Rabu, 21 Februari 2018

Soal Jawab Skandal Tanah Ijok - Khalid Ibrahim.

Oleh : Muhammad Harris Nasril

Untuk mereka yang belum baca mengenai isu ini, saya terangkan dengan ringkas.

1. 981 peneroka di Ijok telah memberikan tanah mereka kepada 2 syarikat swasta, tetapi mereka tidak mendapat pampasan yang dijanjikan.

2. TSKI merampas tanah tersebut selepas PRU12 kerana 2 syarikat terbabit gagal menunaikan pampasan dan juga tidak membayar cukai premium tanah. Beliau kemudian menyatakan akan memberikan pampasan yang lebih tinggi kepada peneroka kerana nilai tanah semakin meningkat.

3. Syarikat swasta tersebut kemudian talah mengheret kerajaan negeri Selangor ke mahkamah untuk mendapatkan kembali tanah tetapi keputusan memihak kepada Kerajaan Negeri Selangor di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

4. TSKI digulingkan melalui Kajang Move Rafizi. Azmin Ali menjadi Menteri Besar.

5. Syarikat membuat rayuan terakhir kepada Mahkamah Persekutuan.

6. Sebelum perbicaraan bermula, Azmin bersetuju membuat penyelesaian luar mahkamah dan menyerahkan kembali tanah tersebut kepada 2 syarikat swasta terbabit.



7. Syarikat swasta terbabit telah menjual tanah yang mereka dapat kembali itu kepada syarikat awam pada harga pasaran RM1.18 billion! RM421 juta mereka bayar pampasan kepada peneroka.

8. Yang menjadi isu adalah untung atas angin yang diperoleh oleh syarikat terbabit iaitu RM757 juta. Kenapa mereka menjual tanah pada harga pasaran kepada syarikat awam terbabit, tetapi peneroka diberi pampasan pada harga 18 tahun dulu?

9. Inilah yang dipersoalkan oleh TSKI, adakah terdapat penyelesaian tepi? Di mana wang RM757 juta itu pergi?

10. Azmin dan kuncu-kuncunya sekarang gusar dengan serangan bertalu-talu mengenai isu ini. Malah setiausaha Politik Azmin, Suhaimi menjawab dengan tidak profesional, beliau menuduh "Adakah TSKI mahu memenuhi KPI UMNO dengan menyerang Azmin untuk menyertai BN?" (https://www.malaysiakini.com/news/412676)

11. Ketika kajang move dulu, PKR telah mengeluarkan laporan setebal 91 ms di mana diantaranya mereka menuduh TSKI bersekongkol dengan UMNO. TSKI telah mengheret mereka ke mahkamah yang berakhir dengan permohonan maaf oleh setiausaha agung PKR ketika itu, Saifudin Nasution. Nampaknya fitnah memang menjadi darah daging mereka dengan menuduh sekali lagi TSKI bekerjasama dengan BN dalam menyerang Azmin dalam isu tanah Ijok ini.

Isu ini sepatutnya dijawab terus oleh Azmin Ali. Kenapa beliau hanya menyuruh macainya yang jawab? Sudah goyangkah? :P

Video temuramah TSKI dengan BH : https://youtu.be/Y_83xMlcoD0

Temuramah Edisi online: https://www.bharian.com.my/…/kerajaan-selangor-tidak-boleh-…

TINDAKAN mudah menyerah kerajaan negeri Selangor pimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dalam isu pemulangan tanah Mukim Ijok mencetuskan pelbagai persoalan, termasuk kemungkinan wujudnya rundingan tepi atau rahsia membabitkan kepentingan politik. Ikuti kupasan isu tanah Ijok oleh bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, pada pertemuan bersama wartawan NSTP, Syed Umar Ariff dan Luqman Arif Abdul Karim, semalam.

S: Apakah penyelesaian terbaik dalam isu tanah Ijok mengikut strategi Tan Sri?

J: Tanah Rancangan Revolusi Hijau ini seluas 2,820 ekar (1,141 hektar) dan kawasan Ijok itu ialah sebahagian daripadanya. Ini cerita lama, pada 1973. Kerajaan negeri ada hutan simpan. Selaras hasrat memberi peluang kepada rakyat memiliki tanah, mereka luluskan hutan simpan sebagai zon pertanian.

