk mendapatkan maklum balas, tetapi masih belum berjaya.

Sumber itu menambah, sejak akhir-akhir ini, Nurul Izzah sering membawa Fahmi ke setiap programnya di Lembah Pantai.

“Kelihatan seperti Nurul Izzah mahu memperkenalkan Fahmi sebagai calon kepada pengundi Lembah Pantai,”
kata sumber itu lagi.

Pada PRU13, Rafizi yang meraih 48,183 undi menang kerusi Parlimen Pandan dengan majoriti besar 26,729 undi, mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Gary Lim Chin Yee (21,454 undi) dan calon bebas Allan Tan (2,415 undi).

Dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Pandan iaitu Chempaka dimenangi PAS dan Teratai pula dimenangi DAP.

Mengikut data terkini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kerusi Parlimen Pandan mempunyai 88,489 pengundi dengan kaum Melayu sebanyak 44.4%, Cina 47.1%, India 7.2% dan lain-lain 1.2%.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...