Selasa, 20 Februari 2018

Skandal Tanah Ijok, Jawapan Pegawai MB Selangor Untuk Khalid.

KENYATAAN MEDIA

19 FEBRUARI 2018


Pasukan Khalid Ibrahim mainkan peranan alat UMNO / BN mengulangi fitnah kes tanah Ijok

Kesepakatan Barisan Nasional (BN) / UMNO dengan pasukan Tan Sri Khalid Ibrahim jelas melalui 'penyatuan fitnah berangkai' mereka sejak kelmarin. Melalui Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, UMNO Selangor dan Tan Sri Khalid Ibrahim serta Faekah Husin, mereka galak memainkan kembali isu tanah di Ijok menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).


Sumber - Eric Se To
Saya terfikir, mungkinkah benar dakwaan yang mengatakan Tan Sri Khalid perlu melepasi KPI tertentu dalam menyerang Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sebelum boleh bersama BN semula?

Perkara yang dibangkitkan Tan Sri Khalid dan pegawainya agak luar biasa tumpuannya. Persoalannya ialah kenapa perkara yang boleh diselesaikan lebih awal perlu ditangguh? Mengapa perlu dibiarkan peneroka terseksa dan ternanti janji mereka dipenuhi daripada satu Menteri Besar ke Menteri Besar yang lain? Sebetulnya, Tan Sri Khalid terlepas peluang untuk berbakti.

Apabila Dato' Seri Mohamed Azmin mengambil alih jawatan Menteri Besar pada September 2014, masalah ini terpaksa diwarisi oleh beliau. Terdapat kira-kira 30 kes di semua peringkat mahkamah membabitkan Kerajaan Negeri dengan potensi liabiliti bernilai ratusan juta ringgit. Hampir 1,000 peneroka dan ahli keluarga mendapati masalah mereka masih berlarutan, yang mana perpunca daripada kegagalan pentadbiran Kerajaan Negeri di bawah BN sejak tahun 2000 dan juga salah perkiraan oleh Tan Sri Khalid.

Bagi menjawab tuduhan, biar saya jelaskan, satu formula global dipersembahkan kepada Dato’ Seri Mohamed Azmin untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

Formula ini mempunyai elemen berikut :

- Sebahagian daripada tanah, kira-kira 2,200 ekar dijual kepada pemaju berwibawa dengan jumlah RM1.18 bilion. Sebahagian duit akan digunakan oleh syarikat vendor untuk membina rumah bagi hampir 1,000 peneroka dan membayar pampasan. Dengan kata lain, kaedah ini memenuhi janji yang dimungkiri BN sejak 18 tahun lalu. Itulah perjanjian di zaman BN. Sepatutnya UMNO / BN berterima kasih bukannya mencela.

- Maybank dan peminjam lain yang memberi pinjaman kepada kroni BN akan dibayar dan akan menarik semula semua saman dan tuntutan pampasan daripada Kerajaan Negeri.

- Akhir sekali, Kerajaan Negeri di bawah Pakatan akan memperoleh baki tanah itu seluas kira-kira 1,000 ekar tanpa membayar sebarang pampasan. Ia adalah situasi menang-menang untuk semua pihak.

Inilah perbezaan pentadbiran kerajaan negeri hari ini yang mendahulukan rakyat dalam penyelesaian masalah mereka.

Dakwaan Faekah bahawa wujud keraguan dalam proses pengambilalihan adalah tidak lebih daripada sekadar mengulangi tuduhan palsu UMNO sebelum ini. 'Keprihatinan' beliau kononnya ada ketirisan dana awam di Negeri Selangor adalah lucu dan bersifat hipokrit. Ini adalah kerana, watak sama yang melarikan wang melalui 'pintu belakang' berjumlah RM2.6 juta sebagai pampasan kepada diri sendiri dan kuncu kuncunya. Ketirisan berlaku di situ.

Beliau sepatutnya bertanya kepada Tan Sri Khalid apakah caranya beliau dapat menyelesaikan hutang berjumlah jutaan ringgit dengan pihak bank yang masih lagi misteri kala ini.

Shuhaimi Haji Shafiei
Setiausaha Politik kepada Dato' Menteri Besar Selangor

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...