Bagi tiga ekar (1.2 hektar) kepada setiap penerima dalam senarai berkaitan untuk diusahakan. Bagi membantu mengusahakannya, mereka minta Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menguruskan hampir 3,000 ekar (1,214 hektar) ini seperti FELDA.

Ada usahawan pandai, beli tanah daripada mereka. Dijanjikan apabila buat projek perumahan, bukan pertanian, akan bagi mereka pampasan, duit dan rumah. Jadi, mereka serahkan kuasa kepada pemaju.

Ketika menjadi Menteri Besar, saya dapati terlalu banyak projek terbengkalai. Maknanya, kerajaan negeri bagi tanah kepada pemaju yang kata nak buat pembangunan perumahan.

Pemaju kemudian pinjam duit daripada bank secara cagaran sebelum lancarkan projek, mendorong orang mula membeli. Pembeli kemudiannya pinjam duit bank, katakanlah RM120,000 harga rumah itu, dia bayar RM20,000 sebagai deposit.

Bagaimanapun, banyak pemaju yang apabila rasa tidak untung lagi akan tutup perniagaan. Apabila mereka tutup, negeri rugi tanah. Keduanya, pembeli yang sudah pinjam duit bank dengan menjangkakan dalam tempoh dua tahun atau dua tahun setengah akan dapat menduduki rumah berkenaan, tetapi selepas tujuh tahun, masih kena bayar duit bank sementara rumah tidak siap.

Kita nak cari pemaju itu tapi mereka sudah tukar syarikat lain. Untuk memajukan semula, kita perlukan pelaburan, namun tanah itu tidak boleh diguna kerana sudah dicagar kepada bank yang tidak bagi pakai. Masalah ini bukan membabitkan tanah Ijok saja, sebaliknya lebih 20 projek berdepan masalah sama ketika saya jadi Menteri Besar.


S: Apa pelan Tan Sri terhadap rancangan pembangunan tanah di Ijok?

J: Saya ambil projek di Ijok sebagai satu kes, dengan memberi keutamaan untuk menolong empunya tanah dan pembeli rumah. Itu yang saya nak selesaikan. Saya tiada tujuan nak tolong pemaju yang lari. Kerajaan negeri akan buat tatacara yang lebih munasabah dan tidak mencetuskan keadaan projek terbengkalai yang banyak.

Dalam kiraan saya, kalau dapati pemaju menyalahgunakan kesempatan ini dan tidak mengikut tatacara untuk mendapat kebenaran, membayar premium tanah, maka taktik yang saya nak cuba adalah secara merampas tanah. Ini kerana pemaju sedia ada tiada duit, bankrap dan apabila panggil pemaju lain mereka cakap tidak mahu bayar hutang orang.

Jadi kerajaan negeri kena bayar? Kalau kita suruh pemaju bangunkan rumah, mereka tidak dibenarkan masuk ke tapak itu kerana sudah dicagarkan kepada orang lain. Justeru, tatacara adil dan munasabah adalah kerajaan rampas tanah. Apabila rampas tanah menggunakan kuasa kerajaan negeri, tanah itu akan bebas daripada beban, namun kita kena bayar pampasan kepada mereka yang mempunyai milikan terhadap tanah itu.

Kita kena lebih tertib dalam penganalisaan kerana tanah yang dibangunkan pemaju dengan tidak membayar premium atau pertukaran status tanah, kita boleh ambil alih tanah itu dengan membayar harga pertanian untuk selesaikan masalah pembeli dan merungkai isu peneroka yang tidak dapat wang dijanjikan pemaju. Pada saya, projek di Ijok adalah 'test case' (kes ujian) dalam membangunkan tatacara kerajaan negeri bagi menyelesaikan masalah rakyat secara terus. Saya kena jumpa penduduk sekurang-kurangnya empat kali.

