Selasa, 20 Februari 2018

Permohonan Undi POS Sudah Dibuka Kata SPR.

Oleh : Bernama
Warganegara Malaysia yang berdaftar sebagai pemilih dan termasuk dalam kategori Pengundi Pos Dalam Negara, boleh membuat permohonan undi pos mulai semalam, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah.

Beliau berkata pemilih yang tergolong dalam kategori ditetapkan itu, layak memohon kemudahan mengundi melalui pos jika disahkan oleh majikan mereka perlu bertugas pada hari mengundi.
Bagi kategori petugas pilihan raya, polis serta tentera yang tidak dapat hadir mengundi awal, dan petugas media, mereka boleh membuat permohonan melalui Borang 1A, katanya.dalam kenyataan hari ini.
Mereka yang tergolong dalam kategori anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia; Jabatan Penjara; Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia; anggota dan petugas hospital serta klinik kerajaan; sukarelawan polis; Angkatan Pertahanan Awam Malaysia; Jabatan Imigresen; Agensi Pengurusan Bencana Negara dan Jabatan Pendaftaran Negara yang bertugas di Pusat Transformasi Bandar (UTC) pula perlu mengisi Borang 1C.
“SPR memuat naik Borang 1A dan Borang 1C di laman sesawang www.spr.gov.my. Garis panduan untuk mengisi borang berkenaan juga boleh dimuat turun daripada laman sesawang itu,” katanya.
Mohd Hashim berkata permohonan melalui Borang 1A yang lengkap diisi perlu dihantar ke pejabat pegawai pengurus di bahagian pilihan raya masing-masing.
Katanya permohonan melalui Borang 1C pula perlu dihantar kepada Unit Pengurusan Undi Pos, Ibu Pejabat SPR di Putrajaya sama ada melalui pos atau emel ke upup@spr.gov.my atau faks ke 03-8881 0424/ 0399/ 0394/ 0386/ 0369.
Menurut Mohd Hashim, permohonan bagi kategori pertama (Borang 1A) akan ditutup pada hari penamaan calon, manakala permohonan bagi kategori kedua (Borang 1C) akan ditutup lima hari sebelum hari penamaan calon.
“Setiap permohonan yang diterima akan diproses dan pemohon akan dimaklumkan oleh SPR mengenai status permohonan mereka itu sama ada diluluskan atau sebaliknya,” kata beliau.
Mohd Hashim berkata untuk sebarang pertanyaan berhubung perkara itu, orang ramai boleh menghubungi talian 03-88810081 atau emel ke upup@spr.gov.my.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...