Kumpulkan mereka dalam dewan untuk menerangkan masalah dihadapi. Saya juga memanggil pemaju yang dikatakan membangunkan tanah itu untuk hadir bersama dalam usaha meminta mereka memajukan semula tanah terbabit. Hasilnya, saya dapati mereka memikirkan keuntungan. Kalau tidak untung, tidak jalan. Jadi, kalau begitu, daripada bagi dia untung, baik kerajaan negeri ambil alih manakala keuntungan kalau dapat, kita pulangkan kepada rakyat.

Menerusi tatacara undang-undang, pembayaran pampasan lazimnya akan timbul beberapa isu tetapi kita kata kalau ambil alih berdasarkan nilai pertanian, maka nilainya pertanian. Itupun ada tatacara, bukan boleh buat begitu saja sebab kerajaan negeri mesti mendapat nasihat Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Perbendaharaan Selangor untuk tentukan harga menerusi lantikan penilai bebas.

Sudah tentulah, empunya tanah nak harga setinggi mungkin, manakala kerajaan negeri ingin membeli dengan harga sebaik-baiknya. Proses ini dilaksana menggunakan Kanun Tanah Negara (KTN). Ada tatacara merangkumi pemberian notis dan bukan secara sewenang-wenangnya.

Jika isu di Ijok berjaya diselesaikan, kaedah ini akan dilakukan pentadbiran kerajaan negeri, mencakupi Unit Pengurusan Selangor dan kerajaan tempatan terhadap projek lain. Contohnya, projek Bukit Botak di Selayang. Saya tunjukkan kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bagaimana cara kita selesaikan masalah pemberian tanah kepada penduduk setinggan dan isu penilaian.

Bukit Botak adalah satu contoh yang menyaksikan penyelesaian menerusi pembinaan rumah jenis semi-D untuk menangani isu penilaian. Berkaitan projek Bandar Alam Perdana (Ijok), mereka yang mempunyai kepentingan membawa kes ini ke mahkamah. Mempersoalkan kewibawaan dan keupayaan, sama ada kerajaan negeri mengikut tatacara undang-undang yang sah dalam kes itu.

Mahkamah Tinggi, kita menang, Mahkamah Rayuan, kita juga menang. Kemudian kita bawa kes ini ke Mahkamah Persekutuan. Pada saya, saya nak teruskan kes ini kerana ia perlu dibuktikan yang negeri bukan ada kepentingan menjana keuntungan, sebaliknya ia untuk rakyat. Kita sudah cuba dengan cara yang tertib untuk pemaju datang menyelesaikan masalah ini, tetapi dia tidak boleh selesaikan.

S: Tindakan Tan Sri teruskan prosiding mahkamah boleh mengundang risiko kepada perbendaharaan negeri?

J: Negeri kena tahu berapa nilai tanah yang kita nak beli. Tanah 2,800 ekar (1,133 hektar) sudah tentu bayarannya mengikut pertanian juga tinggi tetapi kerajaan negeri mesti sanggup membelinya dengan tujuan membuat pembangunan dan mendapat hasil daripadanya.

Kerajaan negeri jangan takut nak buat sebab kita bukan bagi duit kepada orang lain tanpa harta yang kita nak beli. Boleh jadi, Menteri Besar sekarang tidak mempunyai pengalaman dalam hal itu, tetapi saya sendiri boleh tunjukkan pengalaman daripada segi membuat projek perumahan yang saya anggap lebih besar daripada Alam Perdana ini.

Saya buat projek di Bukit Jelutong ketika bersama Guthrie, yang tiga hingga empat kali ganda skala pembangunannya. Kita jangan takut kerana kita sudah menang di mahkamah. Kalau tidak untung, kenapa orang itu beriya nak tanah berkenaan. Selesaikan masalah ini dengan penuh tertib dan tanggungjawab.

S: Pendekatan kerajaan negeri ketika ini berkaitan tanah Ijok akan timbulkan masalah?

J: Betul. Sekarang ramai minta kerajaan negeri tolong balik. Kasihan kepada pembeli rumah lain. Projek terbengkalai ini kena guna tatacara tertib dan betul supaya pengusaha yang nak memainkan kerajaan negeri akan berfikir 10 kali. Saya ada rampas tanah sebelum ini, tapi membabitkan keluasan kecil sekitar tiga hingga empat ekar tetapi pemaju pun tiada masalah dalam hal itu.

Kerajaan negeri mempunyai kuasa menerusi Kanun Tanah Negara. Masalah kerajaan negeri ketika ini adalah tanah diberi kepada pengusaha yang tidak pandai nak majukannya. Dapat tanah, jual balik dan jadi broker. Tanggungjawab untuk selesaikan masalah pembangunan negeri itu tidak tinggi.

Justeru, saya tidak mahu adakan konsep 'bailout' (menyelamatkan). Kalau pengusaha itu akan rugi, rugilah dia, sebab dia dalam perniagaan, kerajaan negeri pun begitu. Jangan kita tolong lagi, berapa kali nak tolong? Yang perlu kita tolong adalah pembeli rumah. Kita kena betulkan benda yang selama ini dibuat secara salah.

S: Mengikut penilaian Tan Sri, berapa pampasan yang perlu dibayar?

J: Kita sudah membayar lebih RM160 juta. Sudah bayar pun, bukan tak bayar. Pengambilalihan hanya dilakukan apabila sudah bayar, namun masalah yang diperbahaskan mencakupi dua perkara. Satu, kuasa negeri boleh mengambil alih tanah. Kedua, sama ada pampasan diberi adalah adil.

Itu mahkamah tentukan tetapi daripada segi pengambilalihan, kalau sudah setuju, setuju. Jumlah wang yang dibayar pada 2009 ini membabitkan semua pihak berkepentingan, termasuk bank, syarikat dan peneroka. Lebih rumit apabila kontraktor pembina rumah tidak dibayar dalam perkara ini. Kedua-dua syarikat ini ada minta 'bailout'.

Saya bawa jumpa orang kampung. Saya cakap, sokongan akan diberi tapi mereka kena keluarkan RM40 juta iaitu dana asas bagi membolehkan mereka membangunkan semula projek itu. Mereka tiada duit dan tidak berani minta 'full bailout'. Apabila semua cadangan tidak jalan, saya buat cara lain. Perkara ini berlaku pada 2009, menerusi perjumpaan di Kuala Selangor, membabitkan hampir 700 peneroka.

Saya juga ada di situ, saya bawa pegawai kewangan negeri serta Pejabat Tanah dan Galian Selangor untuk memberi penerangan kepada orang ramai, selain mengelak mereka daripada bergaduh. Tuntutan syarat kepada kedua-dua syarikat ini dibuat di hadapan semua orang, tapi mereka kata tidak boleh tepati.

S: Apakah pelanggaran terma yang dilakukan pemaju dalam kes ini?

J: Tanah itu sudah dicagarkan, justeru mereka kena cari wang lain suntik dana dalam projek ini. Masalah mereka adalah wang cagaran tanah Ijok tidak dimasukkan dalam projek berkenaan, sebaliknya digunakan untuk projek yang akhirnya rugi.

Proses cagaran tanah pun bermasalah kerana bukan berasaskan nilai sepatutnya sehingga mereka mendapat wang lebih. Mereka cagar pada nilai lebih tinggi dan ia diterima bank. Kalau cagar tanah harga pertanian, paling banyak boleh dapat RM20,000 hingga RM40,000 seekar (0.4 hektar).

Sebenarnya tanah pertanian tapi mereka cagar pada harga tanah pembangunan, jadi mereka dapat RM400,000 seekar (0.4 hektar). Kerajaan negeri rampas tanah sebab mereka buat projek itu tanpa kelulusan dan masih dalam status pertanian. Mereka juga tidak bayar premium penukaran untuk ubah tanah. Kedua, tiada kelulusan merancang.

S: Bagaimana Datuk Seri Mohamed Azmin Ali boleh beri 'bailout' pula?
J: Itu sebab kita kena adakan perbincangan. Saya buat kenyataan akhbar, menjelaskan bahawa selain kerajaan negeri, saman individu difailkan terhadap saya sebagai Menteri Besar.

Mahkamah Rayuan pun sama. Mahkamah Persekutuan juga sama, namun kerajaan negeri tidak jemput saya untuk mempertahankan diri ketika perbicaraan di Mahkamah Persekutuan. Keputusan menarik balik pengambilalihan itu tidak mendapat persetujuan saya.

Kalau saya ambil tindakan perundangan berhubung perkara ini pun tiada manfaatnya. Masalah ini bukan membabitkan saya dengan kerajaan negeri, tetapi berkaitan pembangunan di Ijok.

Saya bangkitkan perkara ini pada 2016, mengapa kerajaan negeri tidak meneruskan usaha pengambilalihan tanah, sebaliknya serahkan semula kepada pemaju. Jika mengikut strategi, saya akan buat rancangan semula, wujudkan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) baharu dan selesaikan masalah membabitkan peneroka dan pihak berkaitan. Kemudian, saya akan tender tanah itu untuk dibeli pemaju selepas mendapat kelulusan merancang dan GDV. Maknanya, kerajaan negeri akan dapat hasil paling baik. Bukan buat rundingan tidak telus dan kurang jelas.

S: Apa kemungkinan kes tanah Ijok menang di Mahkamah Persekutuan?

J: Ini bukan perniagaan, sebaliknya kerajaan negeri kena perteguhkan haknya untuk mengambil alih tanah kalau wujud benda salah. Kita sebagai kerajaan negeri, bukan berniaga untuk beli loteri. Baru orang percaya apabila kerajaan negeri buat sesuatu, ia akan dilakukan dengan betul dan hingga selesai. Tidak boleh fikir kemungkinan dan sebagainya.

Kita sudah gantung orang, gantunglah. Habis cerita. Orang akan lihat sesuatu kerajaan negeri itu tertib apabila mempertahankan keputusannya. Mahkamah Persekutuan ada hak untuk ubah pendirian atau keputusan, tetapi kerajaan negeri tidak boleh takut dengan Mahkamah Persekutuan atau sesiapa.

Kalau kita menang di Mahkamah Tinggi dan Rayuan, keputusan sama akan berulang di Mahkamah Persekutuan sebab itu kita tidak bercakap soal kemungkinan. Ini kerajaan negeri, bukan individu. Isu sekarang adalah sama ada kerajaan negeri jalankan tugasnya dengan penuh tertib dan tanggungjawab.

Kepentingan rakyat diutamakan. Pengusaha kalau bekerja dengan kerajaan negeri secara baik, kita sokong. Pengusaha yang bekerja dengan kerajaan negeri secara tidak elok, kita tidak sokong.

Saya bangkit isu ini di Dewan Undangan Negeri. Kalau tidak diselesaikan secara baik, akan rugikan rakyat. Saya tiada kepentingan dengan Azmin. Kepentingan saya adalah rakyat mendapat pentadbiran baik. Kerajaan negeri selalu buat rundingan dengan pengusaha.




Pada saya, itu tidak sepatutnya dilakukan kerana kita lebih tinggi daripada pengusaha. Kalau dia rugi, dia rugi, kalau dia untung, dia untung. Kalau kerajaan negeri buat rundingan dengan pengusaha, kita sudah rendahkan kuasa.

Ataupun kerajaan negeri ingin dapat hasil tidak nyata daripada rundingan itu. Kerajaan negeri tidak boleh buat begitu sebab asas Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika saya menjadi ahlinya adalah ketelusan dan kebertanggungjawaban. 


Kerajaan negeri perlu adil dengan mengendalikan perniagaan menerusi tender terbuka. Itu yang perlu dilakukan.

Bukan kita panggil: "Eh, datang... you boleh saya bagi". Mana boleh. Bila kita buat begitu, orang akan anggap kita buat rundingan tepi. Menerusi tatacara betul, kita akan kurangkan salah guna kuasa dan rasuah. Ini paling penting. Kita bawa sampai ke Mahkamah Persekutuan untuk ditentukan kita tiada rundingan, rasuah dan salah guna kuasa.

Saya berpandangan kerajaan negeri mesti dalam keadaan itu. Saya tidak gunakan kerajaan negeri untuk membuat rundingan tepi kerana rakyat ingatkan saya untuk menjaga harta rakyat dengan penuh tanggungjawab.